Sunday, January 12, 2003

Sejarah tuntutan Pulau Batu Putih

Oleh Azman Anuar

DALAM peta Malaysia yang terkini, ditunjukkan dengan jelas kedudukan Pulau Batu Putih (White Rock Island). Nama pulau ini digunakan sejak dari dahulu kerana dari jauh pulau itu pada asalnya kelihatan berwarna putih kesan tompokan-tompokan najis burung-burung laut.

Ahli-ahli pelayaran Portugis pada masa dahulu pula memanggil pulau ini Pedra Branca dan nama inilah yang digunakan oleh Singapura hingga sekarang.

Ketika pertikaian tuntutan bertindih ke atas pulau-pulau di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan reda, baru-baru ini muncul pula ketegangan di sudut barat daya perairan itu. Kedaulatan pulau berbatu yang mempunyai wilayah yang cukup kecil tetapi amat strategik menjadi tuntutan bertindih antara Malaysia dan Singapura.

Perkembangan isu Pulau Batu Putih mencapai tahap kemuncak baru-baru ini apabila semakin banyak artikel dan laporan mengenainya dihebahkan melalui media.

Pulau kosong tanpa hidupan dan tumbuhan itu pada asalnya tidak siapa peduli hinggalah terbina rumah api di pulau tersebut.

Mengikut tulisan R. Haller-Trost, Historical Legal Claims: A Study of Disputed Sovereignty Over Pulau Batu Puteh (Pedra Branca) 1993, pada tahun 1842, seorang bendahari, James Horsburgh telah mengumpulkan yuran di Canton, China daripada para pedagang untuk disumbangkan kepada Kerajaan Negeri-Negeri Selat (Straits Settlements Government) supaya membina rumah api bagi kemudahan kapal-kapal yang melalui perairan yang bahaya di bahagian timur selat Singapura, terutama bagi mengelakkan kapal-kapal mengalami kemalangan merempuh batu-batu di laluan berkenaan akibat pertambahan lalu lintas kapal.

Hingga sekarang pun masih berlaku kemalangan pelanggaran antara kapal. Pada 3 Januari lalu kapal anti kapal selam Singapura, RSS Courageous berlanggar dengan kapal kargo ANL Indonesia yang didaftarkan di belanda, kira-kira 1.8 batu nautika dari Pulau Batu Putih.

Berikutan cadangan Horsburgh itu, rumah api yang dinamakan sempena nama beliau dibina pada 1850 dan ia mula beroperasi pada 15 Oktober 1851. Tarikh inilah digunakan oleh Singapura sebagai tarikh bertapaknya kuasa mereka ke atas pulau itu.

Kedudukan batu-batuan yang membentuk pulau ini terletak di pintu masuk ke timur selat Singapura pada garisan 1*19.8'U, 104*24.4'T. Mengikut maklumat daripada Thomson, arkitek Rumah Api Horsburgh, terdapat sedikit anjakan daripada koordinatnya iaitu 1*20.15'U. 104*25'T.

Mengikut keterangan daripada Laporan Marin Bengal, permukaan pulau ini diukur berdasarkan panjangnya 137 meter semasa air pasang rendah dari arah timur laut ke barat daya. Bahagian permukaan besar pulau itu terdapat di sebelah utara, sementara bahagian selatan hanya sedikit sahaja.

Pada aras air rendah didapati permukaan batu-batu dipisahkan pada jarak 20 hingga 30 meter dari batu besar.

Kedudukan paras paling tinggi ialah 8.2 meter ketika air pasang tinggi. Bagaimanapun rupa bentuk Pulau Batu Putih sudah berubah sejak Singapura membina tempat pendaratan helikopter dan kemudahan radar dan marin di atas batu itu.

Permulaan pertikaian

Pembuktian hak ke atas wilayah biasanya menimbulkan masalah disebabkan penyediaan dokumen dan kandungannya yang tidak lengkap. Trost yang membuat kajian ke atas Pulau Batu Putih mendapati kebanyakan dokumen rasmi yang ditemui di India Office Library dan Public Record Office di London, hanya menunjukkan sedikit sahaja rujukan kepada Rumah Api Horsburgh di Pulau Batu Putih, dan tidak mengaitkan persoalan tentang kedaulatan ke atas wilayah berbatu itu sebelum struktur binaan didirikan.

Masalah pemilikan bonjolan batu itu hanya berbangkit selepas Malaysia mengeluarkan peta baru yang menunjukkan wilayah perairan dan sempadan pentas dunia pada 21 Disember 1979. Dalam peta baru itu Malaysia memasukkan pulau batu itu ke dalam wilayah perairannya bagi mengukuhkan turning point (TP) 30 pada persilangan pembahagi bersudut tepat (tegak) segi tiga yang dibentuk oleh tiga titik iaitu Pulau Batu Putih, Tanjong Sanding dan Tanjong Berakit (di Pulau Bintan, Indonesia).

Bukti

Tiada kenyataan atau bukti tentang sebarang pertikaian Pulau Batu Putih ditimbulkan sebelum 1979. Walaupun pada tahun 1953, setiausaha kerajaan negeri Johor yang menjawab soalan daripada kerajaan Singapura bahawa ia tidak menuntut pemilikan ke atas Pulau Batu Putih kerana kedua-dua kerajaan pada masa itu di bawah kawalan kerajaan British.

Pada September 1991, Menteri Besar Johor ketika itu menyatakan bahawa ``dari sudut pandangan sejarah, Pulau Batu Putih adalah milik kita'' dan ``kerajaan Johor bersedia menyediakan bukti jika perlu bagi membuktikan sesungguhnya pulau itu milik Johor.''

Pendapat ini diulangi pada forum khusus tentang Pulau Batu Putih yang diadakan di Johor Bahru pada Oktober 1991 yang dihadiri oleh ahli-ahli sejarah Malaysia.

Dalam menuntut kembali kedaulatan pulau tersebut, Malaysia menunjukkan bahawa Sultan Johor mempunyai hak ke atas kedaulatan Pulau Batu Putih itu sejak 1513 apabila Kesultanan Johor-Riau-Lingga ditubuhkan oleh Sultan Mahmud yang berundur setelah Portugis menawan Melaka pada 1511. Berdasarkan teori warisan negara, Pulau Batu Putih juga menjadi milik Persekutuan Malaysia kerana penyatuan Johor yang menjadi sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya pada 1957.

Malaysia terus menyandarkan fakta bahawa Singapura hanya dibenarkan menguruskan rumah api sahaja dan ia tidak melibatkan kesan hak milik ke atas pulau itu.

Manakala Singpaura pula terus beranggapan bahawa ia mempunyai hak sepenuhnya ke atas kedaulatan dan kuasa perundangan di Pulau Batu Putih berdasarkan Perjanjian Anglo-Belanda.

Malah ia juga berdasarkan fakta bahawa Syarikat Hindia Timur Inggeris yang membina rumah api dan menyelenggarakannya sejak 1851 dan kemudian menyerahkan pengurusannya kepada Singapura.

Tanggapan ini diperkuatkan lagi apabila tiada pihak berkuasa mana-mana kerajaan termasuk Johor dan Malaysia yang membuat sebarang tuntutan atau membantah status Pulau Batu Putih sehingga 1979.

Oleh yang demikian, Singapura mengambil kira batu-batu di perairan 7.7 batu nautika di tenggara Johor itu menjadi bahagian sah dalam wilayah republik itu.

Walau apa pun, beberapa dokumen yang ada kaitan dengan Pulau Batu Putih perlu dikaji dengan teliti termasuk maklumat abad terdahulu bersama-sama dokumen masa kini.

Sebenarnya tiada kesangsian lagi bahawa wujud hubungan rapat antara Johor dengan Riau-Lingga yang juga merangkumi seluruh wilayah Singapura dan kepulauan di sekitar berhampirannya, kerana ia diperintah oleh seorang sultan. Berdasarkan kepada wilayah-wilayah tertentu, fakta yang jelas ialah Johor dan Riau-Lingga pernah merupakan satu entiti politik yang diiktiraf.

Berdasarkan sejarah hubungan Sultan Johor dengan sekutu dan seterunya pada akhir abad ke-18 dan awal abad ke-19, yang akhirnya membelah dua empayar Kesultanan Johor dengan Kesultanan Riau-Lingga pada 1814 hingga 1824, ia adalah akibat daripada Konvensyen London 1814.

Agenda konvensyen antara Britain dengan Belanda itu berkaitan dengan tanah jajahan Belanda di mana, British menyerah balik kepada kerajaan Belanda beberapa kedudukan tanah jajahan tertentu yang telah ditangani mereka pada 1803.

Perjanjian ini kemudian memberi laluan kepada pembahagian tanah jajahan di Asia Tenggara antara Britain dan Belanda melalui Perjanjian Anglo-Belanda 1824.

Pada Mac 1824, Perjanjian Anglo-Belanda itu akhirnya memisahkan Riau-Lingga daripada empayar Sultan Johor. Temenggung Hussain (Johor) dan Temenggung Jaafar (Riau-Lingga) yang bertelagah pula terlepas perhatian tentang Pulau Batu Putih kerana sibuk menjaga kepentingan masing-masing.

Syarikat Hindia Timur Inggeris membayar pampasan kepada Temenggung Johor itu sementara Belanda meningkatkan pendapatan kepada Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga.

Pulau Singapura pula secara langsung menjadi milik British dan kemudian ditubuh pentadbiran Kerajaan Negeri-Negeri Selat yang merangkumi Pulau Pinang, Melaka dan Singapura.

Jika diambil kira tulisan R. Haller-Trost dari Unit Penyelidikan Sempadan-sempadan Antarabangsa, Universiti Durham, London itu, perjanjian yang sedia ada membuktikan bahawa isu kedaulatan Pulau Batu Putih ada kaitan dengan Kerajaan Negeri-Negeri Selat dan Pejabat Tanah Jajahan British di India bagi satu pihak dan Johor pada satu pihak lain.

Analisis

Ini tidak memeranjatkan kerana sifat pulau itu adalah bersendirian, kecil, hanya batu-batu yang tidak ada habitat dan kewujudannya sebelum ini tidak menarik minat mana-mana kerajaan atau pemerintah.

Menurut Trost, jika berdasarkan geografi, pulau itu bukan sebahagian Pulau Ramunia, sebuah pulau kecil 6 batu nautika ke barat laut, dan bukan dipunyai oleh Beting Ramunia pada jarak yang sama lebih ke utara sedikit.

Analisis yang digunakan oleh Trost menunjukkan bahawa Pulau Ramunia yang berada 3 batu nautika di luar pantai Johor adalah milik Sultan Johor, tetapi Pulau Batu Putih berada di luar penguasaannya. Ia tidak termasuk dalam perjanjian Crawfurd 1824 yang mengehadkan 10 batu geografi, diukur dari tanah besar Singapura. Ini menunjukkan bahawa pulau itu tidak boleh dimasukkan ke dalam wilayah Negeri-Negeri Selat dan Akta Perairan Johor 1928.

Bagaimanapun mengikut kajian Malaysia pula, Pulau Batu Putih terletak di utara garisan - lebih tepat 7.5 batu nautika utara Tanjong Sanding (di Pulau Bintan, Indonesia) dan kemudian disahkan berada di wilayah jajahan British. Negeri-Negeri Selat khususnya Singapura hanya menguruskan rumah api di Pulau Batu Putih sehingga Malaysia memasukkan pulau itu ke dalam petanya pada 1979.

Apabila Singapura berpisah dari Malaysia pada 1965, republik itu mengkanunkan wilayah-wilayahnya sebelum tahun 1963 yang kemudian menjadi sebahagian Malaysia, ia harus dikembalikan kepada Singapura.

Dengan demikian Kerajaan Singapura berkata Pulau Batu Putih atau Pedra Branca itu adalah miliknya. Malah Singapura menegaskan bahawa rumah api yang dikendalikannya di bonjolan batu itu adalah salah satu bukti pulau tersebut merupakan milik mereka.

Bagaimanapun kerajaan negeri Johor tidak pernah menyerahkan Pulau Batu Putih kepada mana-mana pihak termasuk Singapura dan kedudukan pihak berkuasa republik itu di pulau tersebut hanyalah sebagai pengurus rumah api yang dibina ketika di zaman penjajahan Inggeris.

Menurut Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, negara jiran itu juga tidak dibenarkan membina sebarang struktur bangunan lain di pulau tersebut.

``Pembinaan rumah api di Pulau Batu Putih adalah dengan kebenaran Kerajaan Johor yang ketika itu di bawah pentadbiran Sultan Sir Abu Bakar semasa penjajahan Inggeris.

``Kerajaan Johor tidak pernah memberikan pulau itu kepada mana-mana pihak dan tidak pernah menandatangani apa-apa perjanjian melibatkan penyerahan hak pulau tersebut.

``Kebenaran membina rumah api tidak bermakna menyerahkan pulau tersebut kepada Singapura,'' katanya.

Menurut Abdul Ghani, peta-peta yang dikeluarkan sejak tahun 1926 hingga yang terkini jelas menunjukkan pulau tersebut adalah dalam wilayah Johor.

Sehubungan itu, kata beliau, Kerajaan Johor berpendirian bahawa pulau itu sejak dahulu lagi adalah sebahagian daripada Johor dan hak negeri ini terhadapnya akan terus kekal dan tidak akan tergugat.

Menurut beliau, kehadiran republik itu di Pulau Batu Putih sama seperti di Pulau Pisang iaitu untuk menguruskan rumah api dengan kebenaran Kerajaan Johor dan Malaysia.

Pun begitu, Malaysia dan Singapura sudah mencapai persetujuan untuk mengemukakan tuntutan masing-masing ke atas Pulau Batu Putih kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague dengan memeterai perjanjian mengenai perkara tersebut di Wisma Putra, Putrajaya pada 6 Februari 2003 - Utusan Malaysia

Tambak laut: Tuntutan ganti rugi akan dikaji

PEKAN 11 Jan. - Kerajaan perlu membuat kajian terlebih dahulu sebelum menentukan sama ada bantahan terhadap kerja-kerja penambakan laut oleh Singapura akan turut meliputi aspek ganti rugi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan perlu membuat kajian bagi menentukan skop bantahan itu terlebih dahulu dan ini memerlukan sedikit masa.

``Soal taksiran dan sebagainya itu agak perlu masa sedikit bagi menentukan kesan yang boleh ditaksir, kita kena tunggu dulu,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau mengulas mengenai aspek bantahan yang akan dikemukakan oleh Malaysia kepada Singapura berhubung penambakan laut oleh negara berkenaan berhampiran Tanjung Pengelih, Johor.

Rabu lepas, mesyuarat Kabinet dimaklumkan mengenai kesan negatif akibat kerja penambakan itu selepas menerima laporan daripada jawatankuasa khas yang menjalankan kajian berkenaan.

Penambakan laut yang dijalankan itu dibimbangi akan menyebabkan kesan terhadap ekologi dan alam sekitar serta mengakibatkan perubahan arus di kawasan berkenaan.

Najib berkata, hasil kajian yang dijalankan terhadap isu berkenaan adalah penting sebagai landasan kepada bantahan berkenaan.

``Bantahan kita bukan sesuatu yang tidak berasas sebaliknya kita telah membuat kajian yang mendalam, kajian saintifik bagi menunjukkan kesan penambakan laut itu,'' katanya.

Menurutnya, meskipun penambakan laut itu dilakukan di perairan Singapura, namun kesannya dirasai oleh Malaysia dan perkara itu memerlukan tindakan sewajarnya.

Ditanya mengenai isu Pulau Batu Putih, Najib berkata, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tetap menjalankan rondaan di sekitar pulau berkenaan seperti biasa,

``TLDM membuat rondaan seperti biasa dan ia dijalankan dengan baik, tanpa perlu bertindak agresif malahan kita menutup meriam dan radar kita,'' katanya.

Jelasnya, rondaan yang dijalankan itu bukan bertujuan untuk berbalah dengan negara jiran tetapi demi keselamatan wilayah negara.

Ditanya sama ada kapal TLDM pernah diusir oleh pihak Singapura ketika berada di sekitar pulau itu, Najib berkata, pada umumnya kehadiran mereka diperhatikan oleh tentera negara jiran itu - Utusan Malaysia

Saturday, January 11, 2003

Singapura didesak benarkan rakyat Malaysia ke Batu Putih

KUALA LUMPUR 10 Jan. - Pergerakan Pemuda UMNO mendesak Singapura membenarkan rakyat Malaysia memasuki perairan Pulau Batu Putih kerana republik tersebut tidak mempunyai hak selagi status pulau itu tidak diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Naib Ketuanya, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir ketika dihubungi berkata, Singapura sepatutnya tidak sekadar bersetuju untuk menandatangani perjanjian kes tuntutan pulau itu ke ICJ sebaliknya mereka perlu turut membenarkan rakyat Malaysia bebas untuk memasuki kawasan itu.

Abdul Aziz diminta mengulas kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar semalam bahawa Singapura telah bersetuju dengan cadangan Malaysia mengenai tarikh 6 Februari ini untuk menandatangani perjanjian berkenaan.

Menurut Syed Hamid, beliau akan mewakili Malaysia dan rakan sejawatannya Profesor S. Jayakumar dari republik itu akan mewakili Singapura.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Profesor Hamdan Adnan berkata, Malaysia perlu memanfaatkan kepakarannya dalam membuat tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih.

``Malaysia boleh menggunakan kepakaran dan pengalamannya berikutan kejayaan kita dalam isu tuntutan bertindih dengan Indonesia ke atas Pulau Sipadan dan Ligitan, Sabah menerusi ICJ di The Hague, Belanda baru-baru ini,'' katanya.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Senator Zainal Rampak berkata, Singapura perlu akur kepada semangat ASEAN dalam isu tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih.

Beliau menyifatkan tindakan Singapura yang berlagak menguasai Pulau Batu Putih itu telah menjejaskan semangat ASEAN.

Zainal menegaskan, Singapura tiada hak untuk melakukan pembinaan di Pulau Batu Putih, selain menyekat kemasukan nelayan Malaysia ke perairan tersebut yang mempunyai hubungan sejarah yang amat dekat dengan negara ini - Utusan Malaysia

BISIK-BISIK -- AWANG SULUNG

Awang lega akhirnya Malaysia dan Singapura menetapkan tarikh untuk menandatangani perjanjian membawa kes tuntutan ke atas Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Apa yang tampak rumit dengan tiba-tiba dapat dipersetujui dengan agak mudah.

Maka tertanya-tanya Awang apa yang mendorong Singapura tiba-tiba bersetuju menandatanganinya setelah begitu lama mendiamkan diri.

Apakah mungkin kerana isu Pulau Batu Putih juga tiba-tiba dibangkitkan semula?

Sekadar peringatan, akhbar Awanglah yang membangkitkan semula perkara ini dalam Mingguan Malaysia pada 21 Disember lalu di bawah tajuk `Batu Putih milik Singapura?'

Berita inilah yang mencetuskan semula kontroversi pulau itu di mana wartawan Utusan mendapati kerja-kerja pembinaan terus dilakukan oleh Singapura.

Bila tercetus kontroversi, Awang termenung dan bertanya sama ada telah membuat keputusan yang betul dengan menyiarkan berita tersebut. Hari ini, Awang termenung dan bertanya sama ada terdapat rahmat tersembunyi di sebalik penyiaran berita itu dan kontroversi yang menyusul.

Syukur, satu kebaikan terbit akhirnya.

-- Awang - Palu gendang bila perlu.

Malaysia perlukan tentera berwibawa

Oleh:Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 10 Jan. - Malaysia masih memerlukan angkatan tentera yang berwibawa walaupun amalan sekarang lebih menjurus kepada proses `timbangtara' ataupun pengadilan antarabangsa dalam mencari penyelesaian bagi sesuatu isu membabitkan negara lain.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dengan itu Malaysia tidak akan mengenepikan pembangunan angkatan tentera meskipun ia mengutamakan saluran diplomatik dan undang-undang antarabangsa.

``Walaupun amalan itu (timbangtara) akan menjadi amalan popular pada masa depan, ia tidak menafikan keperluan kita memiliki sebuah angkatan tentera yang berwibawa dan kredibel.

``Sekiranya kita lemah, orang luar boleh menindas kita atau memperlekehkan kita,'' katanya ketika berucap pada majlis penyampaian diploma dan penutupan kursus Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) siri 22/2002 di sini.

