THE HAGUE, Nov 24 - After sitting for 12 days, the International Court of Justice (ICJ) adjourned the sovereignty dispute case over Pulau Batu Puteh, Middle Rocks and South Ledge between Malaysia and Singapore.
Judge Awn Shawkat Al-Khasawneh, the ICJ vice-president, who headed the 16-member panel said the court would now retire for deliberations (of the case).
He said the court would inform the agents of the two countries in due course when judgment would be delivered.
The 16 judges included two ad hoc judges appointed by Malaysia and Singapore. Malaysia appointed Christopher S.R. Dugard of South Africa and Singapore, Pemmaraju Sreenivasa Rao of India.
ICJ president Judge Rosalyn Higgins had decided not to hear the case as she had represented Singapore before her appointment to the court's top post.
The court adjourned the case after hearing a closing statement by Malaysia's agent Tan Sri Abdul Kadir Mohamad who closed the case for Malaysia at about 6pm (1am Malaysian time) Friday.
Abdul Kadir Mohamad, the Ambassador-at-Large and also the Prime Minister's Adviser on Foreign Affairs, led the Malaysian team.
Datuk Noor Farida Ariffin, the Malaysian Ambassador to The Netherlands, was the co-agent.
Attorney-General Tan Sri Abdul Gani Patail had also represented Malaysia together with Malaysia's team of international lawyers, namely Sir Elihu Lauterpacht and James Crawford, both professors in International Law at the Cambridge University; Nicolaas Jan Schrijver, professor of Public International Law, Leiden University; Marcelo G. Kohen, professor of International Law, the Graduate Institute of International Studies, Geneva; and Penelope Nevill, college lecturer, Downing College, Cambridge University.
The proceedings started on Nov 6 with Singapore given four days until Nov 9 for the first round of oral pleadings while Malaysia's turn was from Nov 13 to 16.
The second and final round of oral arguments commenced on Nov 19 and 20 for Singapore and Nov 22 and 23 for Malaysia.
During the proceedings, the court heard Singapore's contention that Pulau Batu Puteh was terra nullius (No Man's Land) when Britain took possession of it from 1847 to 1851.
Singapore claimed it had conducted various activities there to show it had exercised sovereignty powers on the island which it called Pedra Branca.
Malaysia dismissed the claim that Pulau Batu Puteh was terra nullius, saying that the claim was flawed.
It stressed that Johor had the original title to the island and the two marine features since time immemorial and that Britain had obtained permission from Johor to build the lighthouse there.
Malaysia said Singapore is merely the administrator of the lighthouse on Pulau Batu Puteh and activities that have taken place there are just acts required by a lighthouse administrator.
Malaysia had also stressed that Britain's activities in relation to the Horsburgh Lighthouse and the island after 1851 were purely operational and did not reflect any intention to acquire sovereignty over the island.
Britain's and Singapore's activities in respect of the lighthouse did not amount to a conduct of sovereignty as claimed by Singapore, it submitted before the 16-member panel of judges.
The court did not specify when judgment would be delivered but on the average, it normally takes about six months to hand down the verdict - Bernama
Kes Pertikaian Kedaulatan Pulau Batu Puteh Ditangguh
THE HAGUE, 24 Nov - Selepas 12 hari bersidang, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menangguhkan kes pertikaian antara Malaysia dan Singapura mengenai hak kedaulatan Pulau Batu Puteh, Terumbu Karang Tengah dan Terumbu Karang Selatan.
Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh, naib presiden ICJ, yang mengetuai panel 16 anggota berkata mahkamah kini akan ditangguh untuk rumusan kes itu.
Beliau berkata mahkamah akan memaklumkan ejen daripada kedua-dua negara bila keputusan akan diberikan.
Panel 16 hakim itu termasuk dua hakim yang dilantik secara ad hoc oleh Malaysia dan Singapura. Malaysia melantik Christopher S.R. Dugard dari Afrika Selatan manakala Singapura, Pemmaraju Sreenivasa Rao dari India.
Presiden ICJ Hakim Rosalyn Higgins memutuskan untuk tidak mendengar kes itu kerana beliau telah mewakili Singapura sebelum dilantik ke jawatan tertinggi mahkamah itu.
Mahkamah menangguhkan kes itu selepas mendengar hujahan penutup oleh ejen Malaysia Tan Sri Abdul Kadir Mohamad, yang menggulung kes itu untuk Malaysia pada kira-kira pukul 6 petang (1 pagi waktu Malaysia) Jumaat.
Pasukan Malaysia diketuai Abdul Kadir, Duta Tugas-tugas Khas yang juga Penasihat Hal Ehwal Luar kepada Perdana Menteri, manakala Datuk Noor Farida Ariffin, Duta Malaysia ke Belanda, adalah ejen bersama.
Malaysia turut diwakili Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail serta barisan peguam antarabangsa terdiri daripada Sir Elihu Lauterpacht dan James Crawford, kedua-duanya profesor Undang-undang Antarabangsa di Cambridge University; Nicolaas Jan Schrijver, profesor Undang-undang Awam di Leiden University; Marcelo G. Kohen, profesor Undang-undang Antarabangsa di Graduate Institute of International Studies, Geneva; dan Penelope Nevill, pensyarah di Downing College, Cambridge University.
Pusingan pertama pembentangan hujah secara lisan oleh Singapura berlangsung selama empat hari iaitu dari 6 hingga 9 Nov manakala pusingan pertama bagi Malaysia berlangsung dari 13 hingga 16 Nov.
Pusingan kedua dan akhir penghujahan lisan pula ialah 19 dan 20 Nov untuk Singapura manakala bagi Malaysia pula ialah 22 hingga 23 Nov.
Semasa penggulungan hujah, mahkamah mendengar hujah Singapura bahawa Pulau Batu Puteh adalah kawasan yang tidak dimiliki oleh sesiapa (terra nullius), dan bahawa dari 1847 hingga 1851, Britain mengambil pulau berkenaan tanpa keizinan dari mana-mana pemerintah tempatan.
Singapura mendakwa ia telah mengendalikan pelbagai kegiatan di pulau berkenaan untuk menunjukkan republik itu mempunyai hak kedaulatan terhadap pulau yang dipanggil Pedra Branca.
Malaysia bagaimanapun menegaskan bahawa Pulau Batu Puteh bukan terra nullius kerana Johor adalah pemegang hak milik asal ke atas pulau itu serta dua terumbu karang lain sejak zaman berzaman dan Britain telah mendapat kebenaran dari Johor untuk membina rumah api di sana.
Malaysia juga berkata Singapura hanyalah pentadbir rumah api yang terdapat di Pulau Batu Puteh, dan semua kegiatan yang dilakukan oleh republik itu di sana tidak lebih daripada tindakan yang perlu dilakukan oleh mana-mana pengendali rumah api.
Malaysia juga menegaskan bahawa kegiatan Britain dalam hubungan dengan rumah api Horsburgh dan pulau itu selepas 1851 hanyalah mengendali operasi rumah api dan tidak menunjukkan sebarang hasrat untuk memiliki kedaulatan pulau itu.
