Bina bangunan dua tingkat walaupun hadapi tuntutan daripada Malaysia
Oleh:FAUZI JAAFAR
RUMAH Api serta struktur bangunan yang dibina secara HARAM oleh Singapura memenuhi hampir keseluruhan Pulau Batu Putih di perairan Teluk Ramonia. -
Gambar ABDUL NAZIR MOHAMED.
PENGERANG 21 Dis. - Singapura terus melakukan kerja-kerja pembinaan di Pulau Batu Putih termasuk membina sebuah bangunan dua tingkat dan tempat pendaratan helikopter walaupun hak terhadap pulau itu yang menjadi tuntutan bersama dengan Malaysia masih dipertikaikan.
Ketika isu tuntutan itu akan dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Singapura bertindak seolah-olah pulau itu telah menjadi miliknya termasuk menempatkan unit peronda marinnya secara tetap.
Selain rumah api, terdapat kuaters dua tingkat yang asalnya hanya setingkat beberapa tahun lalu untuk pekerja dari republik itu dan menara radar yang dipercayai untuk pengawasan kapal.
Terdapat juga jeti untuk kapal peronda Marin Singapura berlabuh serta mengawasi bot-bot nelayan yang menghampiri pulau itu.
Tinjauan Mingguan Malaysia di Pulau Batu Putih mendapati pulau kecil itu yang terdiri daripada batu tanpa sebarang pokok tidak mempunyai sebarang kepentingan ekonomi termasuk dari segi pelancongan.
Bagaimanapun ia amat penting dari segi keselamatan dan maritim kerana terletak di laluan antarabangsa yang sentiasa sibuk dengan kapal dagang.
Ia merupakan lokasi strategik untuk mengawasi laluan kapal-kapal yang melalui Laut China Selatan.
Bagi nelayan pula, ia amat sesuai untuk tempat perlindungan jika laut dilanda taufan atau ombak bergelora secara tiba-tiba.
Pulau Batu Putih yang terletak 20 minit perjalanan dengan bot laju dari Teluk Ramunia adalah milik Malaysia jika berdasarkan kepada sejarah, lokasi dan pemetaan.
Pulau Batu seluas 0.2 hektar itu terletak lapan batu dari Pengerang dan 40 batu ke timur Singapura. Pada mulanya ia hanya menempatkan rumah api untuk panduan pelayaran.
Berdasarkan kepada sejarah, penyerahan Pulau Singapura pada tahun 1824 kepada Inggeris ialah sebuah pulau, laut dan selat yang terletak dalam lingkungan 10 batu dari pesisir pulau Singapura.
Keperluan rumah api di Pulau Batu Putih timbul hasil kewujudan Colony of the Straits Settlement selepas pembukaan Melaka, Pulau Pinang dan Singapura.
Pembinaan rumah api itu dicadangkan oleh syarikat insurans, pedagang dan pemilik kapal kerana laluan berkenaan berbahaya dari segi ancaman lanun dan sebagainya.
Rumah api di Pulau Batu Putih dibina pada tahun 1851 hasil usaha pedagang yang mengutip tol dan dana yang diperolehi daripada mereka yang menggunakan laluan itu.
Bagi pedagang, Gabenor Colony of the Straits Settlement yang tinggal di Singapura dilantik sebagai pentadbir rumah api dan menguruskannya.
Pulau Batu Putih pada mulanya tidak menjadi pilihan untuk pembinaan rumah api. Dua pulau yang menjadi pilihan pada masa itu ialah Tree Island dan Barn Island yang menjadi milik Indonesia tetapi ia menghadapi masalah mendapatkan keizinan Sultan Riau.
Berikutan itu, Pulau Batu Putih menjadi perhatian dan ia menjadi kenyataan apabila Temenggong Johor, Temenggong Abdul Rahman telah memberikan keizinan kepada pihak terbabit untuk membina rumah api.
Mingguan Malaysia difahamkan pada masa ini, semua kapal yang menggunakan laluan di Pulau Batu Putih dikenakan tol berdasarkan berat kapal dan kekerapan melaluinya.
Sementara itu, nelayan di sekitar Teluk Ramunia di sini mengalu-alukan langkah kerajaan untuk membawa Pulau Batu Putih ke ICJ kerana ia akan memudahkan nelayan berlindung dan melakukan aktiviti tangkapan ikan di pulau itu.
Bagi Syed Ahmad Syed Yasin, 67, Pulau Batu Putih sudah diketahui umum milik Malaysia tetapi malangnya nelayan yang ingin berlindung di pulau itu diusir oleh peronda Singapura.
``Nelayan yang ingin berlindung di pulau itu memang akan diusir jika menghampirinya sedangkan ia milik Malaysia,'' kata beliau.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Ayub Rahmat pula berkata, pulau itu kini sudah menjadi tapak Marin Singapura dan seolah-olah sudah ditadbir oleh republik itu.
Pada Selasa lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, selepas kejayaan memperoleh hak kedaulatan ke atas Pulau Sipadan dan Ligitan di ICJ, Malaysia kini membuat persediaan rapi bagi menghadapi tuntutan bertindih dengan Singapura ke atas Pulau Batu Putih pula.
Hari ini dalam satu kenyataan jurucakap Kementerian Hal Ehwal Singapura (MFA) berkata, negara itu sentiasa menegaskan bahawa tuntutan Malaysia ke atas Pedra Branca (Pulau Batu Puteh) patut diselesaikan dengan merujuk ke ICJ.
Saturday, December 21, 2002
Batu Putih milik Singapura?
Posted by 9T9 at 10:51 AM
Labels: Bantahan, Batu Putih, Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment