Sunday, December 29, 2002

Pengalaman diusir Polis Pengawal Pantai Singapura

Oleh Bazli Abdul Rahman

`MELAMPAU'. Itulah perkataan paling sesuai bagi menggambarkan sikap Polis Pengawal Pantai Singapura (PPPS) yang mengusir bot Polis Marin Malaysia kira-kira empat batu nautika dari perairan Pulau Batu Putih.

Tindakan menghalau bot PA41 Polis Marin Wilayah Selatan pada 24 Disember lalu itu, memperlihatkan Singapura begitu berani seolah-olah pulau tersebut miliknya.

Pengusiran tersebut dibuat melalui alat pembesar suara apabila seorang anggota berpakaian seragam dari kapal PPPS itu dengan lantang menegaskan: ``Anda telah memasuki perairan Singapura. Sila keluar sekarang''.

Jika arahan itu tidak dipatuhi, mungkin tembakan amaran senjata bermula dari kapal republik berkenaan.

Anak kapal PA41 yang tidak mahu kejadian buruk, meninggalkan perairan itu terutama setelah sebuah kapal perang Tentera Laut Singapura turut menghala ke bot polis marin yang penulis naiki pada hari berkenaan.

Kejadian itu memang di luar jangkaan, kerana ketika ini tuntutan bertindih antara Malaysia dan Singapura belum diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Sekalipun Singapura mendakwa Pulau Batu Putih miliknya, namun tidak wajar tindakan mengusir Polis Marin Malaysia dilakukan mengikut seleranya.

Apa tidaknya, berdasarkan filem di televisyen atau pawagam, arahan sedemikian hanya diberi oleh pihak berkuasa kepada pendatang haram.

Namun suasana ketika itu cukup membimbangkan, kerana selain kapal PPPS, kapal perang Tentera Laut Singapura membuatkan hati penulis dan wartawan lain lebih kecut kerana ia dilengkapi dengan pelbagai jenis meriam pasukan tempur.

Walaupun ombak Laut China Selatan ketika itu bergelora setinggi kira-kira 1.5 hingga dua meter, tetapi gelora di hati lebih terasa.

Apa tidaknya, jika satu das tembakan peluru dilepaskan mungkin ada yang cedera parah dan maut.

Ini kerana mengikut sifir berperang, tembakan dari sebuah kapal ke kapal lain bukan sebutir peluru seperti menembak tupai. Peluru dari kapal bersifat bom.

Mengikut sifir perang di laut, kapal musuh mesti ditenggelamkan terlebih dahulu kerana jika tidak musuh akan membalas serangan dan menenggelamkan kapal saingannya itu.

Pada hari tersebut, jika satu das tembakan meriam dihalakan ke bot PA41 Polis Marin Wilayah Selatan itu, bermakna kapal milik Malaysia itu akan karam manakala semua penumpangnya entah hidup entah terkorban.

Peluang untuk menyelamatkan diri memang ada. Itu pun jika bot getah dan jaket keselamatan sempat diambil atau tidak rosak.

Strategik

Pada waktu itu, hati penulis hanya mampu membisik ``Ya Allah, selamatkan kami.''

Semua itu hanya kebimbangan kerana pengalaman pertama berhadapan dengan keadaan sedemikian. Bot PA41 Polis Marin Wilayah akhirnya meninggalkan perairan pulau tersebut.

Waktu itu juga, pening kerana mabuk laut datang semula. Sebentar tadi pening itu hilang mungkin kerana benak fikiran tertumpu kepada rasa takut dan cemas. Sesungguhnya sikap riak Singapura mendahului insiden mengusir bot PA41 Polis Marin Wilayah Selatan apabila melakukan kerja-kerja pembinaan di pulau tersebut, termasuk mendirikan sebuah bangunan dua tingkat dan tempat pendaratan helikopter.

Di Pulau Batu Putih itu juga terdapat kuaters dua tingkat yang asalnya hanya setingkat beberapa tahun lalu untuk pekerja dari republik tersebut.

Di situ juga diwujudkan menara radar untuk pengawasan kapal.

Sekalipun pulau itu kecil, yang ada hanya batu, tanpa sebarang pokok dan tidak mempunyai kepentingan ekonomi, termasuk sektor pelancongan, namun ia mempunyai kepentingan dari segi keselamatan dan maritim kerana terletak di laluan antarabangsa yang sentiasa sibuk dengan kapal dagang.