Menurut Najib, kemunculan peranan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam pertikaian bertindih mengenai Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan serta Pulau Batu Putih merupakan suatu perubahan besar yang harus diambil kira dalam perkiraan strategik negara.

Pada 17 Disember lepas, ICJ telah memutuskan bahawa Pulau Sipadan dan Ligitan di Perairan Sabah dimiliki oleh Malaysia, sekali gus menamatkan pertikaian selama hampir 30 tahun dengan Indonesia.

Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar mengumumkan bahawa Malaysia dan Singapura akan menandatangani Perjanjian Khas pada 6 Februari ini di Putrajaya bagi merujuk pertikaian mengenai Pulau Batu Putih di perairan Johor ke ICJ.

Menurut Najib, kerajaan Malaysia menghargai reaksi Jakarta yang menerima dengan baik keputusan ICJ tanpa menimbulkan sebarang isu yang boleh mengugat hubungan yang sedia terjalin antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, tindakan merujuk tuntutan ke ICJ adalah selaras dengan dasar negara yang mahu sebarang pertikaian diselesaikan secara diplomatik bagi menjaga kestabilan dan keamanan rantau ini.

``Dasar kita jika terdapat sebarang pertikaian, akan diselesaikan menerusi meja perundingan,'' katanya.

Najib menambah dunia kini telah berubah dan ini menyebabkan perbezaan dalam mengendalikan peperangan atau operasi ketenteraan - Utusan Malaysia

Friday, January 10, 2003

ICJ: Tandatangan dengan Singapura di Putrajaya 6 Feb.

KUALA LUMPUR 9 Jan. - Perjanjian untuk membawa kes tuntutan Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) akan ditandatangani oleh Malaysia dan Singapura pada 6 Februari ini di Wisma Putra, Putrajaya.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, Singapura telah bersetuju dengan tarikh berkenaan yang dicadangkan oleh Malaysia.

Bercakap kepada Bernama hari ini, Syed Hamid memberitahu dalam majlis menandatangani perjanjian itu, beliau akan mewakili Kuala Lumpur sementara Singapura oleh Menteri Luarnya, Prof S.Jayakumar.

Dilaporkan kedua-dua pihak sebelum ini telah mencadangkan beberapa tarikh tetapi ia tidak dapat diterima oleh Malaysia kerana Syed Hamid akan berada di luar negara selama 11 hari bermula Sabtu ini.

Dengan tarikh perjanjian telah diputuskan, Syed Hamid berharap tuntutan bertindih terhadap pulau itu, yang pertama kali timbul pada 1979 dan menjadi lebih hangat sejak beberapa bulan kebelakangan ini tidak akan menjadi polemik.

Beliau juga berharap perjanjian itu akan mengekalkan status quo terhadap Pulau Batu Putih, iaitu sama ada KL ataupun Singapura tidak akan menuntut kedaulatan pulau itu sehingga diputuskan oleh ICJ.

"Saya berharap kedua-dua pihak akan menggunakan hak masing-masing tanpa halangan ataupun gangguan daripada mana-mana pihak dan saya berpendapat tiada pihak buat masa ini boleh menuntut kedaulatan pulau itu," kata Menteri Luar.

Syed Hamid berkata, kedua-dua pihak telah membuat keputusan yang betul dalam memilih jalan penyelesaian menerusi ICJ di sebalik menghadapi konflik terbuka.

Beliau juga berkata, apa sahaja keputusan yang dibuat oleh ICJ akan dihormati tidak kira keputusan itu memihak kepada Kuala Lumpur ataupun sebaliknya.

"Saya rasa orang ramai berhak mengambil berat akan isu itu tetapi saya rasa mereka juga harus sedar akan akibat tuntutan itu diselesaikan melalui mahkamah keadilan," katanya.

Syed Hamid juga ditanya mengenai hikmah tarikh 6 Februari dan mengapa ia tidak ditandatangani di luar sesi Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) bulan depan seperti yang diramalkan oleh pelbagai pihak.

"Sebab mengapa kita tidak melakukannya di luar sesi sidang kemuncak itu ialah kerana kita ikut apa yang Singapura pernah katakan sebelum ini."

Dalam menjelaskan ini Syed Hamid berkata, semasa Malaysia mahu menandatangani Perjanjian Khas ini di luar proses rundingan air bersama Singapura pada tahun lepas, Menteri Luar republik pulau itu berkata, ia "dokumen yang sangat penting" untuk ditandatangani di luar aturcara ataupun secara sampingan.

"Saya kata O.K. Bagus. Saya bersetuju dengannya. Mari kita cari satu tarikh."

Tetapi aneh sekali, Singapura telah mencadangkan supaya perjanjian ini ditandatangani di luar sesi mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-Eropah di Brussels bulan depan, katanya.

"Sebab itulah saya tidak memilih (untuk menandatangani perjanjian) di luar sesi NAM dan juga mesyuarat ASEAN-EU."

"Ia harus merupakan perjanjian tersendiri dan saya mahu melakukannya secepat mungkin supaya ia tidak terus menjadi polemik. Dan terdapat banyak fitnah, banyak faktor yang akan menegangkan keadaan yang saya rasa kedua-dua negara harus elakan."

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Hamid berkata, sementara Kuala Lumpur dan Singapura menunggu penghakiman ICJ, kedua-dua pihak harus melaksanakan hak masing-masing terhadap pulau itu, kecuali dalam pengurusan rumah api itu yang akan dikendalikan oleh Singapura sehingga pertikaian itu selesai.

Oleh sebab itu, Syed Hamid berkata, Singapura tidak harus menghalang nelayan-nelayan Malaysia menangkap ikan di kawasan pulau itu yang kaya dengan sumber ikan.

"Saya rasa mereka tidak harus melakukan sesuatu yang akan menganggu ataupun menjejaskan hak orang untuk menangkap ikan di situ.

"Itu (kawasan) adalah kawasan penangkapan ikan tradisional bagi nelayan di sekeliling. Mereka telah menangkap ikan di kawasan itu untuk agak lama. Mereka sebelum ini sentiasa berada di situ," kata beliau. - Bernama

Thursday, January 09, 2003

Malaysia, Singapura setuju tandatangan sebelum 28 Januari

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk menandatangani perjanjian khas bagi membawa isu tuntutan bertindih Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum 28 Januari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tempat untuk pemeteraiannya pula akan dibuat sama ada di Malaysia atau pun di Singapura.

``Ini satu kelegaan... Malaysia tidak suka melihat isu-isu dua hala antara Malaysia dan Singapura terbiar tanpa dapat penyelesaian,'' kata Abdullah pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Persetujuan itu dicapai setelah Malaysia menolak cadangan Singapura supaya perjanjian berkenaan disempurnakan di Brussels, Belgium sempena mesyuarat ASEAN-Kesatuan Eropah pada 27 dan 28 Januari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia pada dasarnya bersetuju dengan cadangan Singapura untuk menandatangani perjanjian khas mengenai pertikaian itu ke ICJ, tetapi mahu ia diadakan di negara ini atau Singapura.

Abdullah seterusnya berkata, kedua-dua pihak perlu mengenal pasti aspek-aspek mana yang hendak diberi perhatian sebagai parameter supaya ia tidak berleret-leret di ICJ kelak.

Beliau menjelaskan mesyuarat Kabinet hari ini turut menyentuh soal tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih yang terletak 7.7 batu nautika dari Tanjung Pengerang, Kota Tinggi, Johor.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia tetap berpegang kepada prinsip tiada hak bagi sesiapa jika wujud tuntutan bertindih seperti ke atas Pulau Batu Putih.

Oleh itu, katanya, Singapura yang dibenarkan mengendalikan rumah api di pulau tersebut tidak boleh menganggap ia pulau mereka.

``Soal kejar mengejar tidak patut berlaku di sekitar perairan pulau itu, dan kalau tersilap boleh berlaku insiden yang tidak diingini,'' katanya ketika diajukan kes bot polis Marin Malaysia dihalau keluar oleh kapal tentera Singapura di perairan berkenaan baru-baru ini.

Pada 3 Januari lalu, sebuah kapal peronda antikapal selam Tentera Laut Singapura, RSS Courageous, rosak teruk dan hampir tenggelam akibat berlanggar dengan kapal kargo ANL Indonesia yang didaftarkan di Belanda dekat Pulau Batu Putih.

Abdullah berkata, sepatutnya kawasan perairan Batu Putih boleh dilawati oleh kedua-dua pihak, asalkan ia saling dalam pengetahuan bersama.

``Kedua-dua negara perlu memahami bahawa pulau itu akan diputuskan kelak oleh ICJ.

``Keputusan itu kelak kita akan terima dan bersetuju dengannya,'' tegas beliau.

Pada perkembangan yang sama, Bernama melaporkan Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, kedua-dua pihak bersetuju dengan salah satu daripada tiga tarikh yang dicadangkan oleh Malaysia.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus ketiga-tiga tarikh berkenaan.

``Kami kini cuba menetapkan tempat (untuk menandatangani perjanjian), sama ada di Singapura atau Malaysia. Jadi, esok atau lusa, kita boleh beritahu anda,'' katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Ireland Brian Cowen di Kementerian Luar, Putrajaya, hari ini.

Ditanya sama ada perjanjian itu akan dilakukan sebelum Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN-Kesatuan Eropah, Syed Hamid berkata: ``Lebih awal.''

Mengulas mengenai bagaimana persetujuan mengenai tarikh itu dicapai, Syed Hamid berkata, beliau mencadangkan tiga tarikh, manakala Singapura mengemukakan satu tarikh.

Syed Hamid bagaimanapun berkata, tarikh yang dicadangkan Singapura tidak sesuai memandangkan beliau tidak berada di sini.

Republik itu bagaimanapun bersetuju dengan ketiga-tiga tarikh yang dikemukakan Malaysia, katanya.

``Jadi, saya pilih satu tarikh untuk menandatangani perjanjian itu,'' katanya.

Syed Hamid berkata persoalan mengenai bila perjanjian itu akan ditandatangani tidak wajar menjadi satu polemik memandangkan kedua-dua pihak bersetuju supaya tuntutan bertindih itu dirujuk kepada ICJ.

``Sebaik kita rujuk kepada ICJ, ini bermakna status quo kekal. Status quo bermakna tidak ada mana-mana negara boleh menuntut kedaulatan eksklusif ke atas pulau yang dipertikaikan itu sehingga ia diselesaikan oleh ICJ,'' katanya.

