Showing posts with label Artikel. Show all posts
Showing posts with label Artikel. Show all posts

Sunday, November 25, 2007

Malaysia bimbang wujud rejim maritim baru

Daripada: Noraini Abd. Razak

THE HAGUE , Belanda 24 Nov. – Malaysia hari ini menutup kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih dengan menyuarakan kebimbangan mengenai wujudnya satu lagi rejim maritim yang boleh menjejaskan sempadan serta bidang kuasa maritim sedia ada antara negara ini dengan Indonesia, jika keputusan kes tersebut memihak kepada Singapura.

Duta Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad memberitahu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini, perkara itu juga jika menjadi kenyataan akan menuntut satu persempadanan baru wilayah perairan antara Singapura dan Indonesia meskipun telah ada perjanjian yang dipersetujui sebelum ini.

Hujah beliau, Malaysia berusaha untuk mengemukakan kes itu dengan sempurna dan adil kerana ia mempunyai kepentingan dalam kerjasama dan keselamatan di perairan Selat Singapura.

Malaysia juga, katanya, mempunyai kepentingan bersama untuk mengekalkan kedamaian dan hubungan persahabatan antara negara jiran berasaskan undang-undang antarabangsa.

“Ini terutamanya penting bagi hubungan dengan negara-negara jiran terdekat seperti Singapura. Sebab itu Malaysia tampil di mahkamah ini untuk mencari penyelesaian secara aman berhubung pertikaian terhadap Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge,” hujah Abdul Kadir.

Beliau menarik perhatian mahkamah mengenai hujah Profesor Jayakumar (Timbalan Perdana Menteri Singapura) Isnin lalu bahawa kes itu bukan mengenai hak untuk mengendalikan rumah api sehingga menimbulkan persoalan, ia sebenarnya mengenai apa.

Abdul Kadir berkata, mahkamah telah mendengar mengenai pelan penambakan laut Singapura - dalam jawapan balasnya republik itu mendakwa ia ‘sebuah negara yang mematuhi undang-undang serta berbangga dengan rekodnya berhubung perkara itu.’

Katanya, Singapura tidak membuat penafian mengenai pelan penambakan laut sambil menegaskan bahawa Malaysia tidak pernah diajak berunding sebelum republik itu memulakan kerja-kerja penambakan secara besar-besaran di Selat Johor tanpa mengambil kira sempadan-sempadan Malaysia atau persekitaran marin.


Dan semasa berlangsungnya kes tuntutan bertindih di ICJ, peguam Singapura Profesor Alain Pellet tampil dengan idea yang tidak pernah dikemukakan oleh republik itu sebelum ini iaitu apabila beliau merujuk Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge sebagai gugusan kepulauan - satu lagi idea yang boleh dipersoalkan.

“Oleh itu saya berharap mahkamah akan memahami keprihatinan kami bahawa Singapura tidak mempunyai apa-apa untuk dihadapkan ke mahkamah, sebaliknya memburukkan keadaan,” hujah beliau.

Dalam hujah penggulungannya selama 20 minit itu, Abdul Kadir menegaskan pendirian negara iaitu meminta ICJ membuat keputusan bahawa Malaysia mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge.

Di hadapan barisan 16 hakim yang diketuai oleh Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh, beliau dengan tegas menjawab satu persatu dakwaan Jayakumar terhadap Malaysia berhubung tuntutan bertindih itu.

Beliau menarik perhatian mahkamah mengenai kehadiran tentera republik itu di Pulau Batu Putih apabila Singapura mengakui telah memperkenalkan peralatan komunikasi radar di pulau berkenaan.

Singapura, menurut beliau, juga telah memperkenalkan zon rondaan F5 pada tahun 1975 yang langsung tidak mempunyai kaitan spesifik dengan Pulau Batu Putih.

Katanya, hanya pada tahun 1986 kawalan 24 jam dijalankan di sekeliling Pulau Batu Putih dengan hasrat untuk menjadikan wilayah di sekitar ketiga-tiga bentuk maritim itu sebagai kawasan larangan.


Profesor Jayakumar berkata, Singapura tidak pernah menangkap nelayan Malaysia di perairan Pedra Branca (Pulau Batu Putih).

“Isunya di sini ialah bukannya mengenai mana-mana nelayan Malaysia telah ditangkap, ia adalah mengenai nelayan-nelayan Johor yang dihalang sepenuhnya daripada menangkap ikan di kawasan berhampiran Pulau Batu Putih.

“Mereka tidak dibenarkan berlindung di pulau tersebut ketika cuaca buruk, nelayan-nelayan Malaysia dinafikan hak untuk mendekati kawasan penangkapan ikan tradisional mereka,” hujahnya.

Selain isu kehadiran tentera dan keangkuhan Singapura menjadikan perairan Pulau Batu Putih kawasan larangan yang ada kaitan dengan pembentukan rejim maritim, Abdul Kadir menjawab satu lagi dakwaan Singapura iaitu berhubung status quo republik itu sebagai pengendali Rumah Api Horsburgh.

Katanya, dalam hal itu pendirian Malaysia amat jelas iaitu tidak akan mengubah status quo pengurusan rumah api tersebut walaupun Jayakumar menyifatkan kenyataan itu sebagai satu kesilapan bersejarah.

Beliau kemudian menegaskan bahawa kebenaran oleh Kerajaan Johor untuk pembinaan dan pengurusan rumah api telah diminta serta diberi secara sukarela dan tiada apa yang berubah.

Sebaliknya, tegas Abdul Kadir, Singapura telah mengubah polisi yang telah terpakai oleh British sejak sekian lama - seperti yang digambarkan oleh Pavit (pernah menjadi Pengarah Marin Singapura) dalam bukunya serta Akta Yuran Rumah Api 1969.

“Singapura ingin mentakrifkan semula statusnya di Pulau Batu Putih dengan menuntut kedaulatan bukan sahaja ke atas Pulau Batu Putih malah di Middle Rocks dan South Ledge,” katanya - Utusan Malaysia

Menanti keputusan ICJ

Daripada: Noraini Abd. Razak (Belanda)

UNTUK dua hari terakhir kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memulakan persidangan pada pukul 3 petang dan berakhir tiga jam selepas itu.

Dua hari itu iaitu Khamis dan Jumaat adalah giliran Malaysia menyempurnakan pusingan kedua hujah lisannya sekali gus menggulung kes selepas Singapura menamatkan tugasnya Selasa lalu.

Sememangnya, beban yang terpikul di bahu delegasi Malaysia untuk mempertahankan ketiga-tiga bentuk maritim itu amat berat - namun sepanjang tiga minggu menjadikan ICJ rumah kedua - para petugas tidak pernah menampakkan wajah lesu jauh sekali berputus asa.

Sebab itu dua hari terakhir menjadi amat penting, biarpun kes bermula ketika rakyat Malaysia mula melelapkan mata dan tamat ketika mereka dibuai mimpi (pukul 1 pagi waktu Malaysia), namun itu tidak menjadi persoalan.

Yang lebih penting ialah menjadikan setiap hujah Malaysia sempurna, bukan hanya ‘kelihatan sempurna tetapi kosong’ seperti yang didakwa Singapura.

Persiapan kes Malaysia juga mesti dipastikan teratur dan dirancang rapi supaya tidak menjadi seperti pasukan Singapura pada hari pertama pusingan kedua hujah lisan mereka Isnin lalu.

Singapura seolah-olah tidak bersedia meletakkan peguamnya berhujah untuk tempoh setengah jam terakhir persidangan. Dan apabila peguamnya bangun, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh terpaksa bertanya apa tajuk yang akan diperkatakan dan peguam itu terpaksa menjelaskan secara panjang lebar.

Barisan hakim mengingatkan pasukan Singapura pada pusingan kedua hujah lisan republik itu iaitu mereka ingin mendengar sesuatu yang berbeza dan bukannya pengulangan fakta yang terlalu kerap sehingga menimbulkan suasana kurang memberangsangkan.

Semestinya delegasi Malaysia juga mengambil berat peringatan itu, lantaran fakta yang dikitar semula biarpun bertujuan mengikat fikiran para hakim akan mengundang rasa bosan.

Namun begitu bukan mudah untuk menawarkan fakta berbeza dan cabarannya amat nyata. Ini kerana hujah kes tuntutan bertindih ini bersandarkan fakta sejarah yang tarikhnya dan kisahnya tidak boleh diubah sesedap rasa.

Sebab itu apabila memperkatakan tentang terra nullius misalnya, kedua-dua pasukan membangkitkan sama ada Pulau Batu Putih dimiliki oleh mana-mana kuasa atau tidak. Hujah itu ditonjolkan dari hari pertama hujah lisan hinggalah kedua-dua pihak menutup kes.

Dalam hal ini, Malaysia berjaya menampakkan daya usahanya. Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail ketika memulakan pusingan kedua itu berjaya menarik perhatian mahkamah dan audiens mengenai dua perjanjian penting yang ditandatangani pada tahun 1948.

Walaupun fakta perjanjian yang membataskan kuasa kerajaan negeri Johor berhubung hal ehwal pertahanan dan pemeteraian perjanjian dengan negara luar itu terkandung dalam memorialnya, namun suara lantang Abdul Gani menyerlahkan nilai bukti tersebut.

Natijahnya, sebelum mahkamah menutup kes, Hakim Keith merujuk kepada pasukan Singapura perihal perjanjian itu. Singapura perlu menjelaskan pendiriannya berhubung dua perjanjian berkenaan serta kapasiti Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor untuk mengeluarkan surat berbunyi: “Johor tidak menuntut hak milik ke atas Pulau Batu Putih.”

Oleh kerana minggu ini menjadi medan terakhir untuk meyakinkan mahkamah bahawa ketiga-tiga bentuk maritim itu milik masing-masing maka semacam ada usaha terdesak untuk melemahkan kes pihak lawan.

Singapura misalnya cuba menarik perhatian mengenai gambar Malaysia yang menunjukkan Rumah Api Horsburg berlatar belakang Bukit Pelali.

Peguam Negara republik itu, Chao Hick Tin sambil menunjukkan gambar tersebut kepada mahkamah menuduh Malaysia cuba memanipulasi kedudukan Pulau Batu Putih dengan Pantai Johor.

Beliau mendakwa, gambar Malaysia itu menokok tambah ketinggian bukit itu kira-kira tujuh kali berbanding gambar republik itu yang langsung tidak mempunyai latar belakang bukit itu.

Sambil menganggap isu gambar itu sebagai remeh (biarpun cara Singapura membentangkannya di mahkamah semacam menunjukkan perkara itu amat penting), peguam Malaysia Profesor Marcelo Kohen ringkas menolak dakwaan itu.

Hujah beliau mudah, penghasilan gambar itu bergantung kepada perspektif masing-masing.

“Ada gambar diambil daripada kapal kecil dan yang satu lagi daripada atas kapal tangki besar, diambil pada tempat yang sama serta ditujukan kepada arah yang sama, tetapi ketinggian berbeza, sudah tentu hasil pandangannya tidak sama,” katanya.

Kohen berkata, Singapura yang mengakui Titik Romania boleh dilihat dari Pulau Batu Putih, sepatutnya menggunakan hujah untuk membuat analisis definisi Jurukur British, JT Thompson berhubung ‘Titik Romania - tanah yang paling dekat dengan Pulau Batu Putih berbanding menunjukkan kemegahan mengenai fotografi

Selepas 12 hari bertungkus-lumus di hadapan para hakim dan di belakang tabir, delegasi Malaysia sememangnya layak menerima ucapan tahniah daripada Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar kerana kerja keras mereka.

Dengan waktu tidur hanya dua jam sehari, semangat kerja berpasukan amat terserlah sepanjang kes ini berlangsung seolah-olah tiada istilah penat atau rehat di dalam kamus hidup mereka.

Tan Sri Abdul Kadir Mohamad yang mengetuai delegasi Malaysia wajar berbangga di atas semangat juang semua anak buahnya baik pegawai-pegawai kanan yang tidak pernah membataskan kedudukan mereka mahupun pegawai- pegawai Wisma Putra yang sentiasa ceria melunaskan fungsi masing-masing.

Ketika bersembang ringan dengan wartawan Malaysia, Duta Tugas-Tugas Khas di Kementerian Luar itu dengan bangga mengungkapkan bahawa pasukan Malaysia telah memberi yang terbaik sepanjang persidangan berlangsung.

“Pasukan Malaysia bekerja keras untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar dan kes ini dapat dibentangkan secara tersusun,” katanya yang memikul tanggungjawab memastikan setiap hujah Singapura dipatahkan menerusi pertemuan harian dengan anggota pasukan.

Abdul Kadir yakin keupayaan Malaysia mempersembahkan kes tersebut dengan cara yang paling terbaik itu bukan sahaja bergantung kepada tiga orang pegawai tinggi negara iaitu dirinya, Abdul Gani dan Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin serta lima peguam antarabangsa yang terkenal.

Kekuatan pasukan Malaysia, kata beliau, juga amat bergantung persediaan rapi yang dijalankan oleh para penyelidik yang telah memulakan kes tersebut sejak tidak kurang 15 tahun lalu.

Penyelidikan tidak terbatas di Malaysia malah menjangkau arkib, perpustakaan, muzium dan pelbagai sumber lagi di seluruh pelosok dunia supaya hujah pasukan negara tidak kelihatan sumbang atau lompong apabila dibentangkan.

Penyelidikan yang diketuai oleh Wisma Putra telah menjadi satu usaha negara yang amat bersepadu melibatkan pelbagai agensi kerajaan, universiti dan institusi-institusi lain.

“Saya amat yakin kami telah melakukan segala-galanya yang perlu kami lakukan,” kata Abdul Kadir.

Bertolak daripada itu, tidak salah jika pasukan Malaysia menaruh keyakinan bahawa negara mempunyai kes yang kukuh untuk mengekalkan kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge lantaran kita telah memberikan yang terbaik.