Pulau Batu Putih merupakan lokasi yang cukup strategik terutama untuk mengawasi laluan kapal-kapal di Laut China Selatan.

Pulau kontroversi yang terletak kira-kira 20 minit perjalanan dengan bot laju dari Teluk Ramunia, Kota Tinggi itu adalah milik Malaysia berdasarkan sejarah, lokasi dan pemetaan.

Pulau seluas 0.2 hektar itu terletak lapan batu nautika dari Pengerang dan 40 batu nautika ke timur Singapura. Pada mulanya ia hanya menempatkan rumah api untuk panduan pelayaran.

Berdasarkan sejarah, penyerahan Pulau Singapura pada tahun 1842 kepada Inggeris ialah sebuah pulau, laut dan selat yang terletak dalam lingkungan 10 batu nautika dari pesisir Pulau Singapura.

Keperluan rumah api di Pulau Batu Putih pula timbul hasil kewujudan Colony of the Straits Settlement selepas pembukaan Melaka, Pulau Pinang dan Singapura.

Pembukaan rumah api itu dicadangkan oleh syarikat insurans, pedagang dan pemilik kapal kerana laluan berkenaan berbahaya dari segi ancaman lanun dan sebagainya.

Rumah api di Pulau Batu Putih dibina pada tahun 1851 hasil usaha pedagang yang mengutip tol dan dana yang diperoleh daripada mereka yang menggunakan laluan itu.

Gabenor Colony of the Straits Settlement yang tinggal di Singapura dilantik sebagai pentadbir rumah api dan menguruskannya.

Pulau Batu Putih pada mulanya tidak menjadi pilihan untuk pembinaan rumah api. Dua pulau yang menjadi pilihan pada masa itu ialah Tree Island dan Barns Island yang menjadi milik Indonesia tetapi ia menghadapi masalah mendapatkan keizinan Sultan Riau.

Berikutan itu, Pulau Batu Putih menjadi perhatian dan ia menjadi kenyataan apabila Temenggung Johor, Temenggung Abdul Rahman telah memberikan keizinan kepada pihak terlibat untuk membina rumah api.

Mungkin Singapura juga alpa mengenai sejarah kerana satu laporan oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) pada 1990 menyebut, kajian mengenai status Pulau Batu Putih menunjukkan terdapat bukti kukuh bahawa ia milik mutlak Malaysia.

Ini kerana Kesultanan Johor (sekarang dalam Malaysia) mempunyai hak kedaulatan yang sah terhadap Pulau Batu Putih sejak kesultanan itu diasaskan pada tahun 1513.

Kesultanan Johor-Riau-Lingga itu ditubuhkan oleh Sultan Mahmud yang lari ke Johor selepas kehilangan Melaka kepada Portugis pada 1511.

Dalam tahun 1824 pula, Perjanjian Inggeris-Belanda yang dimeterai di Pulau Pangkor juga menyatakan bahawa Pulau Batu Putih berada di bawah kekuasaan British.

Disebabkan ia termasuk dalam wilayah asal empayar Johor, mengikut undang-undang antarabangsa ia milik Johor setelah peninggalan penjajahan itu.

Malah, sehingga kini tiada sebarang dokumen yang mengatakan Pulau Batu Putih diserahkan oleh Sultan Johor kepada British pada tahun 1918 selepas Johor menerima penasihat Inggeris atau selepas itu.

Singapura pula hanyalah mewarisi pentadbiran bersifat pemajakan daripada British terhadap Pulau Batu Putih untuk urusan keluar masuk kapal di Pelabuhan Singapura, bukannya mewarisi hak wilayah itu daripada British.

British sendiri meminta kebenaran daripada pihak berkuasa Johor untuk membina rumah api di Pulau Batu Putih yang kemudiannya dibuka dengan rasminya pada 1851.

Dengan ini, tiada sebarang keraguan bahawa Kesultanan Johor hanya mengizinkan Inggeris membina dan menguruskan rumah api di pulau itu dan tidak menyerahkan pulau itu kepada British.

Hari ini, pertindihan tuntutan masih berlaku, kes belum ke ICJ tetapi `negara pulau' itu telah mengawalnya seperti sudah menjadi miliknya.