``Ini penting untuk difahami,'' katanya.

Syed Hamid menegaskan bahawa setelah keputusan dibuat oleh ICJ, ia adalah muktamad dan konklusif dan kedua-dua negara perlu menerima apa sahaja keputusan.

Beliau berkata, keputusan merujuk tuntutan ke atas Pulau Batu Putih ke ICJ merupakan tindakan yang baik bagi mengelak konflik antara kedua-dua negara berjiran itu.

Menjawab soalan mengenai kehadiran kapal-kapal tentera laut di kawasan Pulau Batu Putih, Syed Hamid berkata: ``Jika mereka mahu meronda di kawasan itu, mereka boleh berbuat demikian, tetapi tiada siapa yang boleh menghalang kita daripada meronda kawasan itu.'' - Utusan Malaysia

Singapura eksploit kelemahan jiran

Singapura berperanan sebagai pelabuhan entreport moden sejak 1819 lagi. Hubungan ekonomi yang erat kedua-dua negara membolehkan kedua-duanya membangun dengan pantas. Sekiranya hubungan ini berkenaan berterusan diperkemaskan lagi sudah tentu ia akan membawa banyak manfaat kepada kedua-dua negara.

Ekonomi Singapura dari dulu lagi bergantung dan berkembang berasaskan sektor perkhidmatan. Pada masa dulu, sebagai sebuah negara yang rendah cukai importnya Singapura pernah menjadi pusat membeli-belah antarabangsa yang besar.

Identiti Singapura sebagai sebuah pelabuhan bebas dan kedudukannya yang strategik menjadikan ia sebagai pintu keluar-masuk barangan bagi negara jiran, khasnya Malaysia dan Indonesia. Fungsi ini diperkukuhkan lagi dengan kecekapan sektor perkhidmatan negara itu. Kecekapan sektor perkhidmatannya menyebabkan ramai pengeksport dan pengimport Malaysia memilih untuk menggunakan pelabuhan negara itu berbanding dengan pelabuhan domestik.

Begitu juga dengan pedagang antarabangsa, mereka lebih gemar menggunakan pelabuhan Singapura, berbanding pelabuhan lain di rantau ini. Justeru, banyak syarikat besar dunia, bukan sahaja dalam bidang perkapalan malah di dalam bidang urus niaga lain pun membuka ibu pejabat mereka di Singapura. Ini semua menyemarakkan lagi kedudukan sektor perkhidmatan di negara itu.

Aktiviti ekonomi Singapura ketika itu samalah seperti peranan orang tengah di sektor pertanian. Mereka membeli barangan di rantau ini, kemudian menjualnya ke negara lain. Maka, import negara itu terlalu besar berbanding bila-ngan penduduknya agak kecil. Misalnya, pada tahun 2000, jumlah import Singapura ialah RM485 bilion, 40 peratus lebih besar daripada import Malaysia. Ini terjadi kerana negara itu mengimport untuk dieksport semula, sedikit sahaja untuk penggunaan dalam negeri. Justeru, eksport negara itu juga lebih besar dari Malaysia, sedangkan kapasiti industri perusahaan dan pembuatannya amat terhad. Pada 2000, jumlah eksport negara itu ialah RM527 bilion berbanding dengan Malaysia yang hanya RM373 bilion.

Seperti kata Fellow Kanan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Azmi Setapa, kejayaan Singapura mengeksploitasi pasaran di rantau ini ialah kerana kelemahan teknologi, pengurusan kewangan, pengurusan perniagaan dan penerokaan pasaran di negara lain. Keupayaan ekonomi Singapura yang lebih baik de-ngan negara jirannya, sebahagian besarnya disebabkan oleh faktor sejarah. Tahap ekonomi penduduk, infrastruktur dan pendidikan yang ditinggalkan oleh penjajah British begitu tinggi.

Tanpa perlu membentuk dasar ekonomi yang kompleks kerana tidak ada ketidakseimbangan pendapatan antara kaum dan geografi, Singapura sudah tentu mampu menggerakkan ekonominya de-ngan mudah. Jadi pembentukan dasar ekonomi di Singapura hanya perlu menumpukan kepada kecekapan ekonomi sahaja.

Bagaimanapun kini lebih banyak barang kita diproses dan dieksport sendiri secara terus ke destinasinya. Pada 1990, 26.9 peratus daripada barang industri pembuatan kita dieksport ke Singapura. Peratusan ini jatuh kepada 24.1 peratus (2000).

Begitu juga dengan minyak sawit, eksportnya ke Singapura jatuh dari 13.2 peratus di tahun 1990 kepada hanya 4.3 peratus (2000). Eksport kayu digergaji ke republik itu juga jatuh dari 8.9 peratus kepada 4.3 peratus untuk tempoh yang sama. Paling ketara sekali ialah eksport petroleum mentah. Ia jatuh dengan banyaknya daripada 26.8 peratus kepada 3.9 peratus sahaja bagi tempoh masa yang berkenaan.

Kini Malaysia mulai beralih kepada ekonomi yang lebih bergantung kepada sektor perkhidmatan. Tumpuan dasar kini sama dengan Singapura. Sektor perkhidmatan di Malaysia akan digunakan untuk meningkatkan kecekapan sektor-sektor lain di dalam ekonomi.

Sekiranya sektor perkhidmatan kita dibangunkan sepenuhnya, ekonomi kita tidak memerlukan sektor perkhidmatan Singapura lagi. Menyedari hakikat ini, Singapura mula beralih perlahan-lahan, mewujudkan rantaian ekonominya di kawasan persempadanannya dengan Indonesia yang masih rendah taraf ekonominya.

Sektor perkhidmatan tidak boleh berdiri sendiri. Ia perlu disokong oleh sektor-sektor lain. Di Singapura, sektor lain adalah terhad dan sempit atau lebih tepat tidak boleh memberi sokongan kuat kepada sektor perkhidmatannya.

Di Malaysia, sektor perkhidmatan disokong kuat oleh pelbagai sektor lain. Kita boleh terus meneroka dan mencipta produk baru. Dengan keupayaan kita, kita tahu untuk mencari pelanggan dan memasarkannya terus ke destinasi tanpa perlu melalui Singapura. Ini akan menggugat kedudukan Singapura sebagai orang tengah atau broker terhormat.

Perkara kedua yang mungkin menjadi agenda Singapura ialah melemahkan sentimen pelaburan di negara kita yang sememangnya sudah dilemahkan oleh isu keganasan. Perselisihan pendapat antara dua negara jiran akan dilihat oleh pelabur sebagai tanda-tanda tidak sihat yang boleh membawa kepada ketidakstabilan ekonomi. Perkara sebegini akan memberi kesan buruk kepada Malaysia kerana pelaburan asing adalah salah satu faktor penting untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia. Berbeza dengan Singapura yang kuat bergantung kepada sektor perkhidmatan, Malaysia memerlukan modal dan kepakaran asing untuk membangunkan pelbagai aktiviti industri. Singapura pula mempunyai rizab yang besar untuk bertahan daripada kemerosotan ekonomi jangka pendek. Pelaburan pula banyak dibuat di luar negara.

Singapura boleh melabur di mana sahaja dan membawa balik keuntungan. Jadi kesan daripada menurunnya sentimen pelaburan di rantau ini akan lebih memberi kesan negatif kepada Malaysia.

Ketiga, Singapura mungkin menggunakan isu tuntutan pulau ini sebagai mengendurkan ketegasan Malaysia di dalam membincangkan isu air. Apakah Malaysia akan setuju untuk menurunkan harga air yang dituntut sekiranya Singapura menggugurkan tuntutannya ke atas Pulau Batu Putih?

Sebenarnya, jika Singapura sanggup meneruskan hubungan baik antara kedua negara, masih banyak faedah yang boleh digembleng walaupun taraf kemajuan kedua-dua negara hampir sama. Oleh kerana Singapura, selama ini mengaut kekayaan dengan mudah iaitu dengan mengambil kesempatan daripada kemunduran teknologi, pengurusan dan penerokaan pasaran negara serantau, mereka tidak bersedia untuk bersaing secara bersih seperti dikehendaki oleh Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).

- NIK YAHYA RAHMAN, Kuala Lumpur.

Tuesday, January 07, 2003

Singapura diberi tempoh terhad cari anak kapal

KUALA LUMPUR 6 Jan. - Kapal peronda Tentera Laut Singapura hanya dibenarkan berada di perairan Malaysia berhampiran Pulau Batu Putih dalam tempoh terhad semasa operasi mencari dan menyelamat tiga anak kapal RSS Courageous yang hilang sejak Jumaat lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tempoh yang diberikan kepada negara itu mencukupi untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat.

Tambahnya, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga menempatkan dua buah kapal peronda di perairan Pulau Batu Putih dan bersedia membantu dalam operasi mencari dan menyelamat jika diminta berbuat demikian.

``Kita tidak mempunyai halangan dalam perkara ini kerana ia merupakan pertolongan yang berasaskan aspek kemanusiaan.

``Terpulang kepada Singapura sama ada hendak menerima bantuan dua buah kapal peronda TLDM itu dalam operasi mencari dan menyelamat yang sedang dijalankan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, dekat sini hari ini.

Dalam kemalangan lewat malam Jumaat lepas, kapal tentera laut anti kapal selam Singapura, RSS Courageous berlanggar dengan kapal kargo ANL Indonesia yang didaftarkan di Belanda, kira-kira 1.8 batu nautika dari Pulau Batu Putih.

Seorang anak kapal wanita yang juga pakar pengendalian senjata disahkan terbunuh manakala tiga lagi rakannya, semuanya wanita dilaporkan hilang selepas kejadian itu.

Dalam hubungan ini, Najib berkata: ``Malaysia berhak meletakkan dua buah kapal peronda TLDM di perairan Pulau Batu Putih kerana kita menganggap pulau itu sebagai hak kita.''

Jelasnya, selagi Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) belum memutuskan mengenai tuntutan bertindih itu, semua kapal peronda TLDM berhak berada di perairan Pulau Batu Putih - Utusan Malaysia

Mayat kedua dikenali

SINGAPURA 6 Jan. - Mayat kedua yang ditemui malam tadi di pulau Bintan di negara jiran Indonesia telah dikenal pasti sebagai Sarjan (I) Seah Ai Leng, 25, antara yang dilaporkan hilang selepas kapal peronda Tentera Laut Singapura RSS Courageous bertembung dengan sebuah kapal kontainer pada Jumaat lepas.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Singapura hari ini, mayat Seah ditemui di Sebong, di barat laut pulau Bintan pada 8.18 malam tadi.

