PUTRAJAYA 5 Okt. - Bekas Perdana Menteri Singapura, Goh Chok Tong akan mengetuai republik itu untuk berunding dengan Malaysia bagi menyelesaikan isu-isu dua hala yang tertangguh antara kedua-dua negara sejak sekian lama.
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang berada di negara ini untuk lawatan sulung sejak mengambil alih kuasa pada 12 Ogos lalu memberitahu beliau menyerahkan tugas kepada Chok Tong yang kini merupakan Menteri Kanan untuk meneruskan rundingan memandangkan beliau lebih arif mengenai isu terlibat.
Perkara itu turut dijelaskan oleh Hsien Loong kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada pertemuan empat mata di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.
Mengulas pelantikan Chok Tong, Abdullah berkata, bekas Perdana Menteri Singapura itu telah diundang ke negara ini dan beliau menjangkakan sekurang-kurangnya satu pertemuan bagi merundingi isu-isu tertangguh dapat diadakan sebelum akhir tahun ini.
Hsien Loong memberitahu pada pertemuan hari ini, Abdullah ada mengemukakan beberapa cadangan untuk menyelesaikan isu-isu tertangguh itu dan beliau telah meminta agar ia dipanjangkan kepada Chok Tong serta berjanji untuk menimbangkannya secara serius.
``Walaupun saya telah mengambil alih jawatan Perdana Menteri (Singapura), saya telah meminta Chok Tong untuk terus menangani isu-isu dua hala kerana beliau sudah biasa dengannya.
``(Isu-isu terlibat) adalah rumit, melibatkan banyak kaitan hubungan dan kebijaksanaan (untuk menyelesaikannya) yang saya belum mahir dan akan mengambil masa agak lama untuk menguasainya,'' kata Hsien Loong.
Beliau berkata demikian ketika membuat kenyataan bersama dengan Abdullah kepada pemberita selepas mesyuarat delegasi dan majlis menandatangani perjanjian mengelak cukai dua kali di antara Malaysia dan Singapura di Jabatan Perdana Menteri di sini.
Isu-isu dua hala yang masih tertangguh itu termasuk penjualan air ke Singapura, status Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) dan tanah KTMB di Tanjung Pagar serta pengeluaran wang dari Tabung Simpanan Pusat (CPF) oleh rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu.
Dalam lawatan sulung Abdullah sebagai Perdana Menteri ke republik itu pada Januari lalu, kedua-dua negara mencapai persetujuan untuk kembali ke meja rundingan bagi merungkai semula kekusutan dalam isu-isu tertangguh dan mengetepikan sementara pilihan menggunakan khidmat timbang tara.
Keputusan itu bagaimanapun tidak melibatkan dua isu iaitu tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih dan bantahan Malaysia terhadap kerja-kerja penambakan laut oleh Singapura masing-masing telah dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Tribunal Antarabangsa bagi Undang-undang Laut (ITLOS).
Mengulas lanjut keputusannya untuk tidak terlibat secara langsung dalam merundingi isu-isu tertangguh dua hala, Hsien Loong berkata, selain Chok Tong, Timbalan Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Luar, Prof. S. Jayakumar memahami isu tersebut secara mendalam kerana mereka terlibat dalam rundingan dengan Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar.
``Mereka tahu luar dalam dan kita mahu supaya ada kesinambungan dalam dasar-dasar kita. Jadi saya minta beliau (Chok Tong) teruskan dan Abdullah juga menerima peranan Chok Tong sebagai `ketua perunding' yang akan berurusan dengan Malaysia dalam hal ini,'' ujarnya.
Mengulas lawatan sulungnya ke Malaysia, Hsien Loong berbesar hati dengan sambutan mesra yang diterimanya dan berharap hubungan baik kedua-dua negara yang berkembang sejak setahun kebelakangan ini akan dapat dikekal dan diperkukuhkan.
Beliau menarik perhatian banyak bidang kerjasama yang boleh dijalin antara kedua-dua negara termasuk yang digariskan oleh Abdullah seperti pelancongan, usaha sama sektor swasta dan kerjasama menangani keganasan dan menjamin keselamatan di Selat Melaka - Utusan Malaysia
Wednesday, October 06, 2004
Chok Tong ketuai Singapura berunding dengan Malaysia
Posted by 9T9 at 1:46 AM 0 comments
Labels: Batu Putih, Media, Pra ICJ, Utusan Malaysia
Subscribe to:
Posts (Atom)