Peristiwa 24 Disember menjadi bukti keangkuhan dan ia menjadi `kenangan hitam' 12 wartawan Malaysia dan kisah itu pasti kekal dalam lipatan sejarah kehidupan masing-masing - Utusan Malaysia

Pulau Batu Putih: Selesaikan secara bertamadun

Oleh Prof. Firdaus Abdullah

Batu putih ombak beralun
Pantai Johor nyiur melambai
Tanda manusia menjunjung tamadun
Sengketa selesai secara damai


Pertama sekali saya ingin mengingatkan diri saya dan diri orang-orang siuman yang lain yang sudi diberi peringatan bahawa kejayaan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menyelesaikan konflik Malaysia-Indonesia mengenai pemilikan Pulau Sipadan seminggu dua yang lalu, adalah satu kejayaan tamadun manusia.

Manusia yang bertamadun menyelesaikan sengketa dan perbezaan pendapat dengan menggunakan ``otak'' dan pemikiran yang rasional. Manusia yang tidak bertamadun akan menggunakan ``otot'' atau kekuatan senjata dan keganasan.

Tentu sahaja pemimpin dan rakyat Malaysia gembira kerana status pemilikan negara ini ke atas Pulau Sipadan telah disahkan oleh keputusan ICJ tersebut dan dengan itu sekali gus diiktiraf pula oleh masyarakat bertamadun antara bangsa. Indonesia yang sebelumnya turut menuntut hak pemilikan ke atas pulau tersebut juga menerima keputusan penghakiman ICJ itu tanpa sebarang bantahan.

Mungkin Indonesia agak kecewa dengan keputusan penghakiman ICJ itu, tetapi keputusan itu diterimanya dengan dada yang lapang dan sikap yang matang. Malaysia yang gembira dengan keputusan tersebut tidak pula memperlihatkan kegembiraannya secara berlebih-lebihan. Tetapi, pada hemat saya, yang lebih menggembirakan ialah bahawa Malaysia dan Indonesia telah berjaya menyelesaikan sengketanya secara beradab dan bertamadun, menggunakan akal dan fikiran yang rasional.

Dalam kebimbangan dan keprihatinan kita melihat wujudnya urang gilo baladiang dalam masyarakat antarabangsa sekarang, kita masih dapat menarik nafas lega kerana di tengah-tengah kegilaan itu masih ada kumpulan orang yang berfikiran waras seperti dibayangkan oleh penyelesaian sengketa pulau Sipadan melalui penghakiman ICJ itu. ( Urang gilo baladiang adalah pepatah Minangkabau yang bermaksud orang gila yang sedang memegang parang atau golok).

Dalam hubungan ini negara-negara ASEAN, khususnya Malaysia patut berbangga kerana terdahulu daripada sengketa pulau Sipadan itu, Malaysia juga telah berjaya menyelesaikan sengketanya dengan satu negara jiran yang lain secara damai dan bertamadun. Sengketa yang dimaksudkan ialah isu garis sempadan atau perbatasan negara dengan Thailand.

Berkat semangat kejiranan dan tradisi muhibah yang sudah tersemai antara kedua-dua negara sebagai keluarga ASEAN, Malaysia dan Thailand telah mencapai persetujuan untuk menetapkan garis sempadan yang membatasi kedua-dua negara yang tidak kurang 300 kilometer panjangnya di atas daratan. Khabarnya yang masih lagi dalam perundingan ialah satu kawasan darat dekat Jeli dan kawasan maritim (perairan) di hujung timur laut Kelantan.

Ada dua perkara yang cukup menarik mengenai semangat kejiranan atau sejenis ``tamadun/tradisi ASEAN'' yang ditunjukkan oleh Malaysia dan Thailand dalam menyelesaikan isu sempadan kedua-dua negara. Pertama, kedua-dua negara menyelesaikan pertikaian secara dua hala (bilateral), tanpa penglibatan pihak ketiga. Ertinya tak perlu dirujuk kepada ICJ.

Kedua, walaupun belum berhasil mencapai persetujuan mengenai garis sempadan di kawasan perairan (laut) kedua-dua negara telah bersetuju untuk membangunkan bersama projek-projek maritim di kawasan perairan yang sempadannya masih menjadi pertikaian itu. Saya anggap ini satu lagi contoh kematangan hubungan internasional yang sihat dan satu manifestasi tamadun ASEAN yang patut menjadi teladan bagi mereka yang bersengketa atau bagi mereka yang mempunyai kecenderungan menggunakan kekerasan dan senjata.