Seah, yang menyertai Tentera Laut Singapura pada Julai 1995 merupakan lulusan Politeknik Singapura dalam bidang kejuruteraan elektronik.

Kementerian berkata, usaha-usaha masih diteruskan untuk mencari Sarjan (II) Chua Bee Lin, 24 yang dilaporkan hilang.

Semalam, dua mayat terdampar di pantai Bintan, satu ditemui pada pukul 8 pagi dan satu lagi lebih kurang 10 jam kemudian. Mayat pertama dikenal pasti sebagai Sarjan (I) Heng Sock Ling, 24.

Sabtu lalu, para penyelamat tentera laut berjaya mengeluarkan mayat Korporal Goh Hui Ling, 22, daripada bahagian kapal peronda anti kapal selam itu yang remuk teruk.

Kapal RSS Courageous itu berlanggar dengan kapal kontainer ANL Indonesia seberat 52,000 tan yang berdaftar di Belanda pada Jumaat lalu di perairan dekat Pulau Batu Putih, yang kedaulatannya dituntut oleh Malaysia dan Singapura.

Keempat-empat mereka dikatakan sedang tidur di ruang tidur kapal itu apabila kapal kontainer itu melanggar bahagian tersebut.

Indonesia dan Malaysia telah menawarkan diri untuk membantu dalam usaha mencari dan menyelamat. - Bernama

Bincang cara beradab

Oleh Badrul Azhar Rahman

Perdana Menteri Singapura, Goh Chok Tong tidak malu untuk mendakwa dirinya begitu matang dalam mentadbir republik tersebut khususnya dalam menguruskan isu tuntutan Pulau Batu Putih.

Kenyataan Chok Tong yang menyifatkan media-media di Malaysia sebagai `kebudak-budakan' dalam menangani isu Pulau Batu Putih itu jelas menunjukkan pemimpin tersebut seperti syok sendiri. Dia boleh digolongkan sebagai pemimpin yang `masuk bakul angkat sendiri.'

Penulis merasakan begitu kerana kalau Chok Tong merasakan dirinya sudah matang dan berhak menilai tahap media di Malaysia sebagai kebudak-budakan, dia juga seharusnya bersedia untuk menerima kritikan dan kecaman. Dalam hal ini, media Malaysia juga mempunyai hak untuk membuat penilaian atau ulasan tersendiri terhadap pemimpin sedemikian dan Chok Tong tidak harus `melatah' atau terperanjat.

Tapi media Malaysia tidak mahu terperangkap dalam permainan Chok Tong. Kita tidak perlu meletakkan tahap pemikiran kita ke tahap pemikiran Chok Tong. Media yang berpengaruh seharusnya tidak emosional, tidak melenting dan tidak mudah berputus asa dengan kata-kata yang dilemparkan oleh individu sedemikian. Peranan media juga lebih meluas dan lebih besar daripada cita-cita politik Chok Tong serta lebih berpandangan jauh.

Kenapa mesti media Malaysia naik berang dengan telatah Chok Tong walaupun perkataan `melatah' yang digunakan oleh beliau menggambarkan sesuatu yang negatif dan tidak baik. Menurut Kamus Pelajar terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, `melatah' boleh bermaksud penyakit saraf yang menyebabkan seseorang itu melakukan atau mengucapkan sesuatu tanpa disedarinya apabila dirangsang. `Melatah' juga menurut kamus itu adalah berkelakuan seperti orang gila kerana sebab-sebab tertentu.

Apakah sebenarnya maksud Chok Tong menggunakan perkataan `melatah' itu tidak dapat dipastikan tetapi secara kasarnya boleh melambangkan kepimpinan dan perwatakan beliau yang sebenar.

Tidak hairanlah kalau Singapura begitu bongkak menetapkan terlebih dulu untuk menandatangani perjanjian khas dengan Malaysia berhubung isu Pulau Batu Putih pada hujung bulan ini di Brussels.

Apa juga alasannya, Singapura seharusnya berbincang dengan Malaysia terlebih dulu tentang tarikh dan tempat untuk menandatangani perjanjian tersebut. Biarlah ia dibuat secara beradab dan tersusun. Lagipun isu yang mahu diselesaikan merupakan isu yang besar yang melibatkan kedaulatan, maruah dan kepentingan nasional.

Belum selesai isu tuntutan Pulau Batu Putih, republik Singapura dikejutkan pula dengan kemalangan kapal peronda tenteranya di kawasan berhampiran pulau yang dituntut itu malam Jumaat lalu. Setakat ini tiga pegawai tentera republik itu disahkan terbunuh dan seorang lagi masih hilang.

Sebagai jiran yang baik, Malaysia turut menghantar dua buah kapal peronda tentera bagi membantu operasi mencari dan menyelamat. Atas permintaan Singapura, republik itu juga diberi kebenaran untuk meneruskan gerakan mencari di perairan negara ini.

Alangkah baiknya jika semangat setiakawan seperti ini dapat dipanjangkan di meja perundingan.

Kemalangan ini juga menimbulkan satu pertanyaan. Apakah mungkin kerana terlalu banyak kapal peronda tentera Singapura berkeliaran di perairan Pulau Batu Putih hingga tiba-tiba saja dilanggar oleh sebuah kapal kargo Indonesia? - Utusan Malaysia

Negara ketiga tidak perlu

PUTRAJAYA 6 Jan. - Malaysia hari ini mengulangi pendirian untuk menandatangani perjanjian khas dengan Singapura berhubung kes tuntutan bersama Pulau Batu Putih di mana-mana tempat asalkan di Malaysia atau Singapura.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid berkata, Kuala Lumpur berpendapat kedua-dua pihak tidak ada keperluan untuk melakukan perjanjian tersebut di negara ketiga kerana ia agak tidak tepat dalam konteks perhubungan negara tersebut.

Katanya; ``Tak perlu kita tandatangani perjanjian ini di negara ketiga kerana kita bukannya sedang berperang antara satu sama lain.

``Cuma masalah yang timbul ialah mereka (Singapura) agak tidak bersetuju dengan beberapa isu berbangkit sebelum ini dan mungkin fikir bahawa ia (perjanjian) harus dibuat di negara ketiga,'' katanya pada sidang akhbar di Wisma Putra di sini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Luar Singapura, Profesor S. Jayakumar semalam yang menyuarakan hasrat republik itu bersedia menandatangani perjanjian khas dengan Malaysia di mana sahaja untuk membawa kes tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Menurutnya, Kuala Lumpur boleh mengemukakan tarikh baru sekiranya mendapati 27 atau 28 Januari iaitu tarikh yang dicadangkan Singapura tidak sesuai untuk ditandatangani di Brussels, Belgium.

Mengulas lanjut, Syed Hamid berkata, Malaysia akan menghantar cadangan tarikh baru kepada republik itu dalam tempoh terdekat ini setelah meneliti kesesuaian antara kedua-dua pihak.

Katanya, Wisma Putra akan memaklumkan kepada media massa dan orang ramai mengenai persetujuan tarikh tersebut.

``Kita akan carikan tarikh yang sesuai untuk kedua-dua pihak dan akan maklumkan kepada anda semua (media) bila sampai masanya,'' jelasnya.

Terdahulu, Syed Hamid menghadiri majlis penyerahan sumbangan pena daripada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) untuk disampaikan kepada wakil kerajaan Timor Leste dan Afghanistan.

Hadir menyerahkan sumbangan tersebut ialah Pengerusi Angkasa, Profesor Diraja Ungku Aziz - Utusan Malaysia

Hormati perasaan rakyat Johor

Keberanian kapal peronda pantai dan kapal tentera laut Singapura menghalau kapal polis marin Malaysia yang bawa wartawan di perairan Pulau Batu Putih telah membuka tembelang sebenar Singapura terhadap jiran mereka, Malaysia.

Singapura ternyata terlalu berani dan langkah tersebut amat berbahaya jika tidak diambil tindakan betul-betul.

Jika benar-benar jiran tentu mereka faham kapal polis marin Malaysia itu bukanlah kapal milik lanun. Jadi tentulah mereka akan layan kapal polis marin Malaysia dengan baik. Lagipun pulau tersebut bukanlah jauh sa-ngat dari Malaysia, cuma 20km sahaja.

Apakah salahnya jika mereka layan dengan baik kapal polis kita. Lagipun pulau itu amat dekat dengan Johor berbanding dengan Singapura. Nampaknya Singapura telah lupa asal-usulnya?

Kenapa mereka sanggup halau polis marin Malaysia? Inilah satu kejadian yang patut dikupas lebih lanjut dan dijadikan pengajaran. Tanah kita sepatutnya kitalah yang membangunkannya.

Walaupun alasannya ialah kerana mereka fikir Pulau Batu Putih itu milik mereka, namun sikap Malaysia selama ini yang rela memberi tanahnya dibangun dan dijaga oleh orang lain telah membuatkan mereka fikir boleh menakluk pulau tersebut.

Dengan tunjukkan kapal perang, mereka mahu menunjuk-nunjuk agar Malaysia jangan rapat dan cuba ambil kembali pulau itu. Apakah mereka fikir Malaysia boleh terus berdiam diri ke atas wilayah yang cuba ditakluk oleh musuh?

Sungguhpun kerajaan Singapura akan bersetuju membawa perkara itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tapi tindakan kapal perang mereka menghalau kapal polis marin dan nelayan-nelayan kita amat mengguris hati kita. Setelah kita merdeka daripada penjajahan Barat, kini luka lama cuba ditoreh kembali.

Walaupun tanah kita itu se-kangkang kera namun kita mesti tetap pertahan. Ini telah diperakui oleh kerajaan kita.

Hakikatnya Singapura sukar menerima hakikat bahawa mereka cuma menguruskan rumah api di atas pulau wilayah Johor, Malaysia. Oleh kerana Singapura sukar terima hakikat ini maka untuk menyedarkan mereka, perkara ini wajar diputuskan segera oleh ICJ.

Saya berpendapat Singapura berasa bahawa pulau itu memang sah milik mereka hanya kerana mereka mengurus rumah api, tapi kenapa mereka takut nak bawa perkara itu segera ke ICJ? Kenapa mereka melambat-lambatkan proses membawa perkara itu?