Seperti yang diperkatakan oleh Abdul Kadir, kita sama-sama berdoa Malaysia akan menang dalam kes tersebut. Selepas memberi yang terbaik menerusi hujah bertulis dan hujah lisannya, maka selepas ini terpulang kepada para hakim menggunakan kebijaksanaan masing-masing untuk membuat keputusan.

Kedua-dua negara telah mengisytiharkan untuk menerima keputusan mahkamah kelak sebagai muktamad.

Sehubungan itu, Abdul Kadir merayu kepada semua rakyat Malaysia supaya bersabar sementara menunggu ICJ mencapai kata putus dan mengumumkan keputusan tersebut.

“Sementara menunggu keputusan, kita jangan membuat sesuatu atau mengeluarkan kenyataan yang boleh prejudis pemikiran barisan 16 hakim ini,” katanya.

Dalam kes Ligitan dan Sipadan iaitu antara Malaysia dan Indonesia, mahkamah mengambil enam bulan selepas berakhirnya pusingan hujah lisan untuk membuat keputusan yang akhirnya memihak kepada negara kita.

Harapan Malaysia, mahkamah juga akan mengumumkan keputusan kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge dalam rangka waktu yang sama.

Abdul Kadir juga merupakan ketua delegasi Malaysia bagi pusingan hujah lisan kes Ligitan dan Sipadan pada tahun 2002. Barisan peguam antarabangsa ketika itu terdiri daripada Sir Elihu Lauterpacht, Profesor John Crawford dan Profesor Nicolas Schrijver.

Kini mereka juga terlibat dalam kes Pulau Batu Putih dengan sokongan dua lagi pakar undang-undang antarabangsa yang muda, iaitu Kohen dan Penolope Nevill.

Harapan Malaysia, gandingan kepakaran tempatan dan antarabangsa ini, kedaulatan ke atas ketiga-tiga bentuk maritim itu akan dapat dikekalkan selama-lamanya - Mingguan Malaysia

Thursday, November 22, 2007

Delegasi kita tetap yakin

THE HAGUE, Belanda 21 Nov. – Pasukan Malaysia mempunyai dua hari sahaja lagi untuk berhujah di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini dalam usaha untuk memastikan Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge menjadi milik negara selama-lamanya.


Abdul Kadir Mohamad (tengah) mempengerusikan mesyuarat persediaan bersama para delegasi di hotel penginapannya di The Hague, Belanda, kelmarin.

Pasukan pertama yang tiba di sini pada 27 Oktober lalu bersengkang mata setiap hari menyediakan pelbagai keperluan termasuk dokumen-dokumen supaya setiap hujah Malaysia dapat disokong dengan bukti-bukti penting.

Namun di sebalik kerja keras itu, menurut Setiausaha Bahagian Adjudikasi dan Timbang Tara Kementerian Luar, Raja Nazrin Aznam, delegasi Malaysia tetap cergas serta berkeyakinan untuk terus memperjuangkan kedaulatan negara ke atas ketiga-tiga pulau itu.

Beliau berkata, penyelidikan mengenai kes tuntutan bertindih ketiga-tiga bentuk maritim itu bermula sejak 17 tahun lalu iaitu sebelum Pulau Sipadan dan Ligitan menjadi rebutan antara Malaysia dan Indonesia lagi.

Beliau yang telah bersama pasukan penyelidik itu sejak 14 tahun lalu memberitahu, pelbagai pihak seperti Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Meteorologi, Istana Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perikanan, Arkib Negara dan Kerajaan Negeri Johor terlibat menyediakan pelbagai dokumen yang diperlukan dalam kes tersebut.

Katanya, proses penghantaran dokumen-dokumen penting serta hujah-hujah Malaysia berhubung kes tersebut bermula dengan penyediaan memorial, balasan memorial dan jawapan memorial iaitu pada 25 Mac 2004 hingga 25 November 2005.

Sebaik sahaja kes tuntutan bertindih itu didengar di ICJ di sini bermula pada 6 November lalu, katanya, kesemua pihak yang terlibat menggandakan usaha untuk memastikan tiada maklumat penting tercicir ketika kes tersebut dibentangkan di hadapan barisan hakim.

“Kami hanya tidur dua jam sehari kerana kes ini rumit dan penyediaan dokumen perlu dibuat secara teratur sebelum ia diserahkan kepada Pendaftar Mahkamah tepat pukul 9 pagi setiap hari,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Bagaimanapun, para pegawai dan penyelidik yang menyumbang tenaga untuk menjayakan kes tersebut masih kelihatan cergas dan mampu menghadirkan diri di mahkamah setiap hari untuk mendengar setiap hujah yang dibentangkan terutama oleh pihak Singapura.

Barisan peguam antarabangsa yang mewakili Malaysia juga, katanya, bertungkus-lumus hingga lewat pagi untuk memastikan setiap hujah mereka menepati matlamat negara untuk mempertahankan kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge.

Menurut Raja Nazrin, delegasi Malaysia yang diketuai oleh Duta Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad bermesyuarat bersama anggota-anggota yang lain termasuk Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin setiap hari selepas mahkamah menangguhkan kesnya.

Pertemuan harian itu, katanya, diadakan bagi memastikan setiap hujah Singapura dapat disanggah menerusi bukti-bukti berupa dokumen perjanjian dan pemetaan.

Barisan peguam yang mewakili negara terdiri daripada Profesor Sir Elihu Lauterpacht, Profesor James Crawford, Profesor Nicolaas Jan Schrijver, Profesor Marcelo G. Kohen dan Penelope Nevill.

Singapura telah menutup kes mereka kelmarin manakala Malaysia akan mengemukakan hujah-hujah terakhirnya pada esok dan Jumaat.

Persidangan kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge berlangsung di hadapan Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh bersama 15 hakim lagi termasuk dua hakim ad hoc.

Keputusan kes ini dijangka diketahui enam bulan lagi - Utusan Malaysia

Sunday, November 18, 2007

Misi pertahan hak Malaysia

SELASA lalu, galeri awam di tingkat atas bilik persidangan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge agak sesak berbanding minggu sebelumnya.

Wajah-wajah yang hadir begitu bersemangat. Ramai juga yang hadir adalah muka-muka baru yang tidak kelihatan semasa Singapura memulakan pusingan pertama hujah lisan sepanjang minggu lepas.

Mereka mewakili pelbagai agensi dan juga orang perseorangan yang datang untuk memberi sokongan moral kepada delegasi Malaysia pada hari pertama pusingan pertama hujah lisan bagi mempertahankan kedaulatan negara ke atas ketiga-tiga pulau itu.

Selepas empat hari ‘diasak’ dengan hujah-hujah lisan oleh Singapura yang hanya sedar kononnya mereka berhak ke atas ketiga-tiga pulau itu 17 tahun lalu, delegasi Malaysia diketuai Duta Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad tampil cergas.

Kelihatan Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin ringkas tetapi anggun; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan barisan peguam hebat yang terdiri daripada Sir Elihu Lauterpacht, Profesor James Crawford, Profesor Nicolaas Jan Schrijver, Profesor Marcelo G. Kohen dan peguam muda jelita Penelope Nevill bersedia untuk berjuang.

Manakala ‘orang di belakang tabir’ yang bersengkang mata membuat persiapan kes setiap hari seperti Abd. Rahim Hussin, Raja Aznam Nazrin, Kapten Sahak Omar (sekadar menyenaraikan beberapa nama), para penyelidik dari Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Pemetaan dan Ukur menduduki barisan kedua.

Dalam ucapan pembukaannya, Abdul Kadir yang bertindak sebagai ejen Malaysia dengan nada tegas, padat dan ringkas menegaskan pendirian negara bahawa Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge selama-lamanya milik Malaysia.

Beliau secara ringkas memperkatakan satu per satu perihal Pulau Batu Putih bermula dari sudut sejarah iaitu sebelum tahun 1847 lagi iaitu pulau itu bukan terra nullius (tiada pemilik) seperti yang dihujahkan oleh Singapura.

Abdul Kadir tidak mengulas panjang kerana barisan peguam akan memperincikan siri perjanjian, kehadiran British di Pulau Batu Putih, Sistem Rangkaian Rumah Api Negeri-Negeri Selat dan tindak-tanduk Singapura sebagai pengendali rumah api di pulau itu.

Beliau tanpa ragu-ragu menyelongkar motif utama Singapura menuntut ketiga-tiga bentuk maritim itu dengan berselindung di sebalik fungsi mereka hanya sebagai ‘penjaga’ rumah api yang dinamakan Rumah Api Horsburgh.

Katanya, Singapura mempunyai polisi penambakan laut yang aktif dan tuntutan di ICJ itu tidak mustahil ada kaitan dengan cita-cita republik itu untuk meluaskan pengaruh maritimnya di selat yang penting itu.

Bagaikan dirancang pada hari Malaysia memulakan hujah iaitu pukul 10 pagi waktu tempatan (5 petang waktu Malaysia), akhbar Straits Times Singapura menyiarkan satu artikel memperincikan satu per satu mengapa rumah api itu penting bagi republik itu.

Ucapan Abdul Kadir (tanpa dirancang) seolah-olah menjawab perincian artikel tersebut – Malaysia menghormati fungsi Singapura sebagai pengendali Rumah Api Horsburgh dan akan terus berbuat demikian.

Dalam erti kata yang lain, bukan rumah api yang dibina di atas Pulau Batu Putih menjadi ‘subjek utama’ pertikaian tetapi kedaulatan pulau tersebut yang menjadi keutamaan bagi Malaysia.

Sebab itu, Abdul Kadir, bertegas bahawa Malaysia bukan menuntut hak kedaulatan ke atas pulau seluas padang bola itu sebaliknya mahu mahkamah mengesahkan semula bahawa ia sememangnya milik negara.

Yang menuntut adalah Singapura manakala Malaysia mahu mengekalkan kedaulatannya di Pulau Batu Putih untuk memastikan ia (pulau tersebut) kelak tidak dijadikan alat oleh republik itu untuk mengeruhkan hubungan serantau.

Kebimbangan Malaysia dinyatakan dengan jelas oleh Abdul Kadir yang berbunyi: “Saya ingin menjelaskan satu perkara. Masalah kami (Malaysia) dengan Singapura ialah kehadiran ketenteraannya di sebuah pulau milik Johor yang terletak di laluan masuk di timur Selat Singapura.

“Kami tidak mempunyai masalah dengan Singapura sebagai pengendali Rumah Api Horsburgh. Malaysia ingin mengekalkan keadaan yang stabil dan aman damai di laluan masuk ke Laut China Selatan. Singapura yang menunggu-nunggu untuk menukar keadaan ini.”

Noor Farida mengambil tugas kedua, membongkar sejarah sebelum tahun 1847 bagaimana rapatnya hubungan Pulau Batu Putih dengan Orang Laut dan nelayan-nelayan tempatan.

Beliau juga meneroka nama Pulau Batu Putih yang dikenali begitu kerana najis burung yang menutupi pulau batu itu, bahasa Portugisnya Pedra Branca turut membawa makna yang sama.

Manakala saudagar Cina memanggil pulau itu Pia Chiao seperti yang direkodkan dalam arahan dan carta pelayaran Wubei Zhi pada tahun 1621, di kalangan pedagang Perancis ia dikenali sebaai Pierre Blanche.

“Setiap orang memanggilnya batu putih dalam bahasa masing-masing. Adalah tidak masuk akal bagi Singapura untuk mengatakan bahawa nama Pulau Batu Putih hanya muncul baru-baru ini di peta rantau ini dan adalah nama yang (Malaysia) rujuk hari ini,” katanya.

Duta Malaysia ke Belanda itu kemudian menghuraikan satu per satu bukti berupa catatan bertulis termasuk yang tersiar dalam Singapore Free Press dan tertera di peta Johor pada tahun 1928.

Kemudian Peguam Negara tampil membangkitkan kegagalan Singapura mengemukakan sebarang bukti berupa dokumen undang-undang untuk membuktikan bahawa mereka adalah tuan Pulau Batu Putih.

Hujah Abdul Gani tidak meleret sebaliknya terus kepada fakta mengenai tarikh penting (bermulanya pertikaian) iaitu pada tahun 1980 – sebelum daripada itu tiada sebarang bantahan oleh Singapura berhubung dokumen dan peta yang menunjukkan bahawa Pulau Batu Putih milik Malaysia.

Singapura, menurut beliau, langsung tidak menghiraukan tarikh penting itu sebaliknya secara lepas laku terus menjalankan pelbagai aktiviti di Pulau Batu Putih sedangkan seperti yang diputuskan oleh ICJ dalam kes Ligitan dan Sipadan:

“Tindak-tanduk selepas tarikh penting tidak akan dikira, kecuali jika tindakan seumpama itu berupa kesinambungan tindak-tanduk sebelumnya dan bukannya bertujuan mengukuhkan kedudukan perundangan pihak yang bergantung kepadanya.”

Sememangnya hujah-hujah Malaysia sepanjang empat hari berkisar kepada bukti-bukti penting yang menunjukkan bahawa ketiga-tiga pulau itu adalah miliknya. Siri dokumen berupa perjanjian, peta-peta dan fakta sejarah menjawab setiap dakwaan yang dikemukakan oleh Singapura.

Satu per satu hujah Singapura dipatahkan oleh barisan peguam Malaysia bermula daripada bukti sejarah sehingga kepada kegagalan republik itu mengemukakan peta-petanya yang boleh menunjukkan Pulau Batu Putih adalah milik mereka.

Sepanjang pusingan pertama hujah lisannya, Singapura bersandarkan kepada enam peta Malaysia (yang mempunyai penafian (disclaimer) bahawa ia tidak boleh dijadikan bukti untuk urusan persempadanan wilayah) untuk menyokong dakwaannya.

Sedangkan republik itu sendiri tidak pernah mengeluarkan peta sendiri kecuali pada tahun 1995 iaitu 15 tahun selepas tuntutan ke atas Pulau Batu Putih dilancarkan. Secara logiknya mengapa tiada satu pun peta yang dikeluarkan oleh negara yang mendakwa mempunyai kedaulatan ke atas pulau tersebut sejak tahun 1851 lagi.