Kegiatan Britain dan Singapura berhubung dengan mentadbir rumah api itu bukan bermaksud ia mempunyai kedaulatan ke atas pulau itu seperti yang didakwa Singapura, hujah Malaysia di hadapan panel 16 anggota.
Mahkamah tidak menetapkan bila keputusan akan disampaikan tetapi secara kasarnya, mahkamah pada kebiasaan akan mengambil masa kira-kira enam bulan untuk mengisytiharkan keputusannya - Bernama
Sunday, November 25, 2007
ICJ Adjourns Pulau Batu Puteh Sovereignty Dispute Case
Posted by
9T9
at
2:18 PM
0
comments
Labels: Bernama, Hujah, ICJ, Proceeding
Malaysia Put Up Convincing Case, Says Syed Hamid
THE HAGUE, Nov 24 - Malaysian Foreign Minister Datuk Seri Syed Hamid Albar said today the government is satisfied that the Malaysian team had worked hard to put up a convincing case on the country's sovereignty over Pulau Batu Puteh, Middle Rocks and South Ledge.
"We should congratulate the team leader, the agent, the attorney-general and other officers. We have confidence in the case presented," he told Malaysian reporters who covered the hearing before the International Court of Justice (ICJ), here.
He said however that at the end of the day, it would be the court which would make a decision.
"We understand that but in terms of presentation of the case, it was most effective and convincing," he said.
Syed Hamid said it was important for Malaysians -- from the rakyat (people), members of parliament, to the leaders -- to know that the Malaysian team was not inferior to any other team.
"Not only have they proven their dedication, they are a very good team, not only the international lawyers but also our own team. They have made an effective contribution," he said.
He said every one of the individuals in their own fields of specialisation regarded the case "as their own" and brought out an extraordinary spirit of patriotism and love for the country.
Syed Hamid made mention of Malaysia's first navy chief Tan Sri K.Thanabalasingam who "came back from retirement" to be part of the team.
He said the country should also be proud of Tan Sri Abdul Kadir Mohamad, Datuk Noor Farida Ariffin and Attorney-General Tan Sri Abdul Gani Patail who appeared before the 16 international jurists.
Abdul Kadir, who led the Malaysian team, was the Malaysian agent in the case while Noor Farida, Malaysia's Ambassador to the Netherlands, was the co-agent. Abdul Kadir is the Ambassador-at-Large and also the Prime Minister's Adviser on Foreign Affairs.
Touching on the Malaysian international legal team, he said the accomplished team had enjoyed working with the Malaysian team.
"They have got a very high opinion of us. This is something to proud of," he said.
Syed Hamid said that when the case was brought before the ICJ it was important that Malaysians gave their support, prayed for the country's victory and, most importantly, "appreciate that these are our people ... and even our international legal team has worked and presented the case well."
He said that it was not easy to defend the country's sovereignty and international integrity.
"However, I feel that if we have the working spirit and dedication and work as a team, the outcome will be that which we have seen in this case," he said - Bernama
Malaysia Bentang Kes Berkesan Dan Menyakinkan, Kata Syed Hamid
THE HAGUE, 24 Nov - Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata kerajaan berpuas hati dengan usaha keras yang dilakukan oleh pasukan Malaysia dalam membentangkan kes yang menyakinkan mengenai hak kedaulatan Pulau Batu Puteh, Terumbu Karang Tengah (Middle Rocks) dan Terumbu Karang Selatan (South Ledge).
"Kita mengucapkan tahniah kepada ketua pasukan, ejen, Peguam Negara dan pegawai-pegawai lain," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan kes tersebut di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini.
Bagaimanapun, Syed Hamid berkata ICJ akan membuat keputusan muktamad.
Katanya adalah penting bagi semua rakyat Malaysia untuk mengetahui bahawa pasukan Malaysia di ICJ bukan bertaraf lebih rendah berbanding mana-mana pasukan lain.
"Bukan sahaja mereka berdedikasi dan bagus termasuk peguam antarabangsa tetapi juga pasukan kita sama handal. Masing-masing telah menyumbangkan secara berkesan," katanya.
Beliau menyebut bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pertama negara Laksamana Muda (B) K. Thanabalasingam turut menjadi sebahagian daripada anggota pasukan Malaysia di ICJ.
Katanya negara harus bangga dengan Tan Sri Abdul Kadir Mohamad, Datuk Noor Farida Ariffin dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang berdepan dengan 16 juri antarabangsa di ICJ.
Abdul Kadir yang mengetuai pasukan Malaysia bertindak sebagai ejen Malaysia dalam kes itu sementara Datuk Noor Farida Ariffin, Duta Malaysia ke Belanda, adalah ejen bersama.
Abdul Kadir ialah Duta Tugas-tugas Khas yang juga Penasihat Hal Ehwal Luar kepada Perdana Menteri.
Mengenai pasukan pegawai perundangan antarabangsa Malaysia, Syed Hamid berkata pasukan itu mempunyai pandangan tinggi terhadap barisan Malaysia - Bernama
Posted by
9T9
at
1:38 PM
0
comments
Labels: Batu Putih, Bernama, Hujah, ICJ, Ulasan
Saturday, November 24, 2007
Singapura tidak yakin miliki pulau
Daripada: Noraini Abd. Razak (Belanda)
THE HAGUE, Belanda 23 Nov. – Singapura yang tidak yakin bahawa Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge adalah miliknya terpaksa beralih dari satu alasan ke satu alasan untuk mewajarkan tuntutannya ke atas ketiga-tiga pulau itu.
Barisan peguam antarabangsa yang mewakili Malaysia dalam kes tersebut memberitahu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini, ketidaktentuan pasukan Singapura itu menjadikan kes yang dibentangkannya ‘lemah dan berbelit-belit‘ sehingga kadangkala menimbulkan kekeliruan di pihak republik itu sendiri.
Mereka berhujah, di peringkat awal kes, Singapura menyandarkan tuntutan mereka kepada dakwaan bahawa British menduduki Pulau Batu Putih pada tahun 1847 secara sah (lawful taking of possession) kerana pulau itu terra nullius (tiada pemilik).
Kemudian, republik itu mengheret mahkamah untuk mendengar tentang British mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih semata-mata kerana kerja-kerja yang dijalankan untuk membina Rumah Api Horsburgh yang berlangsung antara tahun 1847 dan 1851.
Peguam-peguam Malaysia berhujah lagi, oleh kerana dua alasan berkenaan masih melemahkan kes Singapura, republik itu cuba menarik perhatian mahkamah mengenai tindak-tanduknya di pulau itu selepas tahun 1851 hingga sekarang untuk membuktikan bahawa ia mempunyai kedaulatan di Pulau Batu Putih.
“Kebenaran Johor (Sultan dan Temenggung) untuk (British) membina rumah api tersebut menjadikan kes Singapura yang sememangnya lemah dan berbelit-belit runtuh dan tidak boleh dipulihkan, baik bagi tujuan menduduki secara sah disebabkan pulau itu terra nullius mahupun kerana tindak-tanduk republik itu di Pulau Batu Putih.