Sehubungan itulah saya ingin membuat seruan kepada pemimpin-pemimpin negara di rantau jauh dan dekat. Khususnya seruan ini ditujukan kepada Presiden Amerika Syarikat yang hendak mendera Iraq, kepada Tony Blair yang juga berlagak bongkak dan kepada John Howard yang hendak menjadi bayang-bayang George Bush di sebelah Timur, dan kepada Israel yang tak henti-hentinya berlaku zalim kepada rakyat Palestin. Seruan kepada mereka: Hargailah nyawa manusia dan berhentilah bersifat talam dua muka. Teladanilah tamadun kami orang-orang Asia.

Lebih khusus lagi seruan ini ditujukan kepada Singapura dan tokoh-tokoh pemimpinnya yang berkenaan yang nampaknya begitu berselera untuk memiliki Pulau Batu Putih sedangkan Malaysia juga turut mendakwa bahawa pulau itu adalah haknya yang sahih. Demi memelihara keamanan serantau dan demi menghargai hubungan internasional yang bertamadun, sangatlah penting bagi Malaysia dan Singapura menyelesaikan sengketa Pulau Batu Putih itu secara aman, dengan fikiran yang siuman dan akal yang rasional.

Untuk tujuan itu cara yang sebaik-baiknya ialah dengan merujukkan pertikaian kedua-dua negara kepada ICJ. Itulah cara penyelesaian yang bertamadun yang tidak memerlukan gertak-menggertak dan tidak memerlukan tindakan provokasi.

Pertikaian Malaysia-Singapura mengenai Pulau Batu Putih yang sebenarnya telah berlangsung selama lebih sepuluh tahun. Masing-masing mendakwa sebagai pemilik yang sah pulau tersebut dengan alasan-alasan tersendiri.

Status pemilikan yang sah ke atas pulau itu mula menjadi isu dan dipertikaikan apabila pihak berkuasa Singapura yang menyelenggarakan sebuah rumah api di sana mulai mengganggu kehidupan nelayan Malaysia yang menangkap ikan di sekitar pulau itu.

Selama ini kerajaan Malaysia menganggap kehadiran rumah api di pulau tersebut sebagai keperluan awam demi keselamatan bersama, terutama keselamatan kapal-kapal yang berulang alik ke pelabuhan Singapura. Penyelenggaraan Singapura ke atas rumah api tersebut tidak semestinya memberi Singapura hak untuk memiliki pulau tersebut.

Dari segi sejarah pulau itu adalah sebahagian daripada wilayah kesultanan atau empayar Johor dan tidak pernah diserahkan kepada mana-mana kuasa asing seperti beberapa wilayah tertentu yang lain. Dalam pelbagai perjanjian antara kuasa-kuasa kolonial Eropah di Semenanjung Tanah Melayu dan gugusan pulau-pulau Melayu di abad ke-l8 dan ke-19 dahulu, Pulau Batu Putih tetap utuh sebagai sebahagian daripada wilayah kesultanan Johor.

Dari segi lokasi, pulau itu lebih dekat ke pantai Johor daripada ke pulau Singapura. Demikianlah Malaysia mempunyai pelbagai alasan sejarah, perundangan dan ilmu alam untuk memperkukuh dakwaan pemilikannya ke atas pulau itu.

Tetapi Singapura mendakwa bahawa pulau itu telah menjadi miliknya yang sah semenjak tahun 1840-an. Begitu juga peranannya sebagai penyelenggara rumah api dijadikan alasan sebagai pemilik yang sah pulau itu.

Tetapi sebagaimana dalam sebarang bentuk pertikaian, masing-masing pihak mempunyai alasan dan hujah masing-masing dan mendakwa atau mengaku bahawa hujah dan alasannya sahaja yang benar. Berbeza dengan pertikaian garis sempadan negara antara Malaysia dan negara Thai, pertikaian Malaysia-Singapura mengenai pemilikan Pulau Batu Putih ini, nampaknya tidak mungkin diselesaikan dengan perundingan secara dua hala (bilateral negotiation)

Kerana itu campur tangan pihak ketiga diperlukan.

Untuk tujuan itu cara yang sebaik-baiknya ialah dengan merujukkan pertikaian kedua-dua negara kepada ICJ. Itulah cara penyelesaian yang bertamadun yang tidak memerlukan gertak-menggertak dan tidak memerlukan tindakan provokasi

Kesediaan kedua-dua belah pihak untuk merujukkan perkara itu kepada ICJ mestilah secara ikhlas dan semangat berbaik sangka (good faith), dan kesedaran bahawa walau apa pun Malaysia dan Singapura sebagai tetangga yang dalam bidang-bidang tertentu mempunyai hubungan symbiotic (saling perlu-memerlukan secara mutlak). Selain itu yang patut disedari ialah kedua-dua negara mempunyai common destiny dalam satu rantau atau wilayah geopolitik yang memaksa kedua-duanya saling bekerjasama dan bersefahaman.