Teori Profesor Lauterpacht iaitu setiap angka yang didarab dengan kosong jawapannya kosong menarik perhatian mahkamah. Analoginya mudah. Jika Singapura tidak mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, apa pun yang dilakukan ke atas pulau itu tidak akan membawa sebarang makna.

Singapura tidak boleh menjadikan segala tindak-tanduknya berhubung penyelenggaraan rumah api di pulau itu sebagai bukti bahawa ia mempunyai kedaulatan di situ lantaran teori yang digunakan itu tidak memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki oleh undang-undang antarabanga.

Profesor Crawford ketika merumuskan pusingan pertama hujah lisan Malaysia meringkaskan hujah-hujah delegasi negara.

Jika: Pulau Batu Putih bukan terra nullius pada tahun 1847; dan pulau itu tidak termasuk dalam pengaruh Belanda di bawah Perjanjian Inggeris-Belanda; ketika itu Pulau Batu Putih adalah sebahagian daripada Johor.

Dan jika: Pulau Batu Putih sebahagian daripada Johor pada tahun 1847; dan keizinan Johor untuk pembinaan rumah api termasuk di Pulau Batu Putih; ketika itu pentadbiran British ke atas rumah api di situ bukan prilaku a titre de souverain (menunjukkan ia mempunyai kedaulatan di situ).

Kedua-dua kesimpulan itu, menurut Crawford, menunjukkan bahawa British membina Rumah Api Horsburgh di wilayah Johor dengan kebenaran Johor maka kes Singapura menjadi sia-sia.

Dengan cara yang amat ringkas, Malaysia menyimpulkan tugas empat hari dengan soalan ini: “Mengapa Malaysia perlu membuat apa-apa? Sultan dan Temenggong telah mengizinkan pembinaan dan penyelenggaraan (rumah api). Anda telah mendengar ejen Malaysia berkata, keizinan ini berterusan dan akan diteruskan.”

Pusingan kedua hujah lisan dan penggulungan bagi Malaysia dan Singapura akan bermula esok. Singapura akan memulakan pusingan kedua pada Isnin dan Selasa manakala Malaysia bakal menyempurnakan tanggungjawab tersebut pada Khamis dan Jumaat - Utusan Malaysia

Saturday, March 29, 2003

Sistem e-Carta Hidrografi pedoman kapal

Oleh Wan Hasnan Hasan

PERKEMBANGAN dunia maritim yang semakin pesat di negara ini ekoran kedudukannya yang strategik iaitu di tengah laluan pelayaran antarabangsa telah mendorong Pusat Kajian Hidrografi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membangunkan Sistem e-Carta Hidrografi untuk dijadikan pedoman kepada kapal-kapal.

Kedudukan Selat Melaka yang berada di laluan pelayaran antarabangsa dianggap sebagai lebuh raya laut yang sangat sibuk sehingga keadaan ini memerlukan pengurusan dan sistem trafik marin yang lebih efisien bertujuan untuk mengelakkan sebarang kemalangan di perairan tersebut.

Sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa insiden kemalangan di sekitar perairan negara yang melibatkan perlanggaran kapal, antaranya ialah perlanggaran kapal RSS Courageous milik Tentera Laut Singapura dengan kapal dagang ANL Indonesia yang berlaku pada 3 Januari 2003 di perairan Pulau Batu Putih.

Selain itu, perlanggaran antara kapal tangki Neptank VII dengan kapal pengangkut barang MV Hermion yang berlaku pada 12 Jun 2002 di Pulau Sentosa, Singapura pula telah mengakibatkan tumpahan minyak di pantai Teluk Ramunia dan Sungai Rengit, Pengerang, Johor.

Malah yang terbaru pada 27 Februari lalu, sebuah kapal kargo Indonesia, MV Titra Mas telah karam akibat dirempuh oleh sebuah kapal pengangkut iaitu Sanko Robust kira-kira lima batu nautika dari Tanjung Piai, Pontian.

Mengambil iktibar daripada kejadian-kejadian tersebut, Pengarah Pusat Kajian Hidrografi UTM, Prof. Madya Dr. Mohd. Razali Mahmud kini rancak menjalankan projek penyelidikan pembangunan Sistem e-carta Hidrografi sejajar dengan visi dan misi universiti tersebut untuk menjadi sebuah The Discovery University dan universiti bertaraf dunia.

Menurut beliau, program yang dibiayai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar itu merupakan alternatif kepada panduan pelayaran secara konvensional yang selama ini menggunakan carta kertas kepada teknologi baru menggunakan carta elektronik.

Ini kerana carta elektronik atau e-carta hidrografi mampu memberikan pelbagai aplikasi, contohnya untuk membuat perancangan prapelayaran seperti untuk melakukan perancangan laluan pelayaran yang selamat.

Selain itu, laluan kapal ketika dalam pelayaran juga boleh diawasi dengan melihat secara langsung kedudukan imej kapal yang bergerak melalui e-carta hidrografi pada skrin pemapar.

Melalui sistem ini, risiko perlanggaran mungkin boleh dikurangkan dengan mengintegrasikan e-carta hidrografi dengan penderia-penderia lain kerana gabungan informasi yang dihasilkan akan bertindak sebagai suatu sistem informasi yang sangat efektif.

Keselamatan kapal akan lebih terjamin kerana pengguna sistem ini akan sentiasa diberi amaran sekiranya perlanggaran berkemungkinan berlaku hasil daripada maklumat yang diperoleh dari radar. Malah, amaran turut diberikan sekiranya kedudukan kapal menghampiri kawasan berbahaya seperti kawasan cetek atau beting.

Sehubungan itu, e-carta hidrografi adalah perlu untuk mengurangkan risiko perlanggaran dan kemalangan kerana ia merupakan sistem untuk menentukan laluan yang selamat berdasarkan maklumat berat dan lunas kapal, laluan terhampir, pasang surut dan lain-lain lagi.

Antara aplikasi baru yang sedang dibangunkan dalam e-carta hidrografi adalah seperti pemaparan permukaan dasar laut secara tiga dimensi, maklumat pasang surut secara masa hakiki dan pelayaran simulasi secara fly-through.

Pengemaskinian e-carta hidrografi juga merupakan satu keperluan yang tidak kurang pentingnya. Sejajar dengan keperluan International Convention for Safety of Life at Sea (SOLAS), setiap kapal diwajibkan membawa carta yang mencukupi dan sentiasa dikemas kini secara berterusan dan Sistem e-carta hidrografi ini juga tidak terkecuali dari peraturan tersebut.

Proses pengemaskinian yang paling kritikal adalah pengemaskinian sumber data kedalaman atau data batimetri dan sumber data batimetri boleh diperoleh secara pendigitan daripada carta nautika atau melalui pengumpulan data dengan pemerum gema.

Data batimetri diperolehi dari pembalikan gelombang akustik yang dipancarkan oleh pemerum gema dan terdapat beberapa jenis sistem pemerum gema seperti sistem pemerum gema alur tunggal dan sistem pemerum gema berbilang alur.

Daripada dua sistem itu, sistem pemerum gema berbilang alur lebih berkesan kerana sistem ini mampu mengumpul data batimetri secara lebih menyeluruh. Satu lagi kelebihan e-carta hidrografi adalah proses pengemaskinian yang lebih mudah. Ia boleh dilakukan melalui proses muat turun.

Kemajuan teknologi terkini membolehkan proses muat turun dilakukan melalui laman web atau pemindahan data melalui satelit komunikasi seperti INMARSAT.

Justeru, penggunaan e-carta hidrografi dalam dunia pelayaran masa kini amat bertepatan sekali kerana analisis pelayaran berpandukan e-carta hidrografi akan dapat mempertingkatkan keselamatan ketika pelayaran - Utusan Malaysia

Sunday, February 09, 2003

BISIK-BISIK MINGGUAN - AWANG SELAMAT

Diplomasi Perang Mulut

APA yang berlaku selepas majlis menandatangani perjanjian khas membawa isu Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Khamis lalu sungguh mengecewakan. Belum sempat dakwat tandatangan kering, kita `bergaduh' semula.

Buat apa capai persetujuan?

Apa yang berlaku itu memberi gambaran seolah-olah Malaysia dengan Singapura sudah tidak boleh duduk semeja untuk berbincang dan tiada harapan lagi untuk menyelesaikan masalah dalam hubungan dua hala.

Nasib baiklah kedua-dua Menteri Luar, Syed Hamid Albar dan S. Jayakumar masih boleh duduk makan tengah hari bersama. Nasib baiklah mereka masih boleh bercakap tentang golf dan berjenaka. Jika tidak, elok sahaja kita berperang!

Perang mulut di antara kedua-dua Menteri Luar itu, pada hemat Awang, tidak sepatutnya berlaku. Tidak mengapa siapa yang memulakan. Begitu juga, tidak mengapa soalan provokatif yang diajukan oleh para wartawan yang sememangnya berada di situ untuk tujuan itu.

Jika kedua-dua Menteri Luar yang berpengalaman itu tahu mereka tidak akan dapat mengawal diri masing-masing daripada terjebak ke dalam perang mulut tentang pertikaian Pulau Batu Putih, mereka sepatutnya tidak mengadakan sidang akhbar selepas menandatangani persetujuan itu. Memadai sekadar mengeluarkan kenyataan bertulis.

Apabila soalan provokatif diajukan dan mereka gagal mengawal diri, itulah yang terjadi - perang mulut yang sepatutnya tidak berlaku.

Sudah tentulah kedua-dua Menteri Luar itu perlu mempertahankan kedudukan negara masing-masing. Apabila Syed Hamid akhirnya menyatakan bahawa sidang akhbar itu bukan tempat untuk membahaskan isu Pulau Batu Putih, semuanya sudah agak terlambat. Sepatutnya, ia tidak bermula.

Lebih molek jika kedua-dua Menteri Luar itu terus ke jamuan tengah hari sebaik-baik sahaja selesai menandatangani perjanjian tersebut.

Tidak ada erti jika isu itu dipertikaikan secara terbuka di hadapan para wartawan apabila masing-masing sudah bersetuju membawanya ke muka pengadilan.

Apakah ini bermakna Malaysia dan Singapura akan terus berbalah secara terbuka sementara menunggu keputusan mahkamah itu yang dijangka mengambil masa tiga tahun?

Awang harap tidak. Kerajaan Malaysia dan kerajaan Singapura, rakyat Malaysia dan rakyat Singapura tidak boleh terus berbalah tentang Pulau Batu Putih,.

Kementerian Luar kedua-dua buah negara perlu mengambil langkah membina semula makna diplomasi yang tercemar Khamis lalu. Lainlah jika perang mulut selepas menandatangani perjanjian dikira sebahagian daripada diplomasi.

Awang harap Singapura dan Malaysia belajar daripada insiden itu dan melupakannya supaya tumpuan dapat diberikan kepada banyak perkara lain yang perlu diselesaikan - Utusan Malaysia

Friday, February 07, 2003

Pertikaian 25 tahun ke ICJ

PUTRAJAYA 6 Feb. - Malaysia dan Singapura hari ini menandatangani perjanjian khas untuk membawa isu tuntutan bertindih Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi menyelesaikan pertikaian yang berlarutan hampir 25 tahun.

Dengan termeterainya perjanjian itu, keputusan berhubung kedaulatan pulau tersebut serta dua lagi pulau batu berhampirannya yang dikenali sebagai Middle Rock dan South Sledge yang menjadi tuntutan bersama sejak 1979 akan ditentukan oleh mahkamah di The Hague, Belanda itu.

Perjanjian itu seterusnya akan diperakui oleh kerajaan kedua-dua negara sebelum semua dokumen di bawa ke ICJ bagi diputuskan negara yang berhak ke atas pulau berkenaan.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar menandatangani perjanjian itu bagi pihak Malaysia manakala Singapura di wakili oleh Menteri Luarnya, Prof. S. Jayakumar.

Dalam sidang akhbar bersama selepas itu, Syed Hamid berkata, Malaysia gembira kerana isu itu diselesaikan secara baik dengan membawanya ke ICJ.

Langkah seterusnya, kata beliau, ialah untuk memperakukan perjanjian itu oleh kerajaan kedua-dua negara sebelum dibawa ke ICJ.

Katanya, disebabkan perjanjian itu merupakan sesuatu yang penting maka kedua-dua negara bersetuju untuk memperakukannya secepat mungkin.

``Perjanjian ini amat bermakna kerana Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk menyelesaikan isu ini secara berhemah.

``Ini pendekatan penting, saya harap ia juga akan menjadi contoh kepada pertikaian lain seperti isu air,''
katanya.

Sementara itu, Jayakumar berkata, perjanjian itu menunjukkan Malaysia dan Singapura sentiasa bersedia untuk menyelesaikan apa juga isu yang berbangkit secara berhemah.

``Ini penting kerana Malaysia dan Singapura mempunyai potensi besar dalam menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang yang ada kepentingan bersama,'' ujarnya.

Oleh itu, kata beliau, jika terdapat sebarang perbezaan, ia tidak boleh dibiar sehingga boleh menjejaskan jalinan kerjasama yang ada.

``Hubungan keseluruhan tidak boleh dibiarkan terjejas hanya kerana satu isu. Majlis hari ini membuka jalan berdasarkan undang-undang antarabangsa dengan cara perjanjian dan bukan dengan tindakan lain yang tidak mengikut amalan dan undang-undang biasa,'' katanya.

Pulau Batu Putih yang terletak kira-kira 20 minit perjalanan dengan bot laju dari Teluk Ramunia di Johor, adalah milik Malaysia jika berdasarkan kepada sejarah, lokasi dan pemetaan.

Pulau yang terdiri daripada bongkah batu seluas 0.2 hektar itu terletak lapan batu nautika dari Pengerang dan 40 batu nautika ke timur Singapura, pada mulanya hanya menempatkan rumah api untuk panduan pelayaran.