“Kesemuanya itu langsung tidak mempunyai nilai untuk mengasaskan kedaulatan di wilayah yang berkenaan,” hujah Profesor Marcelo G. Kohen di hadapan barisan 16 hakim yang diketuai oleh Naib Presiden ICJ, Hakim Awn-Shawkat Al-Khasawneh.
Kohen berhujah, persoalan yang timbul dalam kes tuntutan tersebut amat mudah malah bukti-bukti yang menunjukkan Malaysia mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih juga jelas, tetapi Singapura bekerja keras untuk menjadikannya rumit.
Katanya, kes tersebut adalah mengenai hasrat British untuk membina sebuah rumah api di Pulau Batu Putih sebagai penghormatan kepada James Horsburgh - pihak berkuasa di Johor memberi kebenaran membina rumah api - dan Syarikat Hindia Timur membina rumah api itu.
“Bukti-bukti amat jelas. Malah ia terlalu banyak, surat-surat Gabenor Butterworth sebelum dan selepas kebenaran dikeluarkan oleh Sultan dan Temenggung Johor; laporan penuh Butterworth bersekali dengan surat pemerintah Johor yang menunjukkan bahawa pemilihan lokasi asal iaitu Peak Rock juga terpakai kepada Pulau Batu Putih.
“Kesemua ini tidak dicabar oleh Singapura,” hujah Kohen lagi.
Profesor Sir Elihu Lauterpacht juga menarik perhatian mahkamah mengenai dakwaan Singapura bahawa Pulau Batu Putih adalah terra nullius yang dirumuskannya sebagai mempunyai kecacatan.
Malaysia, hujah beliau, telah membuktikan bahawa Pulau Batu Putih bukan terra nullius sebaliknya ia adalah milik Johor, justeru adalah amat tidak berasas kepada British ketika itu atau pada bila-bila masa mendapat hak milik ke atas sebuah pulau yang hanya boleh diperoleh menerusi keizinan pemiliknya.
“Dan keizinan yang diberi terhad kepada membina dan mengendalikan sebuah rumah api,” hujah Lauterpacht.
Beliau turut menyanggah kritikan Singapura kononnya Malaysia membisu terhadap a titre de souverain (tindak-tanduk British yang menunjukkan ia mempunyai kedaulatan) di Pulau Batu Putih.
Hujah beliau, tindak-tanduk British dari tahun 1847 hingga 1851 tidak boleh diklasifikasikan sebagai mempunyai kedaulatan di pulau tersebut kerana ia hanyalah mengenai pembinaan rumah api dan tidak lebih daripada itu.
Malah, Lauterpacht berhujah, fakta bahawa pembinaan rumah api itu dibiayai oleh kumpulan saudagar seperti yang diperjelaskan dalam Laporan Thomson sangat melemahkan dakwaan Singapura bahawa ‘tanpa keputusan kerajaan British untuk membina dan membiayai pembinaan rumah api di Pedra Branca, rumah api itu tidak akan wujud’.
“Fakta sebenar ialah kerajaan British tidak membiayai pembinaan rumah api itu atau mengambil inisiatif untuk berbuat demikian.
“Malah Akta 1852 jelas menggambarkan peranan kerajaan British yang amat terhad iaitu hanya kepada membina rumah api,” hujah beliau.
Sementara itu, Profesor Nicout Schrijver berhujah mengenai kelewatan Singapura memasukkan hujahnya mengenai terra nullius iaitu hanya dalam dokumen balasannya.
Katanya, hujah-hujah bertulis Singapura dalam memorialnya tertumpu kepada British menduduki Pulau Batu Putih pada pertengahan abad ke-19 secara sah.
Bagaimanapun, hujah beliau, mahkamah pasti sedar semasa menyampaikan hujah-hujah lisannya, Singapura telah menyimpang daripada asas pertamanya dan berhujah pula mengenai teori terra nullius tetapi dalam keadaan ragu-ragu.
Schrijver berhujah, berbanding dakwaan Peguam Singapura, Alain Pellet mengenai teori terra nulliusnya, ejen republik itu, Tommy Koh pula mendakwa: “... jika mahkamah mendapati hak milik Pedra Branca (Pulau Batu Putih) sebagai tidak dapat dipastikan (bagi tahun 1847 hingga 1851), Singapura jelas telah menunjukkan kedaulatannya’'.
Beliau secara sinikal berhujah, ketidakyakinan Singapura terhadap kesemua asas-asas dakwaannya bahawa Pulau Batu Putih miliknya menyebabkan mereka terpaksa ‘menggunakan dua ekor kuda dalam satu perlumbaan’.
Katanya, tindakan Singapura menggunakan terra nullius sebagai asas tuntutannya langsung tidak boleh dipertahankan.
Pada bila-bila masa, hujah Schrijver, Pulau Batu Putih bukan terra nullius dengan pulau tersebut dikenali menerusi namanya dan tertera dalam peta-peta awal, juga sebagai penanda laut dan titik bahaya.
Malah, penduduk tempatan (yang datang daripada kesultanan Johor), katanya, menggunakan pulau tersebut sejak seawal tahun 1552 seperti yang terkandung dalam buku-buku Portugis - Utusan Malaysia
Posted by
9T9
at
4:04 PM
0
comments
Labels: Hujah, ICJ, Media, Utusan Malaysia
Friday, November 23, 2007
Bukan milik Singapura
Gagal buktikan 3 pulau dituntut hak republik itu - Peguam Negara
THE HAGUE, Belanda 22 Nov. – Malaysia memulakan pusingan kedua hujah lisan kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih dengan menegaskan bahawa Singapura gagal membuktikan, jauh sekali mengemukakan sebarang dokumen, bahawa pulau tersebut milik republik itu.
Malah, Malaysia berhujah, kelewatan Singapura membuat tuntutan ke atas dua bentuk maritim iaitu Middle Rocks dan South Ledge (13 tahun selepas tuntutan Pulau Batu Putih) menunjukkan republik itu tidak mempunyai hak ke atas ketiga-tiga pulau berkenaan.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menarik perhatian Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini hari ini mengenai dakwaan Singapura bahawa Malaysia bukan pemilik asal Pulau Batu Putih.
Berhubung isu itu, beliau mempertikaikan dakwaan Singapura bahawa pulau tersebut menjadi milik British pada tahun 1847 hingga 1851 kerana ketika British datang ke situ, ia adalah terra nullius (tiada pemilik).
Menurut Abdul Gani, Singapura tidak dapat mengemukakan sebarang bukti bahawa Pulau Batu Putih ketika itu adalah terra nullius.
“Singapura tidak membuktikan kesnya, sebaliknya kes republik itu berdasarkan kepada kesimpulan mereka bahawa Pulau Batu Putih adalah terra nullius,” hujah beliau di hadapan Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh serta 15 hakim lain termasuk dua hakim ad hoc yang dilantik oleh Malaysia dan Singapura.
Abdul Gani kemudian berhujah mengenai perkara kedua iaitu sikap berdiam diri Singapura atau kegagalan republik itu mengemukakan dokumen undang-undang yang tidak boleh dipertikaikan sehingga tahun 1978 untuk menunjukkan bahawa Pulau Batu Putih adalah milik mereka.