Oleh kerana itu demi mempastikan kelancaran proses ICJ langkah-langkah yang boleh menjejaskan semangat ``berbaik sangka'' itu hendaklah dielakkan termasuk tindakan-tindakan provokasi yang akan mempertegang suasana.

Sudah tentu sahaja tindakan-tindakan provokasi boleh menjejaskan kelancaran proses penghakiman. Dan jika provokasi satu pihak sudah keterlaluan, pihak yang satu lagi mungkin boleh hilang sabar. Dan kata pepatah Melayu: Hendak baik seribu tahun, hendak jahat tak sempat kapas dibakar. Jika pepatah Melayu tak cukup, kita tambah dengan ungkapan Shakespeare: Unnaturual deeds do breed unnatural trouble. (Perbuatan yang sumbang sememangnya akan mengakibatkan kecelakaan yang sumbang.) Provokasi adalah satu perlakuan yang sumbang dalam usaha kita mencari penyelesaian damai.

Yang menjadi keprihatinan pihak Malaysia sekarang ialah tindakan provokasi Singapura yang menguji kesabaran rakyat Malaysia. Tetapi lebih dari itu ialah keengganan pihak Singapura untuk menandatangani dokumen bersama yang perlu diserahkan kepada ICJ agar proses penghakiman dapat dimulakan. Akhirnya, satu lagi seruan kepada Singapura, demi keamanan dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara rujuklah sengketa Pulau Batu Putih ini kepada ICJ. Itulah jalan damai yang sebaik-baiknya - Utusan Malaysia

Isu Batu Putih perlu segera ke ICJ

KUALA LUMPUR 28 Dis. - Dr. Mahathir Mohamad hari ini berkata jalan terbaik bagi menyelesaikan pertikaian mengenai hak kedaulatan Pulau Batu Putih antara Malaysia dan Singapura adalah menerusi campur tangan pihak yang berkecuali dan atas sebab itulah Malaysia mahu merujuk kes itu kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa dengan secepat mungkin.

``Kita berharap dapat membawanya ke ICJ dengan segera. Kita percaya mereka adalah orang yang paling baik mengadilinya kerana tidak terbabit secara langsung.


``Orang yang memihak tidak boleh membuat keputusan,'' katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat persiapan negara sebagai tuan rumah bagi sidang kemuncak NAM XIII yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mulai 15 hingga 28 Februari depan.

Perdana Menteri mengulangi pendirian kerajaan bahawa pulau kecil yang terletak 15 batu nautika dari Pengerang, Johor itu adalah milik Malaysia.

``Tetapi saya yakin mereka akan membantah. Mereka boleh merujuk (tuntutan) kepada ICJ... terpulang kepada pihak ketiga untuk mengadilinya,'' katanya.

Perdana Menteri berkata, pada pandangan Malaysia sepatutnya isu itu telah lama dirujukkan kepada ICJ memandangkan kedua-dua negara telah gagal menyelesaikannya melalui saluran dplomatik.

``Pada pandangan kita sepatutnya tidak berlaku kelewatan. Kita telah bersedia dan Singapura sebagai sebuah negara yang cekap, saya percaya mereka tentunya telah cukup bersedia,'' katanya.

Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar tidak menolak kemungkinan Malaysia akan menghantar nota bantahan berhubung kejadian sekumpulan wartawan Malaysia dan Polis Marin Malaysia diusir oleh pihak berkuasa Singapura ketika menghampiri Pulau Batu Putih baru-baru ini.

Beliau berkata, sehingga keputusan ICJ dibuat, Malaysia masih menganggap Pulau Batu Puteh berada dalam kawasannya dan tidak wajar bagi pihak berkuasa Singapura menghalang rakyat Malaysia sama ada Polis Marin atau nelayan daripada menghampiri pulau itu. - Bernama

Saturday, December 28, 2002

Keikhlasan Singapura bawa isu tuntutan ke ICJ diragui

KUALA LUMPUR 27 Dis. - Keikhlasan Singapura membawa tuntutan bertindih Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) diragui memandangkan republik itu belum memuktamadkan tarikh bagi memeterai persetujuan bersama melalui Perjanjian Khas.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, Malaysia sebaliknya telah mencadangkan empat atau lima tarikh sepanjang tahun ini untuk menandatangani perjanjian tersebut tetapi tidak dipersetujui oleh Singapura.