Pulau itu terletak di bawah pemerintahan kesultanan Johor kerana berdasarkan sejarah, penyerahan Pulau Singapura pada tahun 1824 kepada Inggeris hanya melibatkan sebuah pulau, laut dan selat yang terletak dalam lingkungan 10 batu nautikal dari pesisir pulau Singapura
.

Sementara itu, keperluan rumah api di Pulau Batu Putih pula timbul hasil kewujudan negeri-negeri selat atau Colony of the Straits Settlement selepas pembukaan Melaka, Pulau Pinang dan Singapura.

Pembinaan rumah api itu dicadangkan oleh syarikat insurans, pedagang dan pemilik kapal kerana laluan berkenaan berbahaya dari segi ancaman lanun dan sebagainya.

Rumah api di Pulau Batu Putih dibina pada tahun 1851 hasil usaha pedagang yang mengutip tol dan dana yang diperoleh daripada mereka yang menggunakan laluan itu.

Bagi pedagang, Gabenor Colony of the Straits Settlement yang tinggal di Singapura dilantik sebagai pentadbir rumah api dan menguruskannya.

Pada mulanya Pulau Batu Putih bukan pilihan untuk pembinaan rumah api tersebut, sebaliknya, dua pulau lain iaitu Tree Island dan Barn Island yang menjadi milik Indonesia tetapi ia menghadapi masalah mendapatkan keizinan Sultan Riau.

Berikutan itu, Pulau Batu Putih menjadi perhatian dan pembinaan rumah api itu menjadi kenyataan apabila Temenggong Johor, Temenggong Abdul Rahman memberi keizinan kepada pihak terbabit untuk membina rumah api.

Sejak itu urusan mengurus dan mentadbir rumah api terbabit diserahkan kepada Singapura sehingga merdeka dan selepas Singapura berpisah dengan Malaysia hingga sekarang,
.

Atas sebab itu maka Singapura telah menanggap pulau tersebut sebagai wilayahnya termasuk melarang rakyat negara ini daripada memasuki perairan pulau itu - Utusan Malaysia

Wednesday, February 05, 2003

Batu Putih: Pertikaian 25 tahun dijangka tamat esok

Oleh: Aznan Bakar

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Persetujuan Malaysia-Singapura untuk menandatangani perjanjian membawa kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Putrajaya 6 Februari ini dijangka menamatkan pertikaian hampir 25 tahun antara kedua-dua negara berhubung kedaulatan pulau tersebut.

Sejak isu tuntutan itu timbul pada tahun 1979, kedua-dua pihak saling tuduh menuduh dan ancam mengancam antara satu sama lain kerana masing-masing mendakwa lebih berhak ke atas pulau batu seluas 0.2 hektar yang tidak mempunyai sebarang kepentingan ekonomi itu.

Namun kedudukannya yang strategik di laluan antarabangsa dalam perairan Laut China Selatan menjadikan ia amat penting untuk tujuan keselamatan. Dengan termeterai perjanjian itu, kini terpulang kepada ICJ untuk memutuskan pemilik pulau itu berdasarkan bukti dan hujah yang bakal dibentangkan.

Perjanjian itu juga dijangka menamatkan pelbagai polemik yang timbul selama ini sehingga ada ketikanya meletakkan Malaysia-Singapura seolah-olah di ambang perang.

``Diharapkan (melalui perjanjian itu) tuntutan bertindih terhadap pulau itu, yang pertama kali timbul pada 1979 dan menjadi lebih hangat sejak beberapa bulan kebelakangan ini tidak akan menjadi polemik lagi,'' kata Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid baru-baru ini.

Persetujuan untuk menandatangani perjanjian itu dicapai setelah dua negara terbabit gagal mencari jalan penyelesaian lain yang lebih baik dalam menentukan pemilik pulau tersebut melainkan ICJ.

Sebelum tarikh 6 Februari itu dipersetujui, kedua-dua pihak sebelum ini telah mencadangkan beberapa tarikh tetapi ia tidak dapat diterima terutama oleh Malaysia.

Oleh itu perjanjian di Putrajaya pada Khamis ini merupakan tindakan betul yang telah diambil oleh kedua-dua pihak kerana sejarah pernah membuktikan bahawa perebutan wilayah boleh membawa kepada pertelingkahan terbuka yang serius jika ia tidak ditangani segera.

Oleh itu sebelum berlakunya sebarang kemungkinan buruk, Malaysia mahukan perjanjian itu dilakukan secepat mungkin supaya ia tidak terus menjadi polemik.

Menurut Syed Hamid, jika perkara itu terus ditangguh lebih lama ia hanya akan menegangkan keadaan sedia ada yang mana ia harus dielakkan oleh kedua-dua negara.

Kini terpulang kepada kedua-dua pihak untuk mengemukakan bukti dan hujah masing-masing yang kemudiannya akan diadili oleh panel hakim ICJ.

Bagi Malaysia perjanjian itu diharap akan mengekalkan status quo terhadap Pulau Batu Putih, iaitu sama ada Kuala Lumpur ataupun Singapura tidak akan menuntut kedaulatan pulau itu sehingga diputuskan oleh ICJ.

``Saya berharap kedua-dua pihak akan menggunakan hak masing-masing tanpa halangan ataupun gangguan daripada mana-mana pihak dan saya berpendapat tiada pihak buat masa ini boleh menuntut kedaulatan pulau itu,'' kata Syed Hamid.

Oleh itu kedua-dua pihak akhirnya harus akur dan menghormati apa jua keputusan yang bakal dibuat nanti.

Cuma kata Syed Hamid, sementara menunggu penghakiman ICJ, kedua-dua pihak harus melaksanakan hak masing-masing terhadap pulau itu, kecuali dalam pengurusan rumah api yang akan dikendalikan oleh Singapura sehingga pertikaian itu selesai.

Ia termasuk membenarkan nelayan Malaysia menangkap ikan di perairan pulau itu yang merupakan antara kawasan mereka mencari rezeki sejak dahulu lagi.

Berdasarkan sejarah, pembinaan rumah api di pulau itu adalah atas persetujuan Sultan Johor ketika itu, iaitu Sultan Sir Abu Bakar untuk panduan pelayaran.

Pembinaannya dirasakan perlu selepas pembukaan Negeri-negeri Selat atau kewujudan Colony of the Straits Settlement selepas Inggeris menduduki Melaka, Pulau Pinang dan Singapura.

Rumah api itu dibina pada tahun 1851 hasil usaha para pedagang yang mengutip tol dan dana yang diperoleh daripada mereka yang menggunakan laluan itu.

Selepas dibina Gabenor Negeri-Negeri Selat yang tinggal di Singapura pula dilantik sebagai pentadbir bagi mengurus rumah api itu.

Atas alasan itu Singapura mendakwa mereka telah mentadbir pulau itu sejak 150 tahun dahulu dan menganggap ia sebahagian daripada wilayah mereka walaupun kedudukan pulau itu lebih dekat dengan Johor.

Namun, kini kedua-dua negara telah bersetuju untuk membawa perkara itu ke ICJ dan mereka perlu akur dengan apa juga keputusan yang bakal dibuat.

``Kedua-dua pihak telah membuat keputusan yang betul dalam memilih jalan penyelesaian menerusi ICJ daripada menghadapi konflik terbuka,'' kata Syed Hamid - Utusan Malaysia

Monday, January 20, 2003

Segera ambil balik pengurusan Pulau Pisang

Saudara Pengarang,

UMUM sudah mengetahui akan tuntutan yang dibuat oleh Singapura ke atas Pulau Batu Putih. Dengan bersandarkan fakta yang rapuh, mereka cuba untuk mempertahankan sesuatu yang bukan milik mereka.

Bagaimanapun ditakuti jika Singapura berjaya dalam timbang tara itu, mereka akan menambak sehingga menjangkau 65 kilometer dari pulau besar negara itu.

Bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak, seandainya dari dulu lagi kerajaan Johor menyelia sendiri Pulau Batu Putih, tuntutan ini pasti tidak timbul.

Sudah sampai masanya kita mengurus sendiri segala kepunyaan kita. Dalam hal ini, kerajaan negeri dan pusat perlu memperuntukkan belanjawan untuk mengurus sendiri Pulau Pisang dan Pusat Tadahan Air Pulai dari sekarang. (Sila rujuk artikel oleh Noraini Abdul Razak dalam Utusan Malaysia tentang isu perjanjian air Malaysia - Singapura mulai 6 Januari 2003).

Sinonimnya perlukah kita membiarkan pelanggan (Singapura) untuk mengurus sendiri pembelian air mereka? Teori perniagaan apakah ini? (Perlu disebut perniagaan kerana Singapura langsung tidak mengambil pusing hubungan sejarah). Sepatutnya penjual (Malaysia) menguruskan segalanya.

Lupakan sejarah lalu dalam menjalankan urusan air dan lain-lain hubungan dengan Singapura. Sesuatu yang juga sukar untuk kita hasratkan Singapura bergabung semula dengan Malaysia.

Sewajarnya segala hak Malaysia diuruskan sendiri oleh anak watan. Pulau-pulau ini seharusnya telah lama diuruskan sendiri oleh kerajaan Johor. Bukannya kita tidak memiliki kepakaran, malah jauh lebih daripada itu.

Tambahan pula mereka bebas untuk keluar masuk dari pulau-pulau itu. Kalau kita, dapatkah peluang berkenaan di Singapura? Jangan mimpilah.

Sedikit masa lalu, seorang juruterbang TUDM pernah membangkitkan isu kawalan udara timur Johor yang diurus selia oleh Singapura apabila juruterbang berkenaan terpaksa meminta panduan penerbangan di ruang angkasa Johor daripada Singapura.

Bagaimanapun keresahan beliau tidak mendapat perhatian serius pihak berkuasa. Secara peribadi, saya berasakan juruterbang berkenaan pada masa itu telah nampak akan impak yang bakal melanda keselamatan negara sekiranya kita masih bergantung kepada negara jiran berkenaan.

Cuba pembaca fikirkan seandainya Singapura mempunyai niat yang terselindung, tidak mustahil mereka suatu hari nanti akan memberi maklumat yang tidak tepat kepada juruterbang di ruang angkasa Johor.

Rentetan daripada pengharaman eksport pasir dan tanah ke Singapura, kerajaan disaran agar melarang serta-merta pemilikan hartanah oleh warga Singapura pada masa hadapan.

Rasionalnya jika mereka memiliki banyak hartanah, lambat-laun aset itu akan dijadikan pula tebusan untuk mengugut Malaysia bagi hal-hal yang kita tidak terfikirkan.

Ketepikan seketika berkenaan kesannya terhadap ekonomi hartanah tempatan, yang penting masa depan negara dapat diselamatkan secara tidak langsung.

Seharusnya kita bersikap proaktif dan bukannya sudah terhantuk baru tengadah (reaktif). Sisipkanlah sedikit perasaan ragu-ragu dan prasangka terhadap pihak seberang itu.

Jangan lupa bahawa kita juga perlu untuk meneruskan kehidupan sehingga bumi Malaysia ini diwarisi oleh anak cucu.

Selama ini Singapura sering memperkotak-katikkan Malaysia tanpa sedikit pun mengambil kira faktor-faktor sejarah lampau hubungan Malaysia-Singapura tetapi kita asyik mengingatkan sebaliknya.

Saya juga berbangga dengan kepekaan yang ditunjukkan oleh Pemuda UMNO Johor dan kerajaan dalam mempertahankan wilayah Malaysia.

Di sini saya menyeru pihak kerajaan agar tanpa melengah-lengahkan masa, segera mengambil balik pengurusan Pulau Pisang dan Pusat Tadahan Air Pulai.

Dikhuatiri pula Singapura akan mendakwa Pulau Pisang, pusat tadahan air malah ruang angkasa Johor sebagai hak mereka kerana mereka yang menguruskannya selama berdekad-dekad tanpa campur tangan kerajaan Malaysia.

Pada masa itu kita sekali lagi akan termasuk ke dalam jerat mereka. Jangan biarkan bangsa Malaysia `dipijak' oleh orang asing. Semoga Allah merahmati Malaysia. - ANAK PERTIWI, Alor Gajah, Melaka.

Wednesday, January 15, 2003

Angkara penjajah

Oleh Noraini Abdul Razak

Perjanjian Inggeris Belanda 1824 yang lebih dikenali sebagai Perjanjian London ternyata memberi implikasi yang besar terhadap sejarah politik, ekonomi dan sosial Kepulauan Melayu.

Perjanjian yang ditandatangani di London bagi menyelesaikan kemelut perebutan kuasa antara Inggeris dan Belanda menyaksikan gugusan Kepulauan Melayu terbahagi kepada dua bahagian.

Perjanjian ini akhirnya menjadi penentu kepada sempadan Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Di bawah perjanjian itu Belanda menyerahkan Melaka serta jajahan takluknya kepada Inggeris dan mengaku tidak akan membuka sebarang penempatan di Semenanjung Tanah Melayu atau menandatangani apa-apa perjanjian dengan mana-mana raja dan pembesar di situ.

Belanda juga bersetuju untuk mengakui Singapura sebagai hak Inggeris selain menyerahkan semua lojinya di India kepada Inggeris.

Pihak Inggeris pula berundur dari Sumatera dan menyerahkan Bangkahulu serta semua hak miliknya di Sumatera kepada Belanda sebagai pertukaran dengan Melaka.

Inggeris juga berjanji tidak akan membuka sebarang penempatan atau membuat sebarang persetiaan di Sumatera dan tidak akan menandatangani sebarang perjanjian dengan mana-mana pemerintah pribumi di sana.

Selain itu pihak Inggeris juga tidak dibenar membuka sebarang penempatan atau membuat perjanjian dengan mana-mana pihak di Pulau Karimon, semenanjung Riau Lingga dan mana-mana pulau di Selatan Selat Singapura.

Kedua-dua kuasa mengaku tidak akan membuka sebarang tempat baru tanpa pengetahuan pihak yang lain dan jika mana-mana pihak berundur daripada salah satu kawasannya, pihak yang lain hendaklah diberi peluang untuk memiliki kawasan tersebut.