Malaysia, hujah beliau, telah menunjukkan bahawa kebenaran yang diberi oleh Johor berhubung pembinaan Rumah Api Horsburgh di pulau itu dibuktikan menerusi surat keizinan Sultan dan Temenggung bertarikh 25 November 1844.
“Sikap Singapura yang berdiam diri berhubung perkara ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja,” kata beliau sambil memetik keputusan ICJ dalam kes Temple of Preah Vihear mengenai pertikaian antara Kemboja dan Thailand.
Dalam kes itu, ICJ menggariskan bahawa beban untuk membuktikan sesuatu tuntutan sudah pasti terletak kepada pihak yang membuat dakwaan atau mengemukakan tuntutan.
“Malaysia telah membuktikan kesnya, bagaimanapun Singapura tidak berbuat demikian,” hujah beliau.
Abdul Gani turut menarik perhatian mahkamah mengenai dakwaan Peguam Negara Singapura semasa hujah lisan republik itu pada 19 November 2007 berhubung tarikh penting tuntutan ke atas Middle Rocks dan South Ledge.
Menurut beliau, Singapura mendakwa tarikh penting itu adalah berikutan jawapan balas kepada kenyataan Malaysia bahawa kedua-dua bentuk maritim itu adalah milik negara ini iaitu sehari sebelum rundingan dua hala antara kedua-dua negara diadakan.
Sebaliknya, Abdul Gani berkata, jika republik itu ingin menuntut kedaulatan ke atas Middle Rocks dan South Ledge, sudah pasti ia telah memasukkan nama kedua-dua pulau itu dalam nota bantahannya pada 14 Februari 1980 iaitu ketika bermulanya pertikaian ke atas Pulau Batu Putih tetapi Singapura tidak berbuat demikian.
‘‘Kedua-dua bentuk maritim itu telah dikenali dengan namanya sekarang ini sejak lama dulu, iaitu pada abad ke-14 bagi Pulau Batu Putih dan abad ke-19 bagi dua bentuk maritim lagi.
‘‘Kenyataan bahawa Singapura membangkitkan perkara itu sebagai tindak balas kepada apa yang Malaysia katakan adalah tidak relevan kerana tiada pertikaian langsung berhubung kedaulatan Malaysia ke atas kedua-dua bentuk maritim itu sebelum 6 Februari 1993,” katanya.
Esok Malaysia akan menyambung hujah lisan dan menggulung kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge - Utusan Malaysia
Posted by
9T9
at
1:17 AM
0
comments
Labels: Hujah, ICJ, Utusan Malaysia
Pemangku SUK Johor tiada kuasa lepas hak milik pulau
THE HAGUE, Belanda 22 Nov. – Surat balasan yang menyebut Johor tidak menuntut hak milik ke atas Pulau Batu Putih pada September 1953 ditulis oleh pegawai kerajaan negeri yang tidak mempunyai kuasa atau kapasiti undang-undang untuk berbuat demikian.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berhujah, Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, M. Seth Bin Said yang menulis surat itu kepada pegawai British di Singapura hanyalah seorang pegawai kerajaan negeri Johor.
“Beliau pastinya tidak diberi kuasa atau mempunyai kapasiti undang-undang untuk menulis surat pada 1953 atau melepaskan, menafikan, atau mengesahkan hak milik ke atas mana-mana wilayah Johor,” katanya.
Abdul Gani menarik perhatian Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini hari ini mengenai surat yang ditulis oleh pegawai British, J.D. Hingam kepada kerajaan negeri Johor berhubung status Pulau Batu Putih dan surat balasan yang dikeluarkan oleh M. Seth.
Pertamanya, hujah beliau, surat daripada J.D. Hingam itu dialamatkan kepada Penasihat British di Johor dengan salinan kepada Ketua Setiausaha Persekutuan Tanah Melayu dan bukannya kepada Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri.
Keduanya, Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri sendiri mengeluarkan surat kepada J.D. Hingam.
M. Seth, hujah Abdul Gani, menulis terus kepada pihak berkuasa tempatan koloni British iaitu Singapura.
Beliau (M. Seth) tidak sama sekali membuat salinan surat kepada Ketua Setiausaha Persekutuan Tanah Melayu.
“Tiada bukti untuk menunjukkan bahawa Ketua Setiausaha (Persekutuan Tanah Melayu) atau Pesuruhjaya Tinggi tahu mengenai isi kandungan surat tersebut.
“Kaedah surat menyurat (berhubung status Pulau Batu Putih) adalah menyimpang daripada kebiasaan dan tidak betul,” hujah Gani di hadapan Naib Presiden ICJ, Awn Shawkat Al-Khasawneh serta 15 hakim lain termasuk dua hakim ad hoc.
Duta Kelana di Kementerian Luar republik itu, Tommy Koh ketika menutup kes Singapura kelmarin berhujah: “Pada tahun 1953, ketika Johor merupakan sebuah negeri berdaulat di bawah undang-undang antarabangsa, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dengan kapasiti rasmi kerajaan telah memaklumkan kepada kerajaan Singapura bahawa Johor tidak menuntut hak milik ke atas Pulau Batu Putih.”
Abdul Gani mempersoalkan hujah Singapura itu: “Persoalannya ialah sama ada beliau (Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor) diberi kuasa dan mempunyai kapasiti undang-undang untuk melepaskan, menafikan atau mengesahkan hak milik ke atas mana-mana wilayah Johor.” - Utusan Malaysia
Posted by
9T9
at
12:07 AM
0
comments
Labels: Hujah, ICJ, Utusan Malaysia
Wednesday, November 21, 2007
Singapura gulung hujah Batu Putih
THE HAGUE, Belanda 20 Nov. – Singapura hari ini menutup kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge dengan mempertahankan dakwaan bahawa republik itu mempunyai hak kedaulatan ke atas ketiga-tiga pulau tersebut.
Duta Kelana republik itu, Tommy Koh di akhir ucapan penutupnya meminta mahkamah membuat keputusan berdasarkan perenggan kedua, Perkara 60, Peraturan-Peraturan Mahkamah bahawa Singapura mempunyai hak ke atas pulau-pulau tersebut.
Pasukan Singapura memberitahu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini, pihaknya telah membuktikan bahawa ketiga-tiga pulau itu milik mereka berdasarkan hujah serta bukti bertulis yang terkandung dalam memorialnya.
Republik itu mendakwa telah berjaya mengemukakan kesnya sepanjang pusingan pertama dan pusingan kedua hujah lisan selama enam hari di hadapan barisan 15 hakim yang diketuai oleh Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh.
Kesemua hujah Singapura itu akan dijawab oleh pasukan Malaysia yang diketuai oleh Duta Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad Khamis ini.
Koh yang bertindak sebagai ejen utama Singapura dalam tempoh 15 minit membentangkan 10 hujah bagi menyokong dakwaan republik itu bahawa ketiga-tiga pulau tersebut adalah milik mereka sejak tahun 1851.