``Kita bersedia bila-bila masa, malah sudah cadangkan empat atau lima tarikh, termasuk semasa membincangkan isu air dahulu tetapi mereka tidak setuju.


``Sekarang jika mereka kata sudah sedia, sepatutnya berilah tarikh untuk kita berbuat demikian,'' ujarnya.

Beliau yang berada di luar negara berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Syed Hamid mengulas kenyataan Singapura semalam yang menyatakan sudah bersedia untuk menandatangani perjanjian khas tersebut bagi mempercepatkan penyelesaian tuntutan bertindih Pulau Batu Putih.

Isu tuntutan bertindih itu menjadi hangat selepas pendedahan Mingguan Malaysia pada Ahad lalu mengenai Singapura yang rancak meneruskan kegiatan pembinaan di pulau tersebut.

Singapura turut dikecam hebat oleh pelbagai pihak di negara ini selepas Pasukan Pengawal Pantainya menghalau polis Malaysia secara keras di perairan pulau berkenaan dua hari kemudiannya.

Syed Hamid berkata, Wisma Putra akan menghantar nota bantahan rasmi kepada Singapura mengenai tindakan Pasukan Pengawal Pantai itu secepat mungkin sekembalinya ke tanah air esok.

``Saya tidak boleh memberikan sebarang komen mengenainya sehingga saya periksa draf itu dahulu,'' katanya.

Menurut Syed Hamid, Malaysia menuntut hak ke atas pulau berkenaan atas rekod sejarah yang mencatatkan bahawa ia diiktiraf sebagai tanah jajahan Johor.

``Apa yang didakwa oleh Singapura itu bukannya hak kedaulatan ke atas pulau tersebut.

``Sebenarnya mereka diberikan hak untuk mentadbir rumah api itu sahaja,''
katanya - Utusan Malaysia

S'pura harus contohi KL, Jakarta jaga perasaan jiran

KOTA KINABALU 27 Dis. - Singapura harus lebih sensitif dan mencontohi cara Malaysia menangani pertikaian Pulau Sipadan dan Ligitan dengan Indonesia tanpa mengguris perasaan negara jiran.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Shafie Apdal berkata, apabila Pulau Sipadan dan Ligitan menjadi tuntutan bersama dan dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Malaysia tidak mengambil tindakan yang boleh menyentuh perasaan Indonesia.

Malah, katanya, Malaysia bukan sahaja menghentikan pembangunan di kedua-dua pulau itu tetapi penempatan pihak keselamatan juga dihadkan.

``Tidak ada insiden halau-menghalau negara jiran kita waktu itu bila mana mereka membuat rondaan di Sipadan dan Ligitan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kursus Pengetua dan Guru Besar Daerah Semporna di Hotel Berjaya Palace di sini hari ini.

Shafie mengulas mengenai gesaan pelbagai pihak di negara ini supaya Malaysia menimbang menempatkan kapal perang di perairan Pulau Batu Putih sebagaimana yang dilakukan oleh Singapura.

Bagaimanapun semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak akan menghantar kapal perang ke perairan pulau itu kerana ia boleh menyebabkan negara ini berperang dengan Singapura.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia mahu mengelak sebarang konfrontasi dengan negara jiran itu walaupun Singapura telah pun menempatkan kapal perangnya di perairan pulau berkenaan yang menjadi subjek tuntutan bertindih antara kedua-dua negara.

Shafie berkata, Singapura tidak mengamalkan semangat setiakawan ASEAN dan juga tidak mempunyai sensitiviti terhadap negara jiran.

Tegasnya, peperangan tidak akan membawa kebaikan kepada kedua-dua negara dan juga rantau ini kerana hanya kebaikan akan membawa banyak manfaat.

Menurut beliau, banyak langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah itu secara baik, tetapi Singapura nampaknya membuat pelbagai helah termasuk pengawalan sebelum perkara itu diselesaikan.

``Tetapi (langkah itu) tidaklah langkah untuk berperang menunjukkan mereka atau kita yang lebih kuat.