Mengenai perniagaan pula Belanda diberi hak monopoli di kepulauan rempah tetapi tidak sama sekali di Semenanjung Tanah Melayu, perjanjian monopoli tidak boleh dibuat dengan mana-mana pihak, kedua-dua pihak bersetuju memberi layanan negara istimewa di Ceylon (kini Sri Lanka), India dan Semenanjung Tanah Melayu.

Pihak Belanda hendaklah menamatkan perjanjian monopoli bijih timah dengan Perak dan Selangor, pedagang-pedagang tempatan hendaklah dibenarkan berdagang di pelabuhan-pelabuhan kedua-dua pihak dan juga pelabuhan tempatan. Kedua-duanya hendaklah bersama-sama membasmi kegiatan lanun.

Hasil perjanjian itu seluruh kawasan Nusantara dikuasai sepenuhnya oleh kedua-dua kuasa dan membahagi-bahagikan kepada kawasan pengaruh masing-masing.

Kedua-dua kuasa menentukan Selat Singapura sebagai sempadan kawasan pengaruh mereka, kawasan sebelah utara Selat Singapura diletak di bawah pengaruh Inggeris manakala sebelah selatannya di bawah pengaruh Belanda.

Kawasan yang banyak terlibat ialah tanah kerajaan Johor yang dengan sewenang-wenangnya telah dibahagikan sama ada kepada Belanda atau Inggeris.

Dalam hal ini pemerintah Johor tidak dirujuk terhadap apa-apa keputusan yang dibuat mengenainya.

Akibat daripada perjanjian ini Inggeris dapat menguasai pusat perniagaan bebas yang makmur di tengah-tengah kawasan yang sebelum itu dikuasai Belanda untuk tempoh yang lama.

Dengan menguasai Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura jalan perniagaan timur barat terbuka seluas-luasnya kepada pihak Inggeris.

Akibat perjanjian ini, kerajaan Johor-Riau dipecahkan oleh Inggeris dengan Belanda. Ketika itu Singapura adalah sebahagian daripada kerajaan Johor-Riau.

Inggeris menumpukan perhatian kepada Singapura yang strategik sementara Belanda berusaha mengambil alih kepulauan Riau.

Ketika Inggeris mengambil alih pulau Singapura dari kerajaan Johor-Riau, ia tidak membabitkan Pulau Batu Putih. Hanya kemudiannya, Inggeris mendirikan sebuah rumah api untuk kemudahan penguasaan laluan perairannya dengan izin kerajaan Johor. Kerajaan Johor membenarkan operasi rumah api itu tetapi tidak pernah melepaskan hak miliknya.

Dalam perjanjian Inggeris-Belanda hanya Pulau Singapura yang disebut secara jelas diserahkan kepada Inggeris dan bukannya pulau-pulau lain di perairan itu.

Cuma apa yang dinyatakan ialah hak wilayah Singapura telah ditetapkan iaitu setakat 10 batu sahaja dari pantai Singapura.

Oleh itu dari segi lokasi, Pulau Batu Putih lebih dekat ke pantai Johor daripada Singapura. Ia terletak kira-kira 64 kilometer dari Singapura berbanding 12.8 kilometer sahaja dari Teluk Rumania di Johor.

Singapura yang sememangnya menyedari fakta itu enggan bersetuju dengan pendekatan Malaysia yang menggunakan faktor wilayah dalam tuntutannya.

Sebaliknya republik berkenaan yang telah menambah struktur bangunan di Pulau Batu Putih lebih senang menggunakan konsep `siapa cepat dia dapat'.

Dalam erti kata lain, walaupun fakta sejarah dan geografi menyebelahi Malaysia tetapi Singapura memperjuangkan faktor pentadbiran rumah api di Pulau Batu Putih oleh Inggeris yang ketika itu menguasai Singapura.

Mereka mendakwa menemui Pulau Batu Putih lebih awal dan membina rumah api di situ untuk mengawasi keselamatan kapal-kapal pedagang sambil tidak pernah menafikan pulau tersebut adalah dalam perairan Malaysia.

Republik berkenaan juga membangkitkan tindakan Malaysia yang dikatakan tidak pernah membantah pemilikan Pulau Batu Putih oleh Singapura hinggalah ke tahun 1979.

Tiada bukti sama ada melalui cakap-cakap atau dokumentasi yang menunjukkan British ketika mencadangkan kemasukan Singapura ke dalam Malaysia turut menyebut nama Pulau Batu Putih.

Apatah lagi dalam Perjanjian Perpisahan Singapura dari Malaysia pada tahun 1965, nama pulau tersebut juga tidak langsung disekalikan.

Oleh itu, tindakan Singapura mendirikan pelbagai struktur binaan termasuk sebuah jeti marin dan tempat pendaratan helikopter sememangnya keterlaluan walaupun mereka beria-ia mempertahankan tindakan tersebut.

Pulau Batu Putih sememangnya sebahagian dari Malaysia dan Singapura hanya memasukkan tuntutannya terhadap pulau berkenaan selepas berpisah dengan Malaysia pada tahun 1965.

Berpisah dengan Malaysia tidak mengubah fakta kedudukan yang Pulau Batu Putih masih di situ, masih dalam kawasan perairan Johor.

Fakta sejarah juga menunjukkan pembinaan rumah api di Pulau Batu Putih lebih banyak untuk mengawal selat Johor berbanding Singapura.

Walaupun yakin Pulau Batu Putih yang dilihat tidak mempunyai sebarang kepentingan ekonomi tetapi penting untuk keselamatan milik kita, Malaysia tidak keberatan kes tersebut dirujuk ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Singapura mendakwa menjadi pihak pertama mencadangkan kepada Malaysia untuk merujuk tuntutan bertindih terhadap pulau itu ke ICJ pada tahun 1989 tetapi tindak balas mereka sering dilihat sebagai terlalu perlahan.

Malaysia yang telah lama menetapkan tarikh untuk menandatangani perjanjian khas bagi membawa tuntutan tersebut ke ICJ menunggu giliran Singapura bersetuju dengan tarikh itu.

Seolah-olah tidak peka dengan tindakan Malaysia ditambah pula dengan isu Pulau Batu Putih yang semacam semakin dilupakan, Singapura terus membisu.

Bagaimanapun, sebaik sahaja Pulau Sipadan dan Ligitan menjadi milik Malaysia, nama Pulau Batu Putih menjadi popular semula dan Singapura terpaksa akur.

Di peringkat awal, Singapura mencadangkan supaya perjanjian itu ditandatangani di luar sesi mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-Eropah di Brussels dan telah menimbulkan tanda tanya di pihak Kuala Lumpur.

Akhirnya Singapura bersetuju menandatangani perjanjian khas pada 6 Februari depan di Wisma Putra - Utusan Malaysia

Monday, January 13, 2003

Rumah api bukan bukti

Oleh Noraini Abdul Razak

Sekadar memberi alasan pengurusan rumah api di Pulau Batu Putih telah ditadbir oleh Inggeris (yang ketika itu menduduki Singapura) sejak tahun 1840 belum cukup untuk membuktikan pulau itu milik republik berkenaan.

Ini jelas kerana Pulau Batu Putih bukan diserah bulat-bulat untuk dimiliki oleh Singapura sebaliknya hanya kuasa untuk menjalankan kerja-kerja pengawalseliaan kapal-kapal yang berlayar di perairan di situ.

Fakta sejarah juga menunjukkan pentadbir Singapura yang dikenali sebagai Temasik itu menggunakan hasil kutipan tol oleh kapal-kapal yang menggunakan perairan di Pulau Batu Putih sebagai modal untuk mentadbir rumah api di situ.

Sejarah awal pembukaan rumah api di Pulau Batu Putih tidak menampakkan penggunaan sumber sendiri di pihak Inggeris yang ketika itu menduduki Singapura untuk menguruskan rumah api berkenaan.

Penyelidikan terhadap status Pulau Batu Putih yang ditonjolkan oleh Singapura sebagai Pedra Branca jelas membuktikan Kesultanan Johor telah melaksanakan sepenuhnya bidang kuasa dan kedaulatan terhadap pulau itu sejak 1513 lagi.

Kesultanan Johor-Riau-Lingga telah diasaskan pada tahun 1513 oleh Sultan Mahmud yang melarikan diri selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511.

Kehadiran kuasa Eropah seperti Inggeris dan Belanda di perairan Johor-Riau pada awal abad ke-19 telah mengancam keutuhan kerajaan Melayu Johor-Riau-Lingga.

Perebutan kawasan-kawasan strategik antara Inggeris dan Belanda telah membawa kepada termeterainya Perjanjian Inggeris Belanda 1824 yang menentukan nasib Singapura seperti termaktub dalam Artikel 12;

``Raja Belanda menarik balik semua bantahan yang telah dibuat terhadap pendudukan rakyat Yang Mulia Raja Inggeris di Singapura bagaimanapun Yang Mulia Raja Inggeris berjanji tidak ada penempatan Inggeris yang akan dibuka di Pulau Karimon, Batam, Bintang dan Pulau Linggi atau mana-mana pulau yang terletak di selatan Selat Singapura, juga pihak Inggeris tidak akan menandatangani sebarang perjanjian dengan ketua-ketua pulau ini.''

Perjanjian London mengakibatkan keutuhan dan kedaulatan kerajaan Melayu Johor-Riau-Lingga terjejas.

Kerajaan yang besar itu telah terbahagi kepada dua iaitu kerajaan Melayu Johor dan kerajaan Melayu Riau-Lingga.

Tidak ada satu perkataan pun dalam Perjanjian London dan perjanjian-perjanjian selepasnya yang memasukkan nama Pulau Batu Putih bersekali dengan Singapura.

Oleh itu memang memeranjatkan apabila Singapura secara tiba-tiba mendakwa pulau yang walaupun kecil tetapi telah menjadi milik Johor (Malaysia) sejak beratus tahun sebagai milik mereka.

Sememangnya Malaysia sebelum ini berdiam diri terhadap kerja-kerja pembinaan yang dilakukan oleh Singapura di pulau itu walaupun ia bertentangan dengan syarat-syarat yang telah dipersetujui.

Jika Singapura mendakwa Pulau Batu Putih milik mereka, republik berkenaan mesti membuktikan pulau itu telah diserahkan kepada Inggeris pada bila-bila masa dalam sejarah.

Sehingga kini tidak ada bukti bertulis yang mencadangkan Pulau Batu Putih telah diserahkan kepada Inggeris oleh Sultan Johor sama ada pada tahun 1918, 1927 atau pada bila-bila masa.

Jika benar Pulau Batu Putih adalah hak Inggeris yang kemudiannya diserahkan kepada Singapura, tidak ada sebab bagi pihak berkuasa Inggeris mendapatkan kebenaran dari Kesultanan Johor untuk membina rumah api di situ.

Rumah api tersebut telah dibuka secara rasmi pada tahun 1851 dan British telah menduduki pulau berkenaan sambil melakukan kerja-kerja pentadbiran di situ.

Tidak ragu-ragu lagi persetujuan antara kerajaan Johor dan Inggeris bertujuan membenarkan kuasa Barat itu membina dan menyelenggara rumah api berkenaan.

Kerajaan Johor sememangnya tidak berniat langsung untuk menyerahkan pulau tersebut kepada British.

Pakar sejarah berpendapat, adalah menjadi beban yang berat kepada Singapura untuk membuktikan Pulau Batu Putih hak mereka yang diwarisi daripada British menerusi mana-mana perjanjian sekalipun.

Sememangnya amat ketara Pulau Batu Putih adalah sebahagian dari negeri Johor malah Malaysia yakin hak Johor ke atas pulau tersebut akan terus kekal dan tidak tergugat bersandarkan kepada fakta sejarah yang menunjukkan Singapura hanya sebagai pengurus rumah api di situ.

Fakta-fakta sejarah dan pemetaan jelas membuktikan Pulau Batu Putih adalah hak Johor iaitu hak Malaysia.

Kerajaan Johor juga tidak pernah menandatangani apa-apa perjanjian melibatkan penyerahan hak pulau tersebut.

Malaysia mempunyai bukti-bukti yang kukuh yang ditunjukkan melalui peta-peta yang diterbitkan bahawa Pulau Batu Putih adalah sebahagian dari Negeri Johor.

Peta-peta yang dikeluarkan sejak tahun 1926 hingga sekarang sama ada oleh Kerajaan Johor, Kerajaan Melayu Bersekutu (Federated Malay States), Kerajaan Persekutuan, Kerajaan India, Tentera Amerika jelas menunjukkan bahawa Pulau Batu Putih adalah hak Johor dan sebahagian wilayah Malaysia.

Kehadiran Singapura sebagai pengurus rumah api di Pulau Batu Putih serupa dengan kehadiran mereka di rumah api di Pulau Pisang.

Kedua-duanya bertujuan untuk mengurus rumah api dengan kebenaran daripada Kerajaan Johor (Malaysia).

Malaysia telah menjalankan tugas untuk mengawal pulau dan perairan dengan mengadakan rondaan kerap oleh Tentera Laut Malaysia, Polis Marin Malaysia dan pegawai-pegawai penguatkuasaan Jabatan Perikanan Malaysia.

Tindakan `provokasi' pihak Keselamatan Singapura adalah satu tindakan yang tidak wajar dan Malaysia sebagai negara yang cintakan kedamaian tidak akan terpedaya dengan tindakan ini.

Selain itu, kerajaan Johor juga berkali-kali menegaskan mereka tidak pernah memberi apa-apa kebenaran kepada Singapura untuk membina bangunan lain, selain rumah api sedia ada.

Malaysia telah membuat bantahan sejak 1979 ke atas hasrat Kerajaan Singapura untuk membina bangunan lain di atas pulau tersebut.

Malah, katanya, Singapura juga tidak dibenarkan membina sebarang struktur lain di pulau berkenaan.

Hakikatnya fakta sejarah cukup untuk menyandarkan keyakinan kerajaan negeri Johor dan Malaysia bahawa kita mempunyai hak terhadap Pulau Batu Putih.