Hujah-hujah tersebut ialah Pulau Batu Putih terra nullius (tiada pemilik), justeru kehadiran British di situ pada tahun 1847 untuk membina Rumah Api Horsburgh serta tindak-tanduknya sehingga tahun 1851 jelas menunjukkan British mempunyai hak kedaulatan di pulau itu.
Malaysia dalam hujahnya mendakwa, Pulau Batu Putih adalah sebahagian daripada Kesultanan Johor, justeru ia merupakan pemilik asal pulau tersebut.
Keduanya, Koh merumuskan bahawa, di antara tahun 1847 hingga 1851, British tanpa perlu mendapatkan kebenaran daripada mana-mana pihak menyempurnakan pembinaan rumah api di Pulau Batu Putih.
Bagaimanapun, bagi dakwaan itu, Malaysia baik dalam memorialnya atau ketika hujah lisan membangkitkan tentang surat keizinan oleh Sultan dan Temenggung kepada British berhubung pembinaan rumah api.
Hujah ketiga Singapura seperti yang dibangkitkan oleh Koh ialah sepanjang tahun 1847 dan 1851, British telah mendapatkan hak kedaulatan di Pulau Batu Putih berdasarkan;
i) Niat untuk memasukkan hak kedaulatannya dan
ii) Segala tindak-tanduk yang dijalankan di pulau tersebut.
Malaysia dalam hujahnya berulang kali menegaskan, bahawa semua tindak-tanduk British itu adalah selari dengan peranan mereka sebagai pengendali Rumah Api Horsburgh dan ia tidak lebih daripada itu.
Koh kemudian membangkitkan hujah keempat iaitu sepanjang tempoh 130 tahun (1847-1979), kedaulatan Singapura ke atas pulau itu dipamerkan secara terbuka dan diakui oleh pelbagai pihak dan Malaysia hanya mengeluarkan bantahan pada tahun 1979 menerusi penerbitan peta barunya.
Semasa pusingan pertama hujah lisan dan dalam memorialnya, Malaysia mempertahankan pendiriannya bahawa setiap tindak- tanduk Singapura sepanjang tempoh itu juga berkaitan dengan pengurusan rumah api semata-mata.
Ejen Singapura itu kemudian menarik perhatian mahkamah mengenai hujah kelima iaitu surat balasan Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada 21 September 1953.
Beliau menekankan tentang ayat yang tertera di dalam surat itu iaitu: “Kerajaan negeri Johor tidak menuntut hak milik ke atas Pulau Batu Putih”.
Koh mendakwa menurut undang-undang antarabangsa surat itu mengikat Malaysia dan pemangku setiausaha kerajaan negeri mempunyai kapasiti untuk menulis surat tersebut terutamanya selepas merujuk pelbagai pihak.
Malaysia dalam hujahnya mendakwa surat tersebut bertujuan menjelaskan pendirian Malaysia berhubung pemilikan Rumah Api Horsburgh dan bukannya Pulau Batu Putih.
Hujah keenam Singapura merujuk pula kepada bantahan Malaysia berhubung pengibaran panji-panji marin Singapura di Pulau Pisang pada tahun 1968 iaitu tiga tahun selepas republik itu berpisah daripada Malaysia.
Koh berhujah, republik itu menghormati hak kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Pisang dan segera bertindak menurunkan panji-panji tersebut.
Namun dalam kes Pulau Batu Putih, hujahnya, Malaysia tidak pernah menunjukkan bantahan berhubung pengibaran panji-panji marin Singapura di Rumah Api Horsburgh dan ia disifatkan sebagai mengakui kedaulatan Singapura di Pulau Batu Putih.
Malaysia dalam hujahnya mendakwa pengibaran panji-panji marin Singapura di Pulau Batu Putih menandakan bahawa republik itu berfungsi sebagai pengendali rumah api dan bukannya mengiktiraf kedaulatan ke atas pulau tersebut.
Koh menarik perhatian mahkamah mengenai hujah ketujuh iaitu enam peta Malaysia yang dikeluarkan bagi tempoh 1962 hingga 1975 yang jelas menunjukkan bahawa Pulau Batu Putih adalah milik Singapura.
“Sebaliknya Singapura tidak pernah mengeluarkan peta mengiktiraf Pulau Batu Putih adalah dalam wilayah Malaysia,” hujah Koh.
Malaysia mendakwa, Singapura tidak pernah mengeluarkan peta yang menunjukkan Pulau Batu Putih dan dua lagi bentuk maritim itu terletak di dalam wilayah mereka.
Mengenai Middle Rocks dan South Ledge, ejen Singapura itu berhujah, kedua-dua bentuk maritim itu adalah gugusan Pulau Batu Putih dari sudut kedudukannya, geologi, sejarah serta undang-undang, justeru ia tidak boleh dipisahkan.
Bagaimanapun, Malaysia berhujah bahawa, ketiga-tiga bentuk maritim itu mempunyai ciri-ciri tersendiri dan dipisahkan oleh laluan pelayaran, oleh itu ia bukan menjadi sebahagian daripada Pulau Batu Putih.
Koh kemudian berhujah mengenai pentadbiran berkesan yang dilakukan oleh Singapura di Pulau Batu Putih bagi membuktikan bahawa ia mempunyai kedaulatan ke atas pulau itu.
“Jika mahkamah menyemak, melihat pentadbiran berkesan di pulau itu, Singapura secara jelas telah membuktikan bahawa ia mempunyai kedaulatan di Pulau Batu Putih.
“Singapura faham mengapa Malaysia prihatin (berhubung pentadbiran berkesan) itu, ini kerana Malaysia tidak mempunyai sebarang aktiviti di situ,” katanya.
Hujah terakhir ejen Singapura itu merujuk kepada kenyataan bahawa republik itu akan terus berperanan sebagai pengendali Rumah Api Horsburgh jika keputusan memihak kepada Malaysia.
Beliau merumuskan bahawa, kenyataan seumpama itu adalah satu percubaan oleh Malaysia untuk mengubah susunan undang-undang yang telah berlangsung selama 150 tahun.
Di akhir penggulungannya, Koh berhujah, Singapura terus menjalankan tindak-tanduk di Pulau Batu Putih dan perairannya secara terbuka sambil mendakwa Malaysia tidak pernah menyuarakan sebarang bantahan.
“Surat Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dan peta-peta yang dikeluarkan oleh Malaysia mengukuhkan lagi gambaran keseluruhan ini.
“Tidak ragu-ragu lagi Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge milik Singapura,” hujahnya.
Persidangan bersambung Khamis ini dengan pasukan Malaysia mengemukakan hujah-hujah pada pusingan kedua hujah lisan - Utusan Malaysia
Posted by
9T9
at
2:44 PM
0
comments
Labels: Hujah, ICJ, Pedra Branca, Utusan Malaysia
Tuesday, November 20, 2007
Integriti Singapura terjejas – Jayakumar
THE HAGUE, Belanda 19 Nov. – Singapura hari ini memulakan pusingan kedua hujah lisan kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge dengan mendakwa Malaysia telah memburuk-burukkan republik itu menerusi siri tuduhan yang boleh menjejaskan integriti negara berkenaan.