``Bukan kita tidak mampu, kita mampu jaga keselamatan dan keamanan negara kita. Bila keadaan terdesak kita tidak teragak-agak menjaga keamanan dan keselamatan kita,''
tegasnya.

Mengenai penempatan baru anggota tentera di Pulau Ligitan, Shafie berkata, perkara itu tidak perlu kerana kawalan yang sedia ada sudah mencukupi - Utusan Malaysia

Pemuda UMNO Johor akan lawat Pulau Batu Putih

JOHOR BAHRU 27 Dis. - Pergerakan Pemuda UMNO Johor akan melawat Pulau Batu Putih bagi menyaksikan sendiri pembangunan di pulau itu yang menjadi milik Malaysia.

Di samping itu, Pemuda UMNO Negeri ingin menyampaikan mesej bahawa mereka sangat prihatin masalah tersebut dan berharap dapat diselesaikan segera.

Ketuanya, Ayub Rahmat memberitahu, dengan melihat sendiri pulau tersebut akan memberi lebih kefahaman mengenainya sebelum melakukan tindakan susulan.

Beliau yang menghubungi Utusan Malaysia di sini hari ini berkata, idea rombongan itu dicetuskan pada mesyuarat Pemuda UMNO Negeri dan dipersetujui.

``Apa yang kita inginkan ialah Singapura menghentikan sebarang kerja-kerja baru di pulau tersebut sehingga Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) membuat keputusan,'' katanya.

Ditanya adakah Pemuda tidak gentar dengan tindakan polis marin Singapura, Ayub berkata pihaknya tidak akan mencetuskan sebarang anasir provok semasa lawatan.

Beliau juga berpendapat Singapura perlu memberitahu dengan jelas bilakah tarikh untuk membawa isu Pulau Batu Putih ke ICJ.

``Dalam proses itu (membawa ke ICJ) sekurang-kurangnya rakyat kita dibenarkan ke pulau itu,'' katanya.

Beliau berkata, Johor lebih terasa dalam isu tersebut kerana kedudukannya yang lebih kepada Johor serta hubungan di antara dua jiran.

``Isu ini juga jika tidak ditangani oleh pemerintah Singapura secara berhemah, ia boleh mencetuskan konflik antara rakyat Johor dan Singapura,'' jelas beliau lagi - Utusan Malaysia

Singapura perlu henti tindakan provokasi - Puteri

KUALA LUMPUR 27 Dis. - Puteri UMNO mendesak Singapura menghentikan sebarang tindakan provokasi terhadap rakyat dan agensi kerajaan negara ini mengenai isu Pulau Batu Putih.

Ketua Biro Antarabangsa Puteri, Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, kerja-kerja pembangunan di pulau tersebut juga hendaklah dihentikan sehingga keputusan pemilikan dicapai oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

``Singapura juga hendaklah mempercepatkan proses rujukan mereka ke ICJ untuk menyelesaikan isu ini,'' katanya selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Setiausaha Pertama Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Mark Neo di sini hari ini.

Menurut, isu ini tidak perlu dilengahkan lagi kerana akan mendatangkan pelbagai masalah lagi jika isu ini terus berlarutan.

Beliau menambah, dalam isu air pula, Singapura juga janganlah menimbulkan sebarang provokasi yang boleh menyebabkan ia berlanjutan terlalu lama.

Dalam pada itu, Pemuda Barisan Nasional dan Kelab Penyokong Kerajaan turut menyampaikan memorandum bantahan masing-masing Selasa lalu - Utusan Malaysia

DAP alu-alukan kenyataan PM

KUALA LUMPUR 27 Dis. - Biro Publisiti Nasional DAP mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semalam untuk tidak menggunakan sebarang kaedah yang boleh mengundang peperangan termasuk menghantar kapal perang ke perairan Pulau Batu Putih.

Setiausahanya, Gobind Singh Deo berkata, ini menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia sebuah negara yang menolak cara peperangan sebaliknya mengutamakan diplomasi dalam menyelesaikan sebarang pertikaian.

``Pendirian Malaysia jelas memberi kemenangan awal kepada kita walaupun peperangan yang sebenar di mahkamah belum bermula dan pihak Singapura patut malu dengan tindakan mereka,'' katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Dr. Mahathir semalam yang menolak cadangan Pemuda Barisan Nasional untuk menghantar kapal perang ke perairan Pulau Batu Putih kerana ia boleh mengundang kepada peperangan - Utusan Malaysia

Friday, December 27, 2002

Malaysia tak akan hantar kapal perang ke Batu Putih - PM

PUTRAJAYA 26 Dis. - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia tidak akan menghantar kapal perang ke perairan Pulau Batu Putih kerana ia boleh menyebabkan negara ini berperang dengan Singapura.