Malah, British menerima hakikat bahawa pulau batu karang itu adalah sebahagian daripada Johor dengan mengambil kira rumah api di pulau itu asalnya dikendalikan oleh Syarikat Hindia Timur.

Bukti lain turut wujud termasuk surat daripada Temenggung Johor bertarikh 25 November 1844, surat Sultan Johor bertarikh yang sama, surat gabenor Negeri-Negeri Selat kepada setiausaha Kerajaan India bertarikh 26 Ogos 1846 serta perjanjian kawasan perairan di antara Britain dan Johor pada 1927.

Menteri Luar Singapura, Prof S. Jayakumar dalam kenyataannya di Parlimen republik berkenaan pada 16 Mei lalu mengungkap sejarah Pedra Branca yang didakwa milik mereka.

Menggunakan hujah yang mudah, beliau berkata, kerajaan Singapura telah menduduki dan melaksanakan kedaulatan sepenuhnya terhadap Pulau Batu Putih dan kawasan perairan sekitarnya sejak 150 tahun lalu iaitu pada tahun 1840.

Malah dengan nada yang sama, beliau menegaskan, pemilikan dan kedaulatan terhadap Pulau Batu Putih tidak pernah dicabar oleh mana-mana negara termasuk Malaysia.

Beliau juga tidak teragak-agak mendakwa Malaysia secara berterusan mengiktiraf kedaulatan Singapura terhadap pulau berkenaan sejak lebih 130 tahun.

Katanya, pengiktirafan itu hanya `terhenti' apabila Malaysia mengemukakan bantahan pada tahun 1979.

Sambil terus menidakkan hak milik Malaysia terhadap Pulau Batu Putih, Singapura menegaskan: ``Kita akan membentangkan kes ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) apabila Malaysia bersedia berbuat demikian.''

Soalnya, siapakah yang tidak bersedia atau sengaja melewat-lewatkan proses menetapkan tarikh bagi menandatangani perjanjian untuk membawa kes itu ke ICJ.

Malaysia sentiasa bersedia, sama ada kedudukan Pulau Batu Putih sama seperti Pulau Sipadan dan Ligitan, biarlah ICJ yang menentukan.

Malaysia sendiri tidak pernah mengiktiraf tuntutan Singapura ke atas Pulau Batu Putih kerana tidak ada bukti kukuh untuk menyokong tuntutan tersebut dan Singapura pula tidak menyerahkan apa-apa dokumen sebagai bukti.

Sekadar mengemukakan peranan sebagai pentadbir rumah api di Pulau Batu Putih sejak 1840 tidak cukup untuk meyakinkan Malaysia bahawa pulau berkenaan adalah hak mereka - Utusan Malaysia

Sunday, January 12, 2003

Sejarah tuntutan Pulau Batu Putih

Oleh Azman Anuar

DALAM peta Malaysia yang terkini, ditunjukkan dengan jelas kedudukan Pulau Batu Putih (White Rock Island). Nama pulau ini digunakan sejak dari dahulu kerana dari jauh pulau itu pada asalnya kelihatan berwarna putih kesan tompokan-tompokan najis burung-burung laut.

Ahli-ahli pelayaran Portugis pada masa dahulu pula memanggil pulau ini Pedra Branca dan nama inilah yang digunakan oleh Singapura hingga sekarang.

Ketika pertikaian tuntutan bertindih ke atas pulau-pulau di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan reda, baru-baru ini muncul pula ketegangan di sudut barat daya perairan itu. Kedaulatan pulau berbatu yang mempunyai wilayah yang cukup kecil tetapi amat strategik menjadi tuntutan bertindih antara Malaysia dan Singapura.

Perkembangan isu Pulau Batu Putih mencapai tahap kemuncak baru-baru ini apabila semakin banyak artikel dan laporan mengenainya dihebahkan melalui media.

Pulau kosong tanpa hidupan dan tumbuhan itu pada asalnya tidak siapa peduli hinggalah terbina rumah api di pulau tersebut.

Mengikut tulisan R. Haller-Trost, Historical Legal Claims: A Study of Disputed Sovereignty Over Pulau Batu Puteh (Pedra Branca) 1993, pada tahun 1842, seorang bendahari, James Horsburgh telah mengumpulkan yuran di Canton, China daripada para pedagang untuk disumbangkan kepada Kerajaan Negeri-Negeri Selat (Straits Settlements Government) supaya membina rumah api bagi kemudahan kapal-kapal yang melalui perairan yang bahaya di bahagian timur selat Singapura, terutama bagi mengelakkan kapal-kapal mengalami kemalangan merempuh batu-batu di laluan berkenaan akibat pertambahan lalu lintas kapal.

Hingga sekarang pun masih berlaku kemalangan pelanggaran antara kapal. Pada 3 Januari lalu kapal anti kapal selam Singapura, RSS Courageous berlanggar dengan kapal kargo ANL Indonesia yang didaftarkan di belanda, kira-kira 1.8 batu nautika dari Pulau Batu Putih.

Berikutan cadangan Horsburgh itu, rumah api yang dinamakan sempena nama beliau dibina pada 1850 dan ia mula beroperasi pada 15 Oktober 1851. Tarikh inilah digunakan oleh Singapura sebagai tarikh bertapaknya kuasa mereka ke atas pulau itu.

Kedudukan batu-batuan yang membentuk pulau ini terletak di pintu masuk ke timur selat Singapura pada garisan 1*19.8'U, 104*24.4'T. Mengikut maklumat daripada Thomson, arkitek Rumah Api Horsburgh, terdapat sedikit anjakan daripada koordinatnya iaitu 1*20.15'U. 104*25'T.

Mengikut keterangan daripada Laporan Marin Bengal, permukaan pulau ini diukur berdasarkan panjangnya 137 meter semasa air pasang rendah dari arah timur laut ke barat daya. Bahagian permukaan besar pulau itu terdapat di sebelah utara, sementara bahagian selatan hanya sedikit sahaja.

Pada aras air rendah didapati permukaan batu-batu dipisahkan pada jarak 20 hingga 30 meter dari batu besar.

Kedudukan paras paling tinggi ialah 8.2 meter ketika air pasang tinggi. Bagaimanapun rupa bentuk Pulau Batu Putih sudah berubah sejak Singapura membina tempat pendaratan helikopter dan kemudahan radar dan marin di atas batu itu.

Permulaan pertikaian

Pembuktian hak ke atas wilayah biasanya menimbulkan masalah disebabkan penyediaan dokumen dan kandungannya yang tidak lengkap. Trost yang membuat kajian ke atas Pulau Batu Putih mendapati kebanyakan dokumen rasmi yang ditemui di India Office Library dan Public Record Office di London, hanya menunjukkan sedikit sahaja rujukan kepada Rumah Api Horsburgh di Pulau Batu Putih, dan tidak mengaitkan persoalan tentang kedaulatan ke atas wilayah berbatu itu sebelum struktur binaan didirikan.

Masalah pemilikan bonjolan batu itu hanya berbangkit selepas Malaysia mengeluarkan peta baru yang menunjukkan wilayah perairan dan sempadan pentas dunia pada 21 Disember 1979. Dalam peta baru itu Malaysia memasukkan pulau batu itu ke dalam wilayah perairannya bagi mengukuhkan turning point (TP) 30 pada persilangan pembahagi bersudut tepat (tegak) segi tiga yang dibentuk oleh tiga titik iaitu Pulau Batu Putih, Tanjong Sanding dan Tanjong Berakit (di Pulau Bintan, Indonesia).

Bukti

Tiada kenyataan atau bukti tentang sebarang pertikaian Pulau Batu Putih ditimbulkan sebelum 1979. Walaupun pada tahun 1953, setiausaha kerajaan negeri Johor yang menjawab soalan daripada kerajaan Singapura bahawa ia tidak menuntut pemilikan ke atas Pulau Batu Putih kerana kedua-dua kerajaan pada masa itu di bawah kawalan kerajaan British.

Pada September 1991, Menteri Besar Johor ketika itu menyatakan bahawa ``dari sudut pandangan sejarah, Pulau Batu Putih adalah milik kita'' dan ``kerajaan Johor bersedia menyediakan bukti jika perlu bagi membuktikan sesungguhnya pulau itu milik Johor.''

Pendapat ini diulangi pada forum khusus tentang Pulau Batu Putih yang diadakan di Johor Bahru pada Oktober 1991 yang dihadiri oleh ahli-ahli sejarah Malaysia.

Dalam menuntut kembali kedaulatan pulau tersebut, Malaysia menunjukkan bahawa Sultan Johor mempunyai hak ke atas kedaulatan Pulau Batu Putih itu sejak 1513 apabila Kesultanan Johor-Riau-Lingga ditubuhkan oleh Sultan Mahmud yang berundur setelah Portugis menawan Melaka pada 1511. Berdasarkan teori warisan negara, Pulau Batu Putih juga menjadi milik Persekutuan Malaysia kerana penyatuan Johor yang menjadi sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya pada 1957.

Malaysia terus menyandarkan fakta bahawa Singapura hanya dibenarkan menguruskan rumah api sahaja dan ia tidak melibatkan kesan hak milik ke atas pulau itu.

Manakala Singpaura pula terus beranggapan bahawa ia mempunyai hak sepenuhnya ke atas kedaulatan dan kuasa perundangan di Pulau Batu Putih berdasarkan Perjanjian Anglo-Belanda.

Malah ia juga berdasarkan fakta bahawa Syarikat Hindia Timur Inggeris yang membina rumah api dan menyelenggarakannya sejak 1851 dan kemudian menyerahkan pengurusannya kepada Singapura.

Tanggapan ini diperkuatkan lagi apabila tiada pihak berkuasa mana-mana kerajaan termasuk Johor dan Malaysia yang membuat sebarang tuntutan atau membantah status Pulau Batu Putih sehingga 1979.

Oleh yang demikian, Singapura mengambil kira batu-batu di perairan 7.7 batu nautika di tenggara Johor itu menjadi bahagian sah dalam wilayah republik itu.

Walau apa pun, beberapa dokumen yang ada kaitan dengan Pulau Batu Putih perlu dikaji dengan teliti termasuk maklumat abad terdahulu bersama-sama dokumen masa kini.

Sebenarnya tiada kesangsian lagi bahawa wujud hubungan rapat antara Johor dengan Riau-Lingga yang juga merangkumi seluruh wilayah Singapura dan kepulauan di sekitar berhampirannya, kerana ia diperintah oleh seorang sultan. Berdasarkan kepada wilayah-wilayah tertentu, fakta yang jelas ialah Johor dan Riau-Lingga pernah merupakan satu entiti politik yang diiktiraf.

Berdasarkan sejarah hubungan Sultan Johor dengan sekutu dan seterunya pada akhir abad ke-18 dan awal abad ke-19, yang akhirnya membelah dua empayar Kesultanan Johor dengan Kesultanan Riau-Lingga pada 1814 hingga 1824, ia adalah akibat daripada Konvensyen London 1814.

Agenda konvensyen antara Britain dengan Belanda itu berkaitan dengan tanah jajahan Belanda di mana, British menyerah balik kepada kerajaan Belanda beberapa kedudukan tanah jajahan tertentu yang telah ditangani mereka pada 1803.

Perjanjian ini kemudian memberi laluan kepada pembahagian tanah jajahan di Asia Tenggara antara Britain dan Belanda melalui Perjanjian Anglo-Belanda 1824.

Pada Mac 1824, Perjanjian Anglo-Belanda itu akhirnya memisahkan Riau-Lingga daripada empayar Sultan Johor. Temenggung Hussain (Johor) dan Temenggung Jaafar (Riau-Lingga) yang bertelagah pula terlepas perhatian tentang Pulau Batu Putih kerana sibuk menjaga kepentingan masing-masing.

Syarikat Hindia Timur Inggeris membayar pampasan kepada Temenggung Johor itu sementara Belanda meningkatkan pendapatan kepada Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga.

Pulau Singapura pula secara langsung menjadi milik British dan kemudian ditubuh pentadbiran Kerajaan Negeri-Negeri Selat yang merangkumi Pulau Pinang, Melaka dan Singapura.

Jika diambil kira tulisan R. Haller-Trost dari Unit Penyelidikan Sempadan-sempadan Antarabangsa, Universiti Durham, London itu, perjanjian yang sedia ada membuktikan bahawa isu kedaulatan Pulau Batu Putih ada kaitan dengan Kerajaan Negeri-Negeri Selat dan Pejabat Tanah Jajahan British di India bagi satu pihak dan Johor pada satu pihak lain.

Analisis

Ini tidak memeranjatkan kerana sifat pulau itu adalah bersendirian, kecil, hanya batu-batu yang tidak ada habitat dan kewujudannya sebelum ini tidak menarik minat mana-mana kerajaan atau pemerintah.

Menurut Trost, jika berdasarkan geografi, pulau itu bukan sebahagian Pulau Ramunia, sebuah pulau kecil 6 batu nautika ke barat laut, dan bukan dipunyai oleh Beting Ramunia pada jarak yang sama lebih ke utara sedikit.

Analisis yang digunakan oleh Trost menunjukkan bahawa Pulau Ramunia yang berada 3 batu nautika di luar pantai Johor adalah milik Sultan Johor, tetapi Pulau Batu Putih berada di luar penguasaannya. Ia tidak termasuk dalam perjanjian Crawfurd 1824 yang mengehadkan 10 batu geografi, diukur dari tanah besar Singapura. Ini menunjukkan bahawa pulau itu tidak boleh dimasukkan ke dalam wilayah Negeri-Negeri Selat dan Akta Perairan Johor 1928.

Bagaimanapun mengikut kajian Malaysia pula, Pulau Batu Putih terletak di utara garisan - lebih tepat 7.5 batu nautika utara Tanjong Sanding (di Pulau Bintan, Indonesia) dan kemudian disahkan berada di wilayah jajahan British. Negeri-Negeri Selat khususnya Singapura hanya menguruskan rumah api di Pulau Batu Putih sehingga Malaysia memasukkan pulau itu ke dalam petanya pada 1979.

Apabila Singapura berpisah dari Malaysia pada 1965, republik itu mengkanunkan wilayah-wilayahnya sebelum tahun 1963 yang kemudian menjadi sebahagian Malaysia, ia harus dikembalikan kepada Singapura.

Dengan demikian Kerajaan Singapura berkata Pulau Batu Putih atau Pedra Branca itu adalah miliknya. Malah Singapura menegaskan bahawa rumah api yang dikendalikannya di bonjolan batu itu adalah salah satu bukti pulau tersebut merupakan milik mereka.

Bagaimanapun kerajaan negeri Johor tidak pernah menyerahkan Pulau Batu Putih kepada mana-mana pihak termasuk Singapura dan kedudukan pihak berkuasa republik itu di pulau tersebut hanyalah sebagai pengurus rumah api yang dibina ketika di zaman penjajahan Inggeris.

Menurut Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, negara jiran itu juga tidak dibenarkan membina sebarang struktur bangunan lain di pulau tersebut.

``Pembinaan rumah api di Pulau Batu Putih adalah dengan kebenaran Kerajaan Johor yang ketika itu di bawah pentadbiran Sultan Sir Abu Bakar semasa penjajahan Inggeris.

``Kerajaan Johor tidak pernah memberikan pulau itu kepada mana-mana pihak dan tidak pernah menandatangani apa-apa perjanjian melibatkan penyerahan hak pulau tersebut.

``Kebenaran membina rumah api tidak bermakna menyerahkan pulau tersebut kepada Singapura,'' katanya.

Menurut Abdul Ghani, peta-peta yang dikeluarkan sejak tahun 1926 hingga yang terkini jelas menunjukkan pulau tersebut adalah dalam wilayah Johor.

Sehubungan itu, kata beliau, Kerajaan Johor berpendirian bahawa pulau itu sejak dahulu lagi adalah sebahagian daripada Johor dan hak negeri ini terhadapnya akan terus kekal dan tidak akan tergugat.

Menurut beliau, kehadiran republik itu di Pulau Batu Putih sama seperti di Pulau Pisang iaitu untuk menguruskan rumah api dengan kebenaran Kerajaan Johor dan Malaysia.

Pun begitu, Malaysia dan Singapura sudah mencapai persetujuan untuk mengemukakan tuntutan masing-masing ke atas Pulau Batu Putih kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague dengan memeterai perjanjian mengenai perkara tersebut di Wisma Putra, Putrajaya pada 6 Februari 2003 - Utusan Malaysia

Thursday, January 09, 2003

Singapura eksploit kelemahan jiran

Singapura berperanan sebagai pelabuhan entreport moden sejak 1819 lagi. Hubungan ekonomi yang erat kedua-dua negara membolehkan kedua-duanya membangun dengan pantas. Sekiranya hubungan ini berkenaan berterusan diperkemaskan lagi sudah tentu ia akan membawa banyak manfaat kepada kedua-dua negara.

Ekonomi Singapura dari dulu lagi bergantung dan berkembang berasaskan sektor perkhidmatan. Pada masa dulu, sebagai sebuah negara yang rendah cukai importnya Singapura pernah menjadi pusat membeli-belah antarabangsa yang besar.

Identiti Singapura sebagai sebuah pelabuhan bebas dan kedudukannya yang strategik menjadikan ia sebagai pintu keluar-masuk barangan bagi negara jiran, khasnya Malaysia dan Indonesia. Fungsi ini diperkukuhkan lagi dengan kecekapan sektor perkhidmatan negara itu. Kecekapan sektor perkhidmatannya menyebabkan ramai pengeksport dan pengimport Malaysia memilih untuk menggunakan pelabuhan negara itu berbanding dengan pelabuhan domestik.

Begitu juga dengan pedagang antarabangsa, mereka lebih gemar menggunakan pelabuhan Singapura, berbanding pelabuhan lain di rantau ini. Justeru, banyak syarikat besar dunia, bukan sahaja dalam bidang perkapalan malah di dalam bidang urus niaga lain pun membuka ibu pejabat mereka di Singapura. Ini semua menyemarakkan lagi kedudukan sektor perkhidmatan di negara itu.

Aktiviti ekonomi Singapura ketika itu samalah seperti peranan orang tengah di sektor pertanian. Mereka membeli barangan di rantau ini, kemudian menjualnya ke negara lain. Maka, import negara itu terlalu besar berbanding bila-ngan penduduknya agak kecil. Misalnya, pada tahun 2000, jumlah import Singapura ialah RM485 bilion, 40 peratus lebih besar daripada import Malaysia. Ini terjadi kerana negara itu mengimport untuk dieksport semula, sedikit sahaja untuk penggunaan dalam negeri. Justeru, eksport negara itu juga lebih besar dari Malaysia, sedangkan kapasiti industri perusahaan dan pembuatannya amat terhad. Pada 2000, jumlah eksport negara itu ialah RM527 bilion berbanding dengan Malaysia yang hanya RM373 bilion.

Seperti kata Fellow Kanan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Azmi Setapa, kejayaan Singapura mengeksploitasi pasaran di rantau ini ialah kerana kelemahan teknologi, pengurusan kewangan, pengurusan perniagaan dan penerokaan pasaran di negara lain. Keupayaan ekonomi Singapura yang lebih baik de-ngan negara jirannya, sebahagian besarnya disebabkan oleh faktor sejarah. Tahap ekonomi penduduk, infrastruktur dan pendidikan yang ditinggalkan oleh penjajah British begitu tinggi.

Tanpa perlu membentuk dasar ekonomi yang kompleks kerana tidak ada ketidakseimbangan pendapatan antara kaum dan geografi, Singapura sudah tentu mampu menggerakkan ekonominya de-ngan mudah. Jadi pembentukan dasar ekonomi di Singapura hanya perlu menumpukan kepada kecekapan ekonomi sahaja.

Bagaimanapun kini lebih banyak barang kita diproses dan dieksport sendiri secara terus ke destinasinya. Pada 1990, 26.9 peratus daripada barang industri pembuatan kita dieksport ke Singapura. Peratusan ini jatuh kepada 24.1 peratus (2000).

Begitu juga dengan minyak sawit, eksportnya ke Singapura jatuh dari 13.2 peratus di tahun 1990 kepada hanya 4.3 peratus (2000). Eksport kayu digergaji ke republik itu juga jatuh dari 8.9 peratus kepada 4.3 peratus untuk tempoh yang sama. Paling ketara sekali ialah eksport petroleum mentah. Ia jatuh dengan banyaknya daripada 26.8 peratus kepada 3.9 peratus sahaja bagi tempoh masa yang berkenaan.

Kini Malaysia mulai beralih kepada ekonomi yang lebih bergantung kepada sektor perkhidmatan. Tumpuan dasar kini sama dengan Singapura. Sektor perkhidmatan di Malaysia akan digunakan untuk meningkatkan kecekapan sektor-sektor lain di dalam ekonomi.

Sekiranya sektor perkhidmatan kita dibangunkan sepenuhnya, ekonomi kita tidak memerlukan sektor perkhidmatan Singapura lagi. Menyedari hakikat ini, Singapura mula beralih perlahan-lahan, mewujudkan rantaian ekonominya di kawasan persempadanannya dengan Indonesia yang masih rendah taraf ekonominya.

Sektor perkhidmatan tidak boleh berdiri sendiri. Ia perlu disokong oleh sektor-sektor lain. Di Singapura, sektor lain adalah terhad dan sempit atau lebih tepat tidak boleh memberi sokongan kuat kepada sektor perkhidmatannya.

Di Malaysia, sektor perkhidmatan disokong kuat oleh pelbagai sektor lain. Kita boleh terus meneroka dan mencipta produk baru. Dengan keupayaan kita, kita tahu untuk mencari pelanggan dan memasarkannya terus ke destinasi tanpa perlu melalui Singapura. Ini akan menggugat kedudukan Singapura sebagai orang tengah atau broker terhormat.

Perkara kedua yang mungkin menjadi agenda Singapura ialah melemahkan sentimen pelaburan di negara kita yang sememangnya sudah dilemahkan oleh isu keganasan. Perselisihan pendapat antara dua negara jiran akan dilihat oleh pelabur sebagai tanda-tanda tidak sihat yang boleh membawa kepada ketidakstabilan ekonomi. Perkara sebegini akan memberi kesan buruk kepada Malaysia kerana pelaburan asing adalah salah satu faktor penting untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia. Berbeza dengan Singapura yang kuat bergantung kepada sektor perkhidmatan, Malaysia memerlukan modal dan kepakaran asing untuk membangunkan pelbagai aktiviti industri. Singapura pula mempunyai rizab yang besar untuk bertahan daripada kemerosotan ekonomi jangka pendek. Pelaburan pula banyak dibuat di luar negara.

Singapura boleh melabur di mana sahaja dan membawa balik keuntungan. Jadi kesan daripada menurunnya sentimen pelaburan di rantau ini akan lebih memberi kesan negatif kepada Malaysia.

Ketiga, Singapura mungkin menggunakan isu tuntutan pulau ini sebagai mengendurkan ketegasan Malaysia di dalam membincangkan isu air. Apakah Malaysia akan setuju untuk menurunkan harga air yang dituntut sekiranya Singapura menggugurkan tuntutannya ke atas Pulau Batu Putih?

Sebenarnya, jika Singapura sanggup meneruskan hubungan baik antara kedua negara, masih banyak faedah yang boleh digembleng walaupun taraf kemajuan kedua-dua negara hampir sama. Oleh kerana Singapura, selama ini mengaut kekayaan dengan mudah iaitu dengan mengambil kesempatan daripada kemunduran teknologi, pengurusan dan penerokaan pasaran negara serantau, mereka tidak bersedia untuk bersaing secara bersih seperti dikehendaki oleh Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).

- NIK YAHYA RAHMAN, Kuala Lumpur.

Tuesday, January 07, 2003

Bincang cara beradab

Oleh Badrul Azhar Rahman

Perdana Menteri Singapura, Goh Chok Tong tidak malu untuk mendakwa dirinya begitu matang dalam mentadbir republik tersebut khususnya dalam menguruskan isu tuntutan Pulau Batu Putih.

Kenyataan Chok Tong yang menyifatkan media-media di Malaysia sebagai `kebudak-budakan' dalam menangani isu Pulau Batu Putih itu jelas menunjukkan pemimpin tersebut seperti syok sendiri. Dia boleh digolongkan sebagai pemimpin yang `masuk bakul angkat sendiri.'

Penulis merasakan begitu kerana kalau Chok Tong merasakan dirinya sudah matang dan berhak menilai tahap media di Malaysia sebagai kebudak-budakan, dia juga seharusnya bersedia untuk menerima kritikan dan kecaman. Dalam hal ini, media Malaysia juga mempunyai hak untuk membuat penilaian atau ulasan tersendiri terhadap pemimpin sedemikian dan Chok Tong tidak harus `melatah' atau terperanjat.

Tapi media Malaysia tidak mahu terperangkap dalam permainan Chok Tong. Kita tidak perlu meletakkan tahap pemikiran kita ke tahap pemikiran Chok Tong. Media yang berpengaruh seharusnya tidak emosional, tidak melenting dan tidak mudah berputus asa dengan kata-kata yang dilemparkan oleh individu sedemikian. Peranan media juga lebih meluas dan lebih besar daripada cita-cita politik Chok Tong serta lebih berpandangan jauh.

Kenapa mesti media Malaysia naik berang dengan telatah Chok Tong walaupun perkataan `melatah' yang digunakan oleh beliau menggambarkan sesuatu yang negatif dan tidak baik. Menurut Kamus Pelajar terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, `melatah' boleh bermaksud penyakit saraf yang menyebabkan seseorang itu melakukan atau mengucapkan sesuatu tanpa disedarinya apabila dirangsang. `Melatah' juga menurut kamus itu adalah berkelakuan seperti orang gila kerana sebab-sebab tertentu.

Apakah sebenarnya maksud Chok Tong menggunakan perkataan `melatah' itu tidak dapat dipastikan tetapi secara kasarnya boleh melambangkan kepimpinan dan perwatakan beliau yang sebenar.

Tidak hairanlah kalau Singapura begitu bongkak menetapkan terlebih dulu untuk menandatangani perjanjian khas dengan Malaysia berhubung isu Pulau Batu Putih pada hujung bulan ini di Brussels.

Apa juga alasannya, Singapura seharusnya berbincang dengan Malaysia terlebih dulu tentang tarikh dan tempat untuk menandatangani perjanjian tersebut. Biarlah ia dibuat secara beradab dan tersusun. Lagipun isu yang mahu diselesaikan merupakan isu yang besar yang melibatkan kedaulatan, maruah dan kepentingan nasional.

Belum selesai isu tuntutan Pulau Batu Putih, republik Singapura dikejutkan pula dengan kemalangan kapal peronda tenteranya di kawasan berhampiran pulau yang dituntut itu malam Jumaat lalu. Setakat ini tiga pegawai tentera republik itu disahkan terbunuh dan seorang lagi masih hilang.

Sebagai jiran yang baik, Malaysia turut menghantar dua buah kapal peronda tentera bagi membantu operasi mencari dan menyelamat. Atas permintaan Singapura, republik itu juga diberi kebenaran untuk meneruskan gerakan mencari di perairan negara ini.

Alangkah baiknya jika semangat setiakawan seperti ini dapat dipanjangkan di meja perundingan.

Kemalangan ini juga menimbulkan satu pertanyaan. Apakah mungkin kerana terlalu banyak kapal peronda tentera Singapura berkeliaran di perairan Pulau Batu Putih hingga tiba-tiba saja dilanggar oleh sebuah kapal kargo Indonesia? - Utusan Malaysia

Hormati perasaan rakyat Johor

Keberanian kapal peronda pantai dan kapal tentera laut Singapura menghalau kapal polis marin Malaysia yang bawa wartawan di perairan Pulau Batu Putih telah membuka tembelang sebenar Singapura terhadap jiran mereka, Malaysia.

Singapura ternyata terlalu berani dan langkah tersebut amat berbahaya jika tidak diambil tindakan betul-betul.

Jika benar-benar jiran tentu mereka faham kapal polis marin Malaysia itu bukanlah kapal milik lanun. Jadi tentulah mereka akan layan kapal polis marin Malaysia dengan baik. Lagipun pulau tersebut bukanlah jauh sa-ngat dari Malaysia, cuma 20km sahaja.

Apakah salahnya jika mereka layan dengan baik kapal polis kita. Lagipun pulau itu amat dekat dengan Johor berbanding dengan Singapura. Nampaknya Singapura telah lupa asal-usulnya?

Kenapa mereka sanggup halau polis marin Malaysia? Inilah satu kejadian yang patut dikupas lebih lanjut dan dijadikan pengajaran. Tanah kita sepatutnya kitalah yang membangunkannya.

Walaupun alasannya ialah kerana mereka fikir Pulau Batu Putih itu milik mereka, namun sikap Malaysia selama ini yang rela memberi tanahnya dibangun dan dijaga oleh orang lain telah membuatkan mereka fikir boleh menakluk pulau tersebut.

Dengan tunjukkan kapal perang, mereka mahu menunjuk-nunjuk agar Malaysia jangan rapat dan cuba ambil kembali pulau itu. Apakah mereka fikir Malaysia boleh terus berdiam diri ke atas wilayah yang cuba ditakluk oleh musuh?

Sungguhpun kerajaan Singapura akan bersetuju membawa perkara itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tapi tindakan kapal perang mereka menghalau kapal polis marin dan nelayan-nelayan kita amat mengguris hati kita. Setelah kita merdeka daripada penjajahan Barat, kini luka lama cuba ditoreh kembali.

Walaupun tanah kita itu se-kangkang kera namun kita mesti tetap pertahan. Ini telah diperakui oleh kerajaan kita.

Hakikatnya Singapura sukar menerima hakikat bahawa mereka cuma menguruskan rumah api di atas pulau wilayah Johor, Malaysia. Oleh kerana Singapura sukar terima hakikat ini maka untuk menyedarkan mereka, perkara ini wajar diputuskan segera oleh ICJ.

Saya berpendapat Singapura berasa bahawa pulau itu memang sah milik mereka hanya kerana mereka mengurus rumah api, tapi kenapa mereka takut nak bawa perkara itu segera ke ICJ? Kenapa mereka melambat-lambatkan proses membawa perkara itu?

Andai kata jika ICJ memutuskan bahawa pulau itu sah milik Johor, Malaysia, bagaimana de-ngan status rumah api dan bangunan yang mereka buat itu kelak? Apakah mereka sanggup memusnahkan dengan bom? Jika ini berlaku maka nama Singapura akan terjejas di peringkat antarabangsa kerana melanggar undang-undang antarabangsa.

Walau apa pun yang berlaku, saya yakin bahawa Singapura akan terus menjadikan diri mereka sebagai biadab dan kurang ajar untuk survival pemerintah mereka.

Oleh kerana negara mereka satu-satunya negara yang ganjil kerana diperintah oleh sesuatu kaum dalam lingkungan sekitar kepulauan rumpun yang lain, maka mereka rasa ganjil dan terancam.

Jadi tak mustahil mereka akan susah menyesuaikan diri dengan suasana hidup rumpun Melayu. Justeru selamanya hubungan akan sentiasa sulit. Ini sudah semestinya mendorong kita menambah kekuatan ketenteraan kita pada masa akan datang bagi menghadapi situasi sulit ini.

Jadi isu perebutan Pulau Batu Putih telah menjadi medan ujian terbaik untuk menilai tahap sebenar kejujuran dan sikap Singapura terhadap Johor, Malaysia. Tembelangnya sudah nyata. Apa yang nyata mereka telah menghantar isyarat jelas kepada kita melalui tindakan mereka terhadap polis marin dan nelayan kita. Kita amat simpati dengan penduduk Johor dengan keadaan ini.

Kita bukan hendak bergaduh atau berperang. Kita lebih suka selesaikan di ICJ dengan segera agar yang putih jadi putih yang hitam jadi hitam.

Singapura perlulah lebih rasional dan janganlah bertindak tanpa memikirkan kesan jangka panjang. Apa pun hormatilah perasaan rakyat Johor yang paling hampir dengan mereka. Rakyat Malaysia tiada pilihan lain jika Singapura memilih untuk berperang demi kedaulatan dan kemerdekaan.

Peringatan Perdana Menteri kita bahawa mana-mana negara yang cuba menggugat kedaulatan wilayah kita akan menerima padah, bukanlah kata-kata kosong.

Singapura tetap akan diawasi kerana ia berpotensi mengancam keselamatan Johor, Malaysia khasnya.

- Reza Aljunaid, Jelebu, N. Sembilan.

Monday, January 06, 2003

TLDM hantar 2 kapal peronda

Najib: Singapura minta bantuan Malaysia lancarkan operasi menyelamat

Oleh: Suhana Abdul Mutalib

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Malaysia menghantar dua buah kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke Pulau Batu Putih bagi membantu operasi mencari dan menyelamat tiga anak kapal RSS Courageous milik Tentera Laut Singapura yang hilang sejak Jumaat lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bantuan diberikan selepas Singapura meminta kebenaran Malaysia untuk melancarkan operasi mencari dan menyelamat tiga anak kapal tersebut yang hilang dalam kemalangan di perairan Pulau Batu Putih,.

Sehubungan itu juga, beliau berkata, Malaysia telah memberikan kebenaran kepada republik berkenaan untuk meneruskan gerakan mencari di perairan negara ini.

``Kita menghantar dua buah kapal peronda yang berlepas dari Pelabuhan Kuantan malam tadi bagi mengawasi operasi berkenaan,'' katanya.

Najib berkata, bantuan tersebut diberikan atas dasar pertimbangan perikemanusiaan selain menjaga hubungan dua hala.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia tidak akan mencampuri urusan siasatan punca kejadian berkenaan.

``Kita tidak akan campur tangan. Terpulang kepada kerajaan Singapura untuk siasat perkara itu dan kita akan bergantung sepenuhnya kepada hasil siasatan mereka,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Bandar Tun Razak di sini hari ini.

Najib mengulas perlanggaran sebuah kapal peronda antikapal selam republik berkenaan, RSS Courageous dengan kapal kargo ANL Indonesia yang didaftarkan di Belanda, kira-kira 1.8 batu nautika dari Pulau Batu Putih.

Dalam kejadian pukul 11.35 malam itu, seorang anak kapal wanita yang juga pakar pengendalian senjata disahkan terbunuh manakala tiga lagi rakannya, semuanya wanita dilaporkan hilang.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Singapura dalam satu kenyataan berkata, satu mayat ditemui hari ini di pantai peranginan di Pulau Bintan, Indonesia yang mungkin seorang daripada tiga pegawai tentera wanita Singapura yang hilang dalam pelanggaran kapal tersebut.

Pihak Singapura telah diberitahu bahawa mayat seorang wanita Cina ditemui di situ pada pukul 10 pagi ini, jelas kenyataan tersebut.

Semalam, penyelam tentera laut menemui mayat pegawai tentera, Goh Hui Ling, 22, tersepit di antara kabin-kabin tidur yang rosak teruk.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai seorang penulis, Tim Huxley yang dipercayai cuba mewujudkan ketegangan antara Malaysia dan Singapura melalui bukunya yang bertajuk Defending The Lion City; The Armed Forces of Singapore, Najib menyifatkannya sebagai permainan taktik kotor media barat.

Kata beliau, penulis berkenaan tidak sewajarnya membuat perbandingan sistem pertahanan antara kedua-dua negara tanpa mengkaji aspek lain terlebih dahulu.

Ini kerana, katanya, Singapura merupakan sebuah pulau yang kecil berbanding Malaysia dan sistem pertahanan antara kedua-dua negara juga berbeza.

``Analisis seperti itu tidak wajar diterbitkan kerana hanya mendorong situasi yang lebih tegang antara dua negara. Masalah antara Malaysia dan Singapura harus diselesaikan cara baik. Tak perlulah kita dengar komen pihak luar untuk selesaikan masalah ini,'' katanya - Utusan Malaysia

Hadapi realiti perbezaan hubungan

Dalam memperkatakan hubungan Malaysia-Singapura, sebenarnya kita tidak boleh lari daripada melihatnya sebagai hubungan di antara dua budaya kuasa yang berbeza. Satu mewakili sifat yang mudah bertolak ansur (accommodating), berbudi bahasa dan bertimbang rasa, manakala satu lagi jelas mewakili sifat mentaliti dikepung (siege mentality).

Walaupun perspektif ini tidak pernah diakui oleh Singapura, namun kata-kata Lee Kuan Yew dalam penulisannya, jelas mencerminkan hakikat berkenaan.

Berbeza dengan Malaysia yang telah mengalami empat kali peralihan kepimpinan, Singapura melalui peralihan kepimpinan hanya sekali sahaja, sejak penubuhan Malaysia. Empat kali peralihan kepimpinan itu membawakan Malaysia ke dalam kedudukan yang lebih pragmatik dalam kehidupan berjiran dengan negara tetangganya itu.

Sedangkan Singapura walaupun sudah beralih kepimpinannya sekali, ia masih dibayangi pengaruh Lee Kuan Yew, yang merupakan tonggak yang mewarisi nilai-nilai dan pandangan yang berasaskan pengalamannya di dalam dan di luar Malaysia sejak dari zaman Tunku Abdul Rahman dahulu. Maka jelas sekali hubungan ini sentiasa disalut dengan madu dan hempedu.

Menyorot kembali penyingkiran Singapura dari Malaysia pada 9 Ogos 1965, setelah hanya dua tahun mereka `berkahwin', perpisahan tersebut yang dimeterai oleh tiga bacaan di Dewan Negara dan Dewan Rakyat melambangkan lafaz talak tiga, dalam perceraian orang-orang Melayu Islam. Yakni tidak ada rujuk kembali.

Bertitik tolak dari situ, Malaysia menjadi rimas dengan gelagat jirannya seperti yang terdapat dalam beberapa peristiwa penting. Antaranya, pada tahun 1986, Singapura telah melukai hati Malaysia dengan mengalu-alukan lawatan Presiden Chaim Herzoz dari Israel. Pada tahun 1987 pula, Brigedier Jeneral (B) Lee Hsien Loong, yang dikatakan akan mewarisi kepimpinan Singapura, menegaskan bahawa kekurangan orang Melayu Islam dalam Angkatan Tentera Singapura adalah agar tidak timbul konflik di antara kesetiaan dengan emosi dan agama, apabila republik itu diserang. Ini jelas memberi implikasi bahawa musuh mereka adalah Malaysia, sebuah negara Islam.

Pada tahun yang sama juga dua buah bot penggempur dengan 6 orang tentera beruniform menceroboh masuk ke Sungai Melayu di Johor Bahru. Manakala pada akhir tahun 2001, isu pelajar Nurul Nasihah yang tegas tidak mahu menanggalkan tudungnya telah disingkir dari sekolah atas alasan yang sukar diterima oleh penganut Islam.

Kini, dalam kehangatan isu bekalan air yang belum selesai, diikut pula isu penambakan laut dan terakhirnya isu hak milik Pulau Batu Putih.


Adakah isu-isu akan menjadi satu faktor penentu yang akan memberi kesan jangka pendek dan panjang dalam hubungan dua negara berjiran ini? Atau adakah Tambak Johor tetap berdiri gagah sebagai laluan kasih mesra orang berjiran?

Sebenarnya Singapura sudah awal-awal lagi terperangkap dalam sindrom mentaliti dikepung ini sejak dari zaman ia masih berada dalam Malaysia. Seperti kata Lee Kuan Yew, sebagai negara kecil yang sumbernya sedikit, tetapi rakyatnya perlu memikirkan strategi untuk terus hidup.

Hasrat Lee Kuan Yew untuk menjadikan Singapura sebagai Israel bermula selepas Singapura keluar dari Malaysia di mana Goh Keng Swee, Menteri Kewangannya yang merangkap Menteri Pertahanan bertemu dengan Mordecai Kidron, Duta Israel di Bangkok pada tahun 1965.

Pada November 1965, sekumpulan pakar ketenteraan Israel yang dipimpin oleh Kolonel Jak Ellazari, tiba di Singapura dan diikuti pula oleh enam orang lagi pada Disember 1965. Mereka ini menyamar sebagai `Mexicans'.

Dari situ, dalam masa 10 tahun sahaja Singapura sudah memiliki satu angkatan tentera yang lengkap dan kini menjadi semakin canggih dengan perbelanjaan tahunan pertahanan terkini mencecah 3.7 bilion dolar.


Memahami keadaan pemikiran mereka sebenarnya juga memahami pemikiran jiran yang bimbang dengan kemajuan dan kemakmuran jiran bersebelahannya. Dalam jangka masa 10 tahun kebelakangan ini, kelihatan segala-galanya telah bertukar tempat.

Dunia tidak lagi melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang berada di pinggiran Singapura. Malaysia muncul sebagai negara yang mempunyai jati diri dan kedaulatannya sendiri. Malaysia tidak lagi perlu meniru Singapura. Malah sebaliknya yang berlaku.

Maka dengan daya saingan yang sudah mula dimiliki oleh Malaysia ke atas Singapura, negara tersebut tidak harus dilihat sebagai satu ancaman besar. Hasrat utama Singapura adalah mahu survive di sebelah negara jirannya yang sejak dahulu membantu ia menjadi makmur.

Sebarang langkah agresif terhadap Malaysia pasti akan menjejaskan peranan Malaysia sebagai pembantunya yang sekian lama bersifat matang dan sabar. Hanya jiran yang berjiwa kecil sahaja akan merosakkan hubungannya dengan jiran yang mempunyai sifat gentleman sedemikian.

Itulah realiti yang kita perlu lihat dalam hubungan dua hala ini. Realiti itu tentu sekali perlu difahami Singapura.

- Hamdan Sulaiman, Hulu Klang, Selangor.