Timbalan Perdana Menterinya, S. Jayakumar menyenaraikan hujah-hujah Malaysia sepanjang pusingan pertama hujah lisan minggu lepas yang didakwa oleh Singapura sebagai ‘tuduhan tidak berasas’ dan bertujuan mempengaruhi mahkamah.
“Kami terkejut dan kesal dengan tindakan Malaysia membuat siri tuduhan terhadap Singapura.
“Tuduhan-tuduhan itu jika tidak dipatahkan akan mencabar integriti Singapura dan akan menarik perhatian pemikiran para hakim bahawa akan wujud kesan yang amat dahsyat jika keputusan pertikaian ini memihak kepada Singapura,” hujah beliau.
Jayakumar berhujah di hadapan Naib Presiden Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh serta 15 hakim lain.
Jayakumar berkata, ‘tuduhan’ pertama Malaysia ialah dakwaan bahawa Singapura menyembunyikan surat Gabenor Butterworth kepada Sultan Ali dan Temenggung Johor pada tahun 1844 bagi memohon kebenaran membina rumah api.
Peguam Malaysia, Prof. Sir Elihu Lauterpacht dalam hujah lisannya membangkitkan rasa hairan beliau mengenai ketiadaan surat tersebut sambil tidak menolak kemungkinan ia (surat itu) adalah dalam simpanan Singapura dan telah disembunyikan daripada pengetahuan mahkamah.
Jayakumar berhujah, satu kenyataan telah dikeluarkan kepada mahkamah selepas kedua-dua pihak gagal menemui surat tersebut iaitu Singapura tidak mempunyai surat itu dan telah mencari bertahun-tahun di pelbagai arkib tetapi gagal menemuinya.
“Telah diketahui umum bahawa simpanan arkib Singapura tidak lengkap, malah Singapura dalam hujah bertulisnya telah menjelaskan mengapa rekod-rekodnya tidak lengkap.
“Sebab itu Singapura telah bertanyakan kepada kerajaan negeri Johor jika mereka mempunyai salinan surat yang berkaitan dengan Pedra Branca (Pulau Batu Putih),” katanya.
Beliau mendakwa, adalah tidak benar apabila Malaysia mendakwa Singapura tidak menjawab pertanyaan (berhubung surat tersebut) sebaliknya republik itu telah berbuat demikian menerusi penghantaran nota oleh Pesuruhjaya Tingginya di Kuala Lumpur pada tahun 1994.
Jayakumar kemudian membangkitkan persoalan ini: “Mengapa Malaysia mengatakan bahawa ia (surat itu) ada di dalam arkib Singapura?
“Surat-surat tersebut ditulis kepada Sultan Ali dan Temenggung Johor, bukankah logik jika surat asal itu berada dalam simpanan Johor? Singapura bersetuju bahawa ia mungkin begitu.”
Jayakumar kemudian merujuk perkara kedua yang disifatkan sebagai hujah Malaysia bahawa tuntutan Singapura itu mengganggu persetujuan yang telah dicapai antara Britsih dan Johor sejak lama dulu.
Beliau mendakwa, hujah tersebut hanyalah cubaan Malaysia untuk menarik perhatian mahkamah bahawa Malaysia adalah mangsa (keadaan itu).
Hakikatnya, dakwa Singapura, Malaysia yang cuba bertindak mengubah status quo apabila secara tiba-tiba menuntut hak ke atas Pulau Batu Putih pada tahun 1974.
Pada tahun tersebut Malaysia mengeluarkan peta baru yang secara jelas menunjukkan Pulau Batu Putih adalah termasuk dalam perairan negara.
Jayakumar mendakwa, pada 20 Disember 1979, Malaysia telah menulis surat kepada semua misi luar negaranya bahawa peta tahun 1979 mempunyai kesan kepada Thailand, Vietnam, Brunei, Singapura, Indonesia, Filipina dan China.
Selain itu, beliau turut merujuk kepada kenyataan Duta Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad yang mengetuai delegasi Malaysia bahawa jika keputusan mahkamah memihak kepada Singapura, ia akan menjejaskan kestabilan hubungan antara Malaysia dan Indonesia.
“Ini merupakan satu lagi cubaan Malaysia untuk mempengaruhi mahkamah tanpa sebarang asas,” katanya.
Beliau juga menyentuh hujah Abdul Kadir mengenai hasrat republik itu untuk melakukan penambakan laut di perairan Pulau Batu Putih serta memperluaskan kuasa maritimnya di Selat Singapura.
Malaysia juga berhujah, hasrat Singapura itu berpotensi untuk memberi kesan kepada alam sekitar, pelayaran dan keselamatan perairan.
Jayakumar menyifatkan hujah Malaysia itu sebagai spekulasi dan hujah bahawa Singapura ingin menyerlahkan kuasa ketenteraannya di perairan tersebut juga sebagai tidak berasas.
Beliau mendakwa, ‘tuduhan’ mengenai penambakan laut oleh Malaysia bertujuan menakut-nakutkan.
Kedudukan Singapura sebagai pelabuhan utama, dakwa beliau, bergantung kepada kelancaran amalan-amalan maritim termasuk alam sekitar dan keselamatan pelayaran dan perairan di Selat Singapura.
Mengenai hujah Malaysia bahawa Singapura menghantar kapal tentera lautnya di Pulau Batu Putih selepas tarikh penting iaitu selepas tahun 1980, Jayakumar mendakwa, sejak tahun 1975 Tentera Laut British yang berpusat di Singapura telah melakukan rondaan keselamatan di perairan tersebut.
Mengenai hujah bahawa Singapura tidak membenarkan nelayan-nelayan Johor mendekati perairan Pulau Batu Putih, beliau mendakwa, republik itu tidak pernah menangkap nelayan Malaysia.
Beliau juga menyentuh mengenai kenyataan Abdul Kadir bahawa Malaysia sentiasa menghormati Singapura sebagai pengendali rumah Api Horsburgh dan akan terus berbuat demikian.
“Adalah tidak perlu dan sesungguhnya tiada asas kepada Malaysia untuk berbuat demikian (mengeluarkan kenyataan seumpama itu).
“Hak Singapura berkaitan Pulau Batu Putih adalah mengenai kedaulatan ke atas pulau itu dan bukan hanya sebagai pengendali rumah api malah aktiviti Singapura di situ turut diiktiraf oleh Malaysia sehingga Disember 1979,” dakwa Jayakumar.
Persidangan bersambung esok - Utusan Malaysia
Posted by
9T9
at
5:11 PM
0
comments
Labels: Hujah, ICJ, Media, Pedra Branca, Utusan Malaysia
Monday, November 19, 2007
Penggulungan hujah bermula
THE HAGUE, Belanda 18 Nov. – Pasukan Malaysia dan Singapura akan menggulung hujah lisan masing-masing bermula esok pada pusingan kedua hujah lisan kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini.