Perdana Menteri berkata, Malaysia mahu mengelak sebarang konfrontasi dengan negara jiran itu walaupun Singapura telah pun menempatkan kapal perangnya di perairan pulau berkenaan yang menjadi subjek tuntutan bertindih antara kedua-dua negara.

``Kita hendak mengelak daripada berkonfrontasi, kita bukannya hendak berperang dengan orang.

``(Tapi) kita bukannya mengalah, sebaliknya kita cuma tidak hendak cari sebab berperang,''
kata Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri majlis rumah terbuka Jabatan Perdana Menteri sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini, hari ini.

Perdana Menteri mengulas permintaan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional, Datuk Hishammuddin Tun Hussein semalam supaya kerajaan menimbang untuk menempatkan kapal perang di perairan pulau berkenaan sebagaimana yang dilakukan Singapura.

Hishammuddin menyatakan, setiap tindakan awal Singapura memerlukan tindak balas setimpal daripada Malaysia memandangkan republik tersebut menunjukkan sikapnya yang sebenar dengan mendakwa pulau itu adalah milik mereka.

Malaysia juga harus mengambil tindakan tegas supaya tidak ada lagi warga negara ini yang berdepan dengan risiko diusir menggunakan kapal perang seperti yang berlaku kepada para nelayan sebelum ini dan juga beberapa wartawan yang meninjau keadaan perairan pulau berkenaan, kelmarin.

Dalam kejadian itu, wartawan tempatan yang menaiki sebuah bot peronda Polis Marin menerima amaran lisan daripada Pasukan Pengawal Pantai Singapura supaya meninggalkan kawasan tersebut kerana didakwa ``telah memasuki perairan Singapura.''

Pulau Batu Putih di Laut China Selatan yang terletak kira-kira 64 kilometer (km) dari Singapura itu berada sejauh 12.8 km sahaja dari Teluk Rumania di Johor.

Semalam, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa Malaysia akan tetap mempertahankan Pulau Batu Putih kerana kerajaan percaya ia berada dalam wilayah negara ini.

Ahad lalu, Mingguan Malaysia mendedahkan Singapura sedang rancak meneruskan kerja-kerja pembinaan di pulau berkenaan walaupun tuntutan terhadapnya belum lagi diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Republik itu menerima pelbagai kecaman dari negara ini kerana tidak mencerminkan semangat kejiranan dengan menghalau warga Malaysia dan tidak menghormati status quo pulau berkenaan kerana meneruskan pembinaan di situ.

Mengenai dakwaan Singapura bahawa rumah api yang dikendalikannya di pulau itu merupakan bukti nyata hak miliknya, Perdana Menteri berkata, bukti itu perlu dikemukakan kepada ICJ untuk diputuskan.

Katanya, Malaysia juga hanya akan memikirkan tindakan susulan sekiranya Singapura tidak mahu memberikan persetujuan untuk membawa isu itu ke ICJ ``bila kita sampai ke masa itu.''

Ketika menjawab pertanyaan mengenai kehadiran tentera Singapura di sebuah lagi pulau milik Malaysia, iaitu Pulau Pisang, Dr. Mahathir berkata, kerajaan memberikan kebenaran kepada republik berkenaan bagi memasuki pulau tersebut.

``Yang itu kita beri kebenaran dia masuk (untuk) jaga rumah api,'' ujar Dr. Mahathir - Utusan Malaysia

S'pura dakwa Malaysia tidak berhak pertikai kegiatan di Batu Putih

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Singapura mendakwa Malaysia tidak berhak mempertikaikan kegiatan yang dijalankannya di Pulau Batu Putih kerana negara ini pernah melakukan perkara yang sama semasa tuntutan bertindih Pulau Sipadan dan Ligitan dengan Indonesia.

Jurucakap Kementerian Luar Singapura menyatakan, Malaysia tidak bercakap benar dengan menyatakan mereka menghentikan segala projek di Sipadan dan Ligitan sehingga pertikaian diselesaikan kerana Indonesia pernah membuat bantahan mengenainya di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).


``Malaysia menolak bantahan itu dan hujah peguam