Andai kata jika ICJ memutuskan bahawa pulau itu sah milik Johor, Malaysia, bagaimana de-ngan status rumah api dan bangunan yang mereka buat itu kelak? Apakah mereka sanggup memusnahkan dengan bom? Jika ini berlaku maka nama Singapura akan terjejas di peringkat antarabangsa kerana melanggar undang-undang antarabangsa.

Walau apa pun yang berlaku, saya yakin bahawa Singapura akan terus menjadikan diri mereka sebagai biadab dan kurang ajar untuk survival pemerintah mereka.

Oleh kerana negara mereka satu-satunya negara yang ganjil kerana diperintah oleh sesuatu kaum dalam lingkungan sekitar kepulauan rumpun yang lain, maka mereka rasa ganjil dan terancam.

Jadi tak mustahil mereka akan susah menyesuaikan diri dengan suasana hidup rumpun Melayu. Justeru selamanya hubungan akan sentiasa sulit. Ini sudah semestinya mendorong kita menambah kekuatan ketenteraan kita pada masa akan datang bagi menghadapi situasi sulit ini.

Jadi isu perebutan Pulau Batu Putih telah menjadi medan ujian terbaik untuk menilai tahap sebenar kejujuran dan sikap Singapura terhadap Johor, Malaysia. Tembelangnya sudah nyata. Apa yang nyata mereka telah menghantar isyarat jelas kepada kita melalui tindakan mereka terhadap polis marin dan nelayan kita. Kita amat simpati dengan penduduk Johor dengan keadaan ini.

Kita bukan hendak bergaduh atau berperang. Kita lebih suka selesaikan di ICJ dengan segera agar yang putih jadi putih yang hitam jadi hitam.

Singapura perlulah lebih rasional dan janganlah bertindak tanpa memikirkan kesan jangka panjang. Apa pun hormatilah perasaan rakyat Johor yang paling hampir dengan mereka. Rakyat Malaysia tiada pilihan lain jika Singapura memilih untuk berperang demi kedaulatan dan kemerdekaan.

Peringatan Perdana Menteri kita bahawa mana-mana negara yang cuba menggugat kedaulatan wilayah kita akan menerima padah, bukanlah kata-kata kosong.

Singapura tetap akan diawasi kerana ia berpotensi mengancam keselamatan Johor, Malaysia khasnya.

- Reza Aljunaid, Jelebu, N. Sembilan.

Monday, January 06, 2003

TLDM hantar 2 kapal peronda

Najib: Singapura minta bantuan Malaysia lancarkan operasi menyelamat

Oleh: Suhana Abdul Mutalib

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Malaysia menghantar dua buah kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke Pulau Batu Putih bagi membantu operasi mencari dan menyelamat tiga anak kapal RSS Courageous milik Tentera Laut Singapura yang hilang sejak Jumaat lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bantuan diberikan selepas Singapura meminta kebenaran Malaysia untuk melancarkan operasi mencari dan menyelamat tiga anak kapal tersebut yang hilang dalam kemalangan di perairan Pulau Batu Putih,.

Sehubungan itu juga, beliau berkata, Malaysia telah memberikan kebenaran kepada republik berkenaan untuk meneruskan gerakan mencari di perairan negara ini.

``Kita menghantar dua buah kapal peronda yang berlepas dari Pelabuhan Kuantan malam tadi bagi mengawasi operasi berkenaan,'' katanya.

Najib berkata, bantuan tersebut diberikan atas dasar pertimbangan perikemanusiaan selain menjaga hubungan dua hala.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia tidak akan mencampuri urusan siasatan punca kejadian berkenaan.

``Kita tidak akan campur tangan. Terpulang kepada kerajaan Singapura untuk siasat perkara itu dan kita akan bergantung sepenuhnya kepada hasil siasatan mereka,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Bandar Tun Razak di sini hari ini.

Najib mengulas perlanggaran sebuah kapal peronda antikapal selam republik berkenaan, RSS Courageous dengan kapal kargo ANL Indonesia yang didaftarkan di Belanda, kira-kira 1.8 batu nautika dari Pulau Batu Putih.

Dalam kejadian pukul 11.35 malam itu, seorang anak kapal wanita yang juga pakar pengendalian senjata disahkan terbunuh manakala tiga lagi rakannya, semuanya wanita dilaporkan hilang.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Singapura dalam satu kenyataan berkata, satu mayat ditemui hari ini di pantai peranginan di Pulau Bintan, Indonesia yang mungkin seorang daripada tiga pegawai tentera wanita Singapura yang hilang dalam pelanggaran kapal tersebut.

Pihak Singapura telah diberitahu bahawa mayat seorang wanita Cina ditemui di situ pada pukul 10 pagi ini, jelas kenyataan tersebut.

Semalam, penyelam tentera laut menemui mayat pegawai tentera, Goh Hui Ling, 22, tersepit di antara kabin-kabin tidur yang rosak teruk.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai seorang penulis, Tim Huxley yang dipercayai cuba mewujudkan ketegangan antara Malaysia dan Singapura melalui bukunya yang bertajuk Defending The Lion City; The Armed Forces of Singapore, Najib menyifatkannya sebagai permainan taktik kotor media barat.

Kata beliau, penulis berkenaan tidak sewajarnya membuat perbandingan sistem pertahanan antara kedua-dua negara tanpa mengkaji aspek lain terlebih dahulu.

Ini kerana, katanya, Singapura merupakan sebuah pulau yang kecil berbanding Malaysia dan sistem pertahanan antara kedua-dua negara juga berbeza.

``Analisis seperti itu tidak wajar diterbitkan kerana hanya mendorong situasi yang lebih tegang antara dua negara. Masalah antara Malaysia dan Singapura harus diselesaikan cara baik. Tak perlulah kita dengar komen pihak luar untuk selesaikan masalah ini,'' katanya - Utusan Malaysia

Hadapi realiti perbezaan hubungan

Dalam memperkatakan hubungan Malaysia-Singapura, sebenarnya kita tidak boleh lari daripada melihatnya sebagai hubungan di antara dua budaya kuasa yang berbeza. Satu mewakili sifat yang mudah bertolak ansur (accommodating), berbudi bahasa dan bertimbang rasa, manakala satu lagi jelas mewakili sifat mentaliti dikepung (siege mentality).

Walaupun perspektif ini tidak pernah diakui oleh Singapura, namun kata-kata Lee Kuan Yew dalam penulisannya, jelas mencerminkan hakikat berkenaan.

Berbeza dengan Malaysia yang telah mengalami empat kali peralihan kepimpinan, Singapura melalui peralihan kepimpinan hanya sekali sahaja, sejak penubuhan Malaysia. Empat kali peralihan kepimpinan itu membawakan Malaysia ke dalam kedudukan yang lebih pragmatik dalam kehidupan berjiran dengan negara tetangganya itu.

Sedangkan Singapura walaupun sudah beralih kepimpinannya sekali, ia masih dibayangi pengaruh Lee Kuan Yew, yang merupakan tonggak yang mewarisi nilai-nilai dan pandangan yang berasaskan pengalamannya di dalam dan di luar Malaysia sejak dari zaman Tunku Abdul Rahman dahulu. Maka jelas sekali hubungan ini sentiasa disalut dengan madu dan hempedu.

Menyorot kembali penyingkiran Singapura dari Malaysia pada 9 Ogos 1965, setelah hanya dua tahun mereka `berkahwin', perpisahan tersebut yang dimeterai oleh tiga bacaan di Dewan Negara dan Dewan Rakyat melambangkan lafaz talak tiga, dalam perceraian orang-orang Melayu Islam. Yakni tidak ada rujuk kembali.

Bertitik tolak dari situ, Malaysia menjadi rimas dengan gelagat jirannya seperti yang terdapat dalam beberapa peristiwa penting. Antaranya, pada tahun 1986, Singapura telah melukai hati Malaysia dengan mengalu-alukan lawatan Presiden Chaim Herzoz dari Israel. Pada tahun 1987 pula, Brigedier Jeneral (B) Lee Hsien Loong, yang dikatakan akan mewarisi kepimpinan Singapura, menegaskan bahawa kekurangan orang Melayu Islam dalam Angkatan Tentera Singapura adalah agar tidak timbul konflik di antara kesetiaan dengan emosi dan agama, apabila republik itu diserang. Ini jelas memberi implikasi bahawa musuh mereka adalah Malaysia, sebuah negara Islam.

Pada tahun yang sama juga dua buah bot penggempur dengan 6 orang tentera beruniform menceroboh masuk ke Sungai Melayu di Johor Bahru. Manakala pada akhir tahun 2001, isu pelajar Nurul Nasihah yang tegas tidak mahu menanggalkan tudungnya telah disingkir dari sekolah atas alasan yang sukar diterima oleh penganut Islam.

Kini, dalam kehangatan isu bekalan air yang belum selesai, diikut pula isu penambakan laut dan terakhirnya isu hak milik Pulau Batu Putih.


Adakah isu-isu akan menjadi satu faktor penentu yang akan memberi kesan jangka pendek dan panjang dalam hubungan dua negara berjiran ini? Atau adakah Tambak Johor tetap berdiri gagah sebagai laluan kasih mesra orang berjiran?

Sebenarnya Singapura sudah awal-awal lagi terperangkap dalam sindrom mentaliti dikepung ini sejak dari zaman ia masih berada dalam Malaysia. Seperti kata Lee Kuan Yew, sebagai negara kecil yang sumbernya sedikit, tetapi rakyatnya perlu memikirkan strategi untuk terus hidup.

Hasrat Lee Kuan Yew untuk menjadikan Singapura sebagai Israel bermula selepas Singapura keluar dari Malaysia di mana Goh Keng Swee, Menteri Kewangannya yang merangkap Menteri Pertahanan bertemu dengan Mordecai Kidron, Duta Israel di Bangkok pada tahun 1965.

Pada November 1965, sekumpulan pakar ketenteraan Israel yang dipimpin oleh Kolonel Jak Ellazari, tiba di Singapura dan diikuti pula oleh enam orang lagi pada Disember 1965. Mereka ini menyamar sebagai `Mexicans'.