Kedua-dua pasukan diberi dua hari untuk mempertahankan tuntutan ke atas ketiga-tiga bentuk maritim itu selepas pusingan pertama yang berlangsung selama lapan hari berakhir Jumaat lalu.
Singapura akan memulakan hujah lisan serta menggulung kes mereka bermula esok dan Selasa manakala pasukan Malaysia akan menyempurnakan gilirannya pada Khamis dan Jumaat.
Persidangan akan berlangsung di hadapan Naib Pengerusi ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh yang mendengar kes itu bersama 15 hakim lain.
Keputusan tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge akan diputuskan enam bulan lagi.
Duta Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad mengetuai delegasi Malaysia yang turut terdiri daripada Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Barisan peguam yang akan mempertahankan pendirian Malaysia terdiri daripada Profesor Elihu Lauterpacht, Profesor James Crawford, Profesor Nicolas Jan Schrijver, Profesor Marcelo G. Kohen dan Penelope Nevil.
Malaysia berpegang kepada pendirian bahawa ketiga-tiga pulau itu miliknya berdasarkan hujah-hujah bahawa kesemua bentuk maritim itu telah menjadi sebahagian daripada empayar kesultanan Johor sejak tahun 1511 lagi.
Kedaulatan ke atas pulau-pulau tersebut juga tidak terjejas selepas Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 atau selepas British mendirikan Rumah Api Horsburgh di Pulau Batu Putih pada tahun 1847.
Hujah Malaysia dikuatkan lagi dengan fakta bahawa British membina rumah api itu dengan keizinan Sultan serta Temenggung Johor dan ia tidak pernah menzahirkan niat untuk mendapatkan hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih.
Tindak-tanduk British sebagai pengendali Rumah Api Horsburgh amat jelas dan ia kemudian diteruskan oleh Singapura di bawah Sistem Rangkaian Rumah Api Negeri-Negeri Selat.
Malaysia juga akan mempertahankan hujah bahawa Singapura menerusi tindak-tanduknya tidak pernah menunjukkan bahawa ia mempunyai hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih sehingga tercetus pertikaian pada tahun 1980.
Hujah itu dikuatkan lagi dengan fakta pemetaan apabila tiada satu pun peta Singapura yang dikeluarkan sebelum tahun 1995 menunjukkan bahawa Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge termasuk dalam wilayah mereka.
Keadaan itu amat bertentangan dengan dakwaan Singapura bahawa ia mempunyai hak kedaulatan di situ sejak tahun 1851.
Malaysia juga akan meneruskan hujah bahawa ketiga-tiga pulau itu sentiasa menjadi miliknya. Dalam kes perairan Pulau Batu Putih, ia sentiasa digunakan oleh nelayan di Johor untuk menangkap ikan dan Tentera Laut Diraja Malaysia turut melakukan rondaan di perairan berkenaan.
Amalan persempadanan oleh Malaysia, Singapura dan negara-negara di Selat Singapura serta Laut China Selatan juga sejajar dengan kedaulatan negara ke atas Pulau Batu Putih.
Malaysia juga akan meneruskan hujah bahawa Middle Rocks dan South Ledge tidak berangkai dengan Pulau Batu Putih seperti yang didakwa oleh Singapura sebaliknya ketiga-tiga bentuk maritim itu mempunyai karakter geologi dan geomorfologi yang berbeza - Utusan Malaysia
Posted by
9T9
at
2:19 PM
0
comments
Labels: Batu Putih, Hujah, ICJ, Media, Ulasan
Sunday, November 18, 2007
Misi pertahan hak Malaysia
SELASA lalu, galeri awam di tingkat atas bilik persidangan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge agak sesak berbanding minggu sebelumnya.
Wajah-wajah yang hadir begitu bersemangat. Ramai juga yang hadir adalah muka-muka baru yang tidak kelihatan semasa Singapura memulakan pusingan pertama hujah lisan sepanjang minggu lepas.
Mereka mewakili pelbagai agensi dan juga orang perseorangan yang datang untuk memberi sokongan moral kepada delegasi Malaysia pada hari pertama pusingan pertama hujah lisan bagi mempertahankan kedaulatan negara ke atas ketiga-tiga pulau itu.
Selepas empat hari ‘diasak’ dengan hujah-hujah lisan oleh Singapura yang hanya sedar kononnya mereka berhak ke atas ketiga-tiga pulau itu 17 tahun lalu, delegasi Malaysia diketuai Duta Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad tampil cergas.
Kelihatan Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin ringkas tetapi anggun; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan barisan peguam hebat yang terdiri daripada Sir Elihu Lauterpacht, Profesor James Crawford, Profesor Nicolaas Jan Schrijver, Profesor Marcelo G. Kohen dan peguam muda jelita Penelope Nevill bersedia untuk berjuang.
Manakala ‘orang di belakang tabir’ yang bersengkang mata membuat persiapan kes setiap hari seperti Abd. Rahim Hussin, Raja Aznam Nazrin, Kapten Sahak Omar (sekadar menyenaraikan beberapa nama), para penyelidik dari Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Pemetaan dan Ukur menduduki barisan kedua.
Dalam ucapan pembukaannya, Abdul Kadir yang bertindak sebagai ejen Malaysia dengan nada tegas, padat dan ringkas menegaskan pendirian negara bahawa Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge selama-lamanya milik Malaysia.
Beliau secara ringkas memperkatakan satu per satu perihal Pulau Batu Putih bermula dari sudut sejarah iaitu sebelum tahun 1847 lagi iaitu pulau itu bukan terra nullius (tiada pemilik) seperti yang dihujahkan oleh Singapura.
Abdul Kadir tidak mengulas panjang kerana barisan peguam akan memperincikan siri perjanjian, kehadiran British di Pulau Batu Putih, Sistem Rangkaian Rumah Api Negeri-Negeri Selat dan tindak-tanduk Singapura sebagai pengendali rumah api di pulau itu.
Beliau tanpa ragu-ragu menyelongkar motif utama Singapura menuntut ketiga-tiga bentuk maritim itu dengan berselindung di sebalik fungsi mereka hanya sebagai ‘penjaga’ rumah api yang dinamakan Rumah Api Horsburgh.
Katanya, Singapura mempunyai polisi penambakan laut yang aktif dan tuntutan di ICJ itu tidak mustahil ada kaitan dengan cita-cita republik itu untuk meluaskan pengaruh maritimnya di selat yang penting itu.
Bagaikan dirancang pada hari Malaysia memulakan hujah iaitu pukul 10 pagi waktu tempatan (5 petang waktu Malaysia), akhbar Straits Times Singapura menyiarkan satu artikel memperincikan satu per satu mengapa rumah api itu penting bagi republik itu.
Ucapan Abdul Kadir (tanpa dirancang) seolah-olah menjawab perincian artikel tersebut – Malaysia menghormati fungsi Singapura sebagai pengendali Rumah Api Horsburgh dan akan terus berbuat demikian.
Dalam erti kata yang lain, bukan rumah api yang dibina di atas Pulau Batu Putih menjadi ‘subjek utama’ pertikaian tetapi kedaulatan pulau tersebut yang menjadi keutamaan bagi Malaysia.