Dari situ, dalam masa 10 tahun sahaja Singapura sudah memiliki satu angkatan tentera yang lengkap dan kini menjadi semakin canggih dengan perbelanjaan tahunan pertahanan terkini mencecah 3.7 bilion dolar.


Memahami keadaan pemikiran mereka sebenarnya juga memahami pemikiran jiran yang bimbang dengan kemajuan dan kemakmuran jiran bersebelahannya. Dalam jangka masa 10 tahun kebelakangan ini, kelihatan segala-galanya telah bertukar tempat.

Dunia tidak lagi melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang berada di pinggiran Singapura. Malaysia muncul sebagai negara yang mempunyai jati diri dan kedaulatannya sendiri. Malaysia tidak lagi perlu meniru Singapura. Malah sebaliknya yang berlaku.

Maka dengan daya saingan yang sudah mula dimiliki oleh Malaysia ke atas Singapura, negara tersebut tidak harus dilihat sebagai satu ancaman besar. Hasrat utama Singapura adalah mahu survive di sebelah negara jirannya yang sejak dahulu membantu ia menjadi makmur.

Sebarang langkah agresif terhadap Malaysia pasti akan menjejaskan peranan Malaysia sebagai pembantunya yang sekian lama bersifat matang dan sabar. Hanya jiran yang berjiwa kecil sahaja akan merosakkan hubungannya dengan jiran yang mempunyai sifat gentleman sedemikian.

Itulah realiti yang kita perlu lihat dalam hubungan dua hala ini. Realiti itu tentu sekali perlu difahami Singapura.

- Hamdan Sulaiman, Hulu Klang, Selangor.

Singapura didesak tinggalkan Batu Putih

Oleh: Hata Wahari

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Pergerakan Pemuda UMNO hari ini mengulangi desakannya kepada Kerajaan Singapura supaya mengeluarkan pasukan keselamatannya daripada Pulau Batu Putih dan perairannya serta merta.

Naib Ketuanya, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata, tindakan republik itu secara berterusan meletakkan pasukan keselamatan di Pulau Batu Putih dan perairannya menimbulkan banyak masalah bukan sahaja kepada negara ini.

Tambahnya, ia juga menimbulkan masalah kepada kapal-kapal dagang yang melalui perairan sekitar Pulau Batu Putih.

``Pemuda UMNO kesal, kerajaan Singapura masih enggan mengeluarkan pasukan keselamatannya dari perairan Pulau Batu Putih menyebabkan berlakunya kemalangan tersebut.

``Kali ini ia hanya menyebabkan seorang anggota tentera terbunuh dan tiga yang lain, semuanya wanita hilang, mungkin selepas ini akan berlaku tragedi lebih buruk lagi'' katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian sebuah kapal peronda anti kapal selam Tentera Laut Singapura, RSS Courageous, yang rosak teruk dan hampir tenggelam dalam pelanggaran dengan kapal kargo ANL Indonesia yang didaftarkan di Belanda dekat Pulau Batu Putih malam kelmarin.

Seorang anggota tentera Singapura dilaporkan terbunuh dan tiga yang lain, semuanya wanita, hilang.

Kejadian berlaku kira-kira satu batu nautika (1.8 kilometer) dari Pulau Batu Putih ketika Singapura meningkatkan kawalan dan rondaan sekitar Pulau Batu Putih yang didakwanya merupakan sebahagian wilayah maritim republik itu.

Abdul Aziz bimbang, sekiranya berlaku sekali lagi pelanggaran antara kapal perang Tentera Laut Singapura dengan kapal dagang ia mungkin akan menyebabkan malapetaka yang lebih besar.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan membuat bantahan terhadap Singapura dan meminta mereka menarik keluar pasukan keselamatan dari pulau itu dengan segera.

Beliau juga menyokong kerajaan menolak cadangan Singapura untuk menandatangani perjanjian khas bagi membawa isu tuntutan Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Brussels, Belgium, pada akhir bulan ini.

Abdul Aziz berkata, tindakan Singapura itu tidak rasional langsung memandangkan Malaysia telah mencadangkan enam atau tujuh tarikh untuk menandatangani perjanjian khas tersebut.

``Ini jelas membuktikan negara itu tidak ikhlas dalam usaha menyelesaikan masalah tersebut.

``Pemuda UMNO yakin, republik itu mempunyai agenda terutama untuk mendapatkan simpati dari negara lain apabila mencadangkan perjanjian khas itu ditandatangani di Brussels, Belgium,'' katanya.

Beliau mencadangkan, sekiranya Singapura tidak mahu perjanjian itu ditandatangani di negaranya atau di Malaysia ia boleh ditandatangani di salah sebuah negara dalam ASEAN.

Malaysia sebelum ini mencadangkan enam atau tujuh tarikh kepada Singapura bagi melaksanakan perjanjian khas tersebut tetapi ditolak oleh republik itu - Utusan Malaysia

Singapura sedia tandatangani di mana saja

JOHOR BAHRU 5 Jan. - Singapura bersedia menandatangani perjanjian khas dengan Malaysia di mana sahaja untuk membawa kes tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Menteri Luarnya, Profesor S. Jayakumar berkata, Malaysia boleh mengemukakan tarikh baru jika mendapati 27 atau 28 Januari iaitu tarikh yang dicadangkan oleh republik itu tidak sesuai untuk ditandatangani di Brussels, Belgium.

``Kami tidak kisah di mana perjanjian itu akan dimeterai... Malaysia boleh mencadangkan tarikh lain dan kita akan menimbangkannya,'' katanya yang dipetik oleh Sunday Times Singapura.

Beliau merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semalam bahawa Malaysia tidak bersetuju dengan cadangan Singapura untuk menandatangani perjanjian khas itu di Brussels semasa mesyuarat ASEAN-Kesatuan Eropah (EU).

Menurut Jayakumar, cadangan agar perjanjian itu ditandatangani di Brussels berikutan kemahuan Malaysia supaya perjanjian itu disegerakan.

Sementara itu di Kota Tinggi, Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, Malaysia akan mengemukakan tarikh baru kepada Singapura supaya perjanjian khas itu dapat dimeterai di Malaysia atau Singapura bulan ini juga atau pun bulan depan.

Beliau berkata, jika tidak bulan ini ia boleh dilakukan semasa sidang kemuncak Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) di Kuala Lumpur bulan depan.

``Ada besar kemungkinan, kita boleh buat dalam bulan Januari ini. Kalau tidak, saya fikir dalam bulan Februari.

``Kita akan tengok kalau nak buat di samping mesyuarat NAM, Singapura adalah anggota NAM dan ia boleh dilakukan di Kuala Lumpur, tak menjadi masalah,'' katanya.

``Ia (penetapan tarikh) tak menjadi masalah tetapi pada saya kita akan beri tarikh khusus dan kita tengoklah respon Singapura,'' katanya selepas merasmikan bangunan Unit Haemodialisis, Hospital Kota Tinggi, di sini.

Beliau ditanya tarikh yang akan dicadangkan oleh Malaysia selepas menolak cadangan Singapura supaya perjanjian itu ditandatangani di Brussels.

Syed Hamid menjelaskan cadangan Singapura itu sangat tidak sesuai dengan agenda mesyuarat ASEAN-EU.

Selain itu, katanya, beliau kemungkinan besar tidak dapat menghadiri mesyuarat berkenaan.

``Oleh itu, kita akan mencadangkan tarikh untuk menandatangani, saya lebih suka (perjanjian khas) ditandatangani di Malaysia atau dia (Singapura) nak menandatangani di Singapura, saya tak ada masalah,'' katanya.

Menurut Syed Hamid, Malaysia sememangnya mahu menandatangani perjanjian khas itu secepat mungkin cuma pihaknya baru mendapat tahu mengenai perkara tersebut Jumaat lalu yang mencadangkan supaya ia diadakan di Brussels dan ia tidak sesuai.

``Biarlah ia ditandatangani di rantau kita dan berdasarkan pandangan yang diberi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir ia lebih tepat dan kita akan mengambil bahagian sewajarnya bagi memastikan kedua-dua pihak untuk menandatanganinya secepat mungkin,'' tegasnya.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan meneliti tarikh yang sesuai sebelum mengusulkannya kepada Singapura secepat mungkin untuk memuktamadkan pemeteraian perjanjian khas itu.

``Saya selalu tak umumkan tarikh pada akhbar sehingga kita sudah hantar (kepada Singapura) kerana kita tidak mahu sesiapa dipersalahkan jika tarikh yang dicadangkan itu tidak sesuai.

``Ini tidak, dia (Singapura) bagi tarikh dan umum pada surat khabar dan saya tengok macam tak sesuai,'' jelas beliau.

Syed Hamid menegaskan, tindakan Malaysia tidak bersetuju dengan cadangan Singapura untuk menandatangani perjanjian khas itu di Brussels bukan bertujuan untuk melengah-lengahkan perkara itu.

``Soal melengah-lengahkan tak timbul kerana kita hanya cuba menguruskan hubungan kita dengannya sebaik mungkin di dalam keadaan yang agak dingin.

``Kita tak nak menyalahkan sesiapa kerana yang penting kita nak mentadbirkan hubungan dua hala di dalam suasana yang sebaik mungkin,'' tegasnya lagi - Utusan Malaysia

Pulau Batu Putih wajar diawasi bersama

KOTA TINGGI 5 Jan. - Pengawasan di perairan Pulau Batu Putih wajar dilakukan secara bersama antara pihak berkuasa Malaysia dan Singapura sebagai langkah mencegah sebarang kemalangan di lautan, kata Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini.

Beliau berkata, kemalangan antara kapal peronda anti kapal selam Tentera Laut Singapura, RSS Courageous, dengan kapal kargo ANL Indonesia yang didaftarkan di Belanda dekat Pulau Batu Putih pada Jumaat lepas sebenarnya boleh dielakkan.

``Pada saya, ada baiknya bila kedua-dua pihak membuat pengawasan... kehadiran masing-masing diketahui supaya tidak boleh berlaku kemalangan,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Unit Hemodialisis Hospital Kota Tinggi di sini.

Kehadiran kapal-kapal keselamatan sama ada dari Malaysia atau Singapura di Pulau Batu Putih perlu diketahui oleh pihak berkuasa kedua-dua negara berkenaan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Sehubungan itu, katanya, kedua-dua negara perlu mengadakan `satu pusat' untuk mengetahui kehadiran pasukan keselamatan apabila kedua-dua pihak membuat pengawasan di pulau berkenaan.