Sebab itu, Abdul Kadir, bertegas bahawa Malaysia bukan menuntut hak kedaulatan ke atas pulau seluas padang bola itu sebaliknya mahu mahkamah mengesahkan semula bahawa ia sememangnya milik negara.
Yang menuntut adalah Singapura manakala Malaysia mahu mengekalkan kedaulatannya di Pulau Batu Putih untuk memastikan ia (pulau tersebut) kelak tidak dijadikan alat oleh republik itu untuk mengeruhkan hubungan serantau.
Kebimbangan Malaysia dinyatakan dengan jelas oleh Abdul Kadir yang berbunyi: “Saya ingin menjelaskan satu perkara. Masalah kami (Malaysia) dengan Singapura ialah kehadiran ketenteraannya di sebuah pulau milik Johor yang terletak di laluan masuk di timur Selat Singapura.
“Kami tidak mempunyai masalah dengan Singapura sebagai pengendali Rumah Api Horsburgh. Malaysia ingin mengekalkan keadaan yang stabil dan aman damai di laluan masuk ke Laut China Selatan. Singapura yang menunggu-nunggu untuk menukar keadaan ini.”
Noor Farida mengambil tugas kedua, membongkar sejarah sebelum tahun 1847 bagaimana rapatnya hubungan Pulau Batu Putih dengan Orang Laut dan nelayan-nelayan tempatan.
Beliau juga meneroka nama Pulau Batu Putih yang dikenali begitu kerana najis burung yang menutupi pulau batu itu, bahasa Portugisnya Pedra Branca turut membawa makna yang sama.
Manakala saudagar Cina memanggil pulau itu Pia Chiao seperti yang direkodkan dalam arahan dan carta pelayaran Wubei Zhi pada tahun 1621, di kalangan pedagang Perancis ia dikenali sebaai Pierre Blanche.
“Setiap orang memanggilnya batu putih dalam bahasa masing-masing. Adalah tidak masuk akal bagi Singapura untuk mengatakan bahawa nama Pulau Batu Putih hanya muncul baru-baru ini di peta rantau ini dan adalah nama yang (Malaysia) rujuk hari ini,” katanya.
Duta Malaysia ke Belanda itu kemudian menghuraikan satu per satu bukti berupa catatan bertulis termasuk yang tersiar dalam Singapore Free Press dan tertera di peta Johor pada tahun 1928.
Kemudian Peguam Negara tampil membangkitkan kegagalan Singapura mengemukakan sebarang bukti berupa dokumen undang-undang untuk membuktikan bahawa mereka adalah tuan Pulau Batu Putih.
Hujah Abdul Gani tidak meleret sebaliknya terus kepada fakta mengenai tarikh penting (bermulanya pertikaian) iaitu pada tahun 1980 – sebelum daripada itu tiada sebarang bantahan oleh Singapura berhubung dokumen dan peta yang menunjukkan bahawa Pulau Batu Putih milik Malaysia.
Singapura, menurut beliau, langsung tidak menghiraukan tarikh penting itu sebaliknya secara lepas laku terus menjalankan pelbagai aktiviti di Pulau Batu Putih sedangkan seperti yang diputuskan oleh ICJ dalam kes Ligitan dan Sipadan:
“Tindak-tanduk selepas tarikh penting tidak akan dikira, kecuali jika tindakan seumpama itu berupa kesinambungan tindak-tanduk sebelumnya dan bukannya bertujuan mengukuhkan kedudukan perundangan pihak yang bergantung kepadanya.”
Sememangnya hujah-hujah Malaysia sepanjang empat hari berkisar kepada bukti-bukti penting yang menunjukkan bahawa ketiga-tiga pulau itu adalah miliknya. Siri dokumen berupa perjanjian, peta-peta dan fakta sejarah menjawab setiap dakwaan yang dikemukakan oleh Singapura.
Satu per satu hujah Singapura dipatahkan oleh barisan peguam Malaysia bermula daripada bukti sejarah sehingga kepada kegagalan republik itu mengemukakan peta-petanya yang boleh menunjukkan Pulau Batu Putih adalah milik mereka.
Sepanjang pusingan pertama hujah lisannya, Singapura bersandarkan kepada enam peta Malaysia (yang mempunyai penafian (disclaimer) bahawa ia tidak boleh dijadikan bukti untuk urusan persempadanan wilayah) untuk menyokong dakwaannya.
Sedangkan republik itu sendiri tidak pernah mengeluarkan peta sendiri kecuali pada tahun 1995 iaitu 15 tahun selepas tuntutan ke atas Pulau Batu Putih dilancarkan. Secara logiknya mengapa tiada satu pun peta yang dikeluarkan oleh negara yang mendakwa mempunyai kedaulatan ke atas pulau tersebut sejak tahun 1851 lagi.
Teori Profesor Lauterpacht iaitu setiap angka yang didarab dengan kosong jawapannya kosong menarik perhatian mahkamah. Analoginya mudah. Jika Singapura tidak mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, apa pun yang dilakukan ke atas pulau itu tidak akan membawa sebarang makna.
Singapura tidak boleh menjadikan segala tindak-tanduknya berhubung penyelenggaraan rumah api di pulau itu sebagai bukti bahawa ia mempunyai kedaulatan di situ lantaran teori yang digunakan itu tidak memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki oleh undang-undang antarabanga.
Profesor Crawford ketika merumuskan pusingan pertama hujah lisan Malaysia meringkaskan hujah-hujah delegasi negara.
Jika: Pulau Batu Putih bukan terra nullius pada tahun 1847; dan pulau itu tidak termasuk dalam pengaruh Belanda di bawah Perjanjian Inggeris-Belanda; ketika itu Pulau Batu Putih adalah sebahagian daripada Johor.
Dan jika: Pulau Batu Putih sebahagian daripada Johor pada tahun 1847; dan keizinan Johor untuk pembinaan rumah api termasuk di Pulau Batu Putih; ketika itu pentadbiran British ke atas rumah api di situ bukan prilaku a titre de souverain (menunjukkan ia mempunyai kedaulatan di situ).
Kedua-dua kesimpulan itu, menurut Crawford, menunjukkan bahawa British membina Rumah Api Horsburgh di wilayah Johor dengan kebenaran Johor maka kes Singapura menjadi sia-sia.
Dengan cara yang amat ringkas, Malaysia menyimpulkan tugas empat hari dengan soalan ini: “Mengapa Malaysia perlu membuat apa-apa? Sultan dan Temenggong telah mengizinkan pembinaan dan penyelenggaraan (rumah api). Anda telah mendengar ejen Malaysia berkata, keizinan ini berterusan dan akan diteruskan.”
Pusingan kedua hujah lisan dan penggulungan bagi Malaysia dan Singapura akan bermula esok. Singapura akan memulakan pusingan kedua pada Isnin dan Selasa manakala Malaysia bakal menyempurnakan tanggungjawab tersebut pada Khamis dan Jumaat - Utusan Malaysia
Posted by
9T9
at
2:27 PM
0
comments
Labels: Artikel, Hujah, ICJ, Utusan Malaysia