``Pada saya, ada baiknya bila kedua-dua belah pihak membuat pengawasan, kehadiran masing-masing diketahui agar tidak berlaku insiden yang tidak diingini,'' katanya.

Syed Hamid mengulas insiden pelanggaran kapal peronda anti kapal selam Singapura dengan kapal dagang milik syarikat Belanda seberat 52,000 tan itu di kawasan perairan yang terletak kira-kira 1 batu nautika dari Pulau Batu Putih.

Sementara itu, kata Syed Hamid, Malaysia berasa sedih di atas kejadian itu serta mengucapkan takziah kepada Kerajaan Singapura serta ahli keluarga anak kapal yang terbunuh.

``Kita sampaikan takziah kepada keluarga dan Kerajaan Singapura atas kehilangan jiwa... ini menunjukkan bahawa kemungkinan perkara-perkara sedemikian (kemalangan) boleh berlaku jika kita tidak berhati-hati dalam melaksanakan pengawasan,'' jelasnya - Utusan Malaysia

Sunday, January 05, 2003

ICJ: Malaysia tolak tandatangan perjanjian khas di Brussels

Oleh: Rosni Hassan dan Hamden Ramli

LANGKAWI 4 Jan. - Malaysia tidak bersetuju dengan cadangan Singapura untuk menandatangani perjanjian khas bagi membawa isu tuntutan Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Brussels, Belgium, pada akhir bulan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak tahu mengapa Singapura mahu perjanjian itu ditandatangani di luar negara kerana ia sepatutnya dilakukan di sini.

Menurut beliau, Malaysia pada dasarnya bersetuju dengan cadangan Singapura untuk menandatangani perjanjian khas mengenai pertikaian yang berlaku itu ke ICJ tetapi mahu ia diadakan di sini dan bukannya di luar negara.

``Kita setuju tetapi pasal apa hendak buat (menandatangani perjanjian khas) di Brussels, buat di sini la,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini tanpa merujuk sama ada perkara itu perlu dibuat di Malaysia mahupun di Singapura.

Beliau diminta mengulas mengenai cadangan Singapura untuk menandatangani perjanjian khas bagi membawa isu tuntutan Pulau Batu Putih ke ICJ pada 27 dan 28 Januari ini sempena Mesyuarat ASEAN-Kesatuan Eropah di Brussels, Belgium.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, nota mengenai cadangan tarikh itu diterimanya dari Kementerian Luar Singapura hari ini.

Nota itu adalah cadangan balas kepada beberapa tarikh yang dicadangkan oleh Malaysia sehingga September tahun lalu.

Ditanya apa motif Singapura yang mahu perjanjian itu ditandatangani di Brussels, kata Dr. Mahathir,``Itu saya tak tahu, itu kena tanya dia, mana saya tahu.''

Malaysia sebelum ini telah mencadangkan enam atau tujuh tarikh kepada Singapura bagi melaksanakan perjanjian khas tersebut tetapi ditolak oleh republik itu.

Perbincangan penyelesaian mengenai hak kedaulatan ke atas pulau berkenaan telah bermula sejak tahun 1981 lagi.

Walaupun begitu, pemimpin kedua-dua negara hanya bersetuju pada tahun 1991 untuk merujuk pertikaian yang berlaku ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Biarpun begitu, usaha untuk mendapatkan persetujuan agar satu perjanjian khas diadakan bagi membolehkan isu berkenaan di bawa ke ICJ mengambil masa dan hanya dicapai pada tahun 1998.

Sementara itu, Syed Hamid ketika dihubungi Mingguan Malaysia berkata, Malaysia mungkin mengemukakan satu tarikh baru kepada Singapura bagi menandatangani perjanjian khas tersebut.

Syed Hamid berkata, beliau tidak menolak kemungkinan itu kerana tarikh dan tempat yang dicadangkan oleh Singapura itu kelihatan sukar untuk dipenuhi.

Menurut beliau, terdapat beberapa perkara perlu diputuskan sebelum bersetuju dengan tarikh tersebut.

``Pertama, kita belum pasti mesyuarat tersebut akan diadakan atau tidak, kerana perkara tersebut belum dimuktamadkan lagi dan kita juga masih belum pasti sama ada kita akan mengambil bahagian dalam mesyuarat itu.

``Oleh itu tarikh yang diberikan itu mungkin kita boleh buat tetapi kalau tidak, kita cari tarikh yang sesuai,'' katanya.

Mengulas lanjut, Syed Hamid berkata, pada dasarnya Malaysia tidak ada masalah untuk menerima cadangan tarikh yang dikemukakan oleh Singapura itu.

``Jika boleh kita hendak cepat dari tarikh itu lagi,'' katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, disebabkan masih terdapat beberapa perkara yang memerlukan penelitian lanjut daripada kerajaan, maka tarikh tersebut perlu dikaji terlebih dahulu.

Beliau menambah, sekiranya Malaysia mencadangkan tarikh baru ia bukan bertujuan untuk melambat-lambatkan usaha tersebut tetapi semata-mata untuk mencari satu masa yang menjadi kesesuaian bersama - Utusan Malaysia

Kapal tentera Singapura nahas

Seorang anggota peronda antikapal selam terbunuh, 3 hilang dekat Batu Putih

SINGAPURA 4 Jan. - Sebuah kapal peronda antikapal selam Tentera Laut Singapura, RSS Courageous, rosak teruk dan hampir tenggelam dalam perlanggaran dengan kapal kargo ANL Indonesia yang didaftarkan di Belanda dekat Pulau Batu Putih malam tadi.

Seorang anggota tentera Singapura dilaporkan terbunuh dan tiga yang lain, kesemuanya wanita hilang.


KAPAL peronda antikapal selam Singapura, RSS Courageous ditunda ke Pangkalan Tentera Laut Changi selepas dilanggar oleh kapal kargo ANL Indonesia, milik syarikat Belanda, O&P Nedlloyd di kawasan perairan yang terletak kira-kira satu batu nautika (1.8 kilometer) dari Pulau Batu Putih, semalam. - Gambar AP

Kejadian itu yang dianggap sebagai kemalangan terburuk dalam sejarah moden Singapura berlaku di kawasan perairan yang terletak kira-kira satu batu nautika (1.8 kilometer) dari Pulau Batu Putih.

Kejadian tersebut berlaku ketika Singapura meningkatkan kawalan dan rondaan sekitar Pulau Batu Putih yang didakwanya merupakan sebahagian wilayah maritim republik itu.

Laporan awal menyatakan sebuah kapal dagang Malaysia terlibat dengan perlanggaran itu tetapi kemudiannya ia disahkan kapal dagang milik syarikat Belanda.

Insiden tersebut menarik perhatian banyak pihak terutama ketika Singapura dan Malaysia sedang berbalah berhubung tuntutan ke atas pulau berkenaan.

Baru-baru ini, sebuah bot polis marin Malaysia yang membawa sekumpulan wartawan dihalang daripada mendekati pulau berkenaan oleh republik itu yang turut menempatkan kapal tentera laut di situ.

Dalam kejadian malam tadi, kapal peronda antikapal selam itu hampir tenggelam dan mengalami kerosakan besar terutama di bahagian belakang. Bagaimanapun kapal kargo seberat 52,000 tan yang dimiliki syarikat P&O Nedlloyd itu hanya mengalami kerosakan kecil.

RSS Courageous merupakan satu daripada enam buah kapal peronda antikapal selam dalam armada laut Singapura. Republik itu dikatakan mempunyai kelengkapan pertahanan termoden di Asia Tenggara termasuk dari segi kemampuan pertahanan maritimnya.

Timbalan Perdana Menteri, Tony Tan berkata, kapal peronda itu berada di kawasan perairan Singapura sewaktu ia dilanggar oleh ANL Indonesia.

``Perlanggaran tersebut merupakan kemalangan yang paling dahsyat,'' kata Tan, yang juga merupakan Menteri Pertahanan Singapura.

``Di segi kehilangan nyawa, ini merupakan satu kemalangan yang paling banyak mengorbankan nyawa anggota tentera laut Singapura,'' kata beliau.

Menurut satu kenyataan Pegawai Perhubungan Awam Kementerian Pertahanan Singapura, Valerie Yeo, ketika kejadian keempat-empat anak kapal itu sedang tidur di kabin wanita yang terletak di bahagian belakang RSS Courageous.

Kapal peronda seberat 500 tan itu dirempuh oleh kapal kargo ANL Indonesia pada kira-kira pukul 11.35 malam tadi. Seorang anak kapal yang juga pakar pengendalian senjata disahkan terbunuh akibat kemalangan tersebut manakala tiga lagi rakannya, kesemuanya wanita, masih hilang.

Harapan untuk menemui kesemua mangsa dalam keadaan selamat dipercayai agak tipis pada masa ini.

``Singapura perlu bersedia untuk menghadapi kemungkinan buruk,'' kata Tan merujuk kepada nasib ketiga-tiga anak kapal tersebut.

Menurutnya, lapan daripada 44 orang anak kapal itu cedera ringan dan tiga daripada mereka dimasukkan ke hospital.

Sementara itu, kenyataan Kementerian Pertahanan menyatakan bahawa pihak berkuasa pelabuhan terpaksa menunda RSS Courageous ke Pangkalan Tentera Laut Changi untuk mengeringkan kabin-kabin yang dimasuki air bagi mencari mangsa yang hilang.

Kementerian itu sebelum ini berkata, mereka percaya ketiga-tiga anak kapal itu sedang tidur sewaktu RSS Courageous dirempuh oleh ANL Indonesia.

``Kabin mereka terletak di bahagian belakang kapal iaitu bahagian yang mengalami kerosakan teruk akibat perlanggaran itu,'' kata kenyataan tersebut.

Bagaimanapun tidak ada laporan mengenai kecederaan di pihak anak kapal ANL Indonesia yang ditunda ke Dermaga Timur di Pelabuhan Singapura.

Syarikat P&O Nedlloyd tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan mengenai kemalangan tersebut.

Sementara itu, Jurucakap Biro Maritim Antarabangsa Malaysia berkata, pihak berkuasa Malaysia dimaklumkan mengenai kemalangan tersebut tetapi tidak terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat.

Katanya, Malaysia hanya akan membantu sekiranya diminta oleh pihak Singapura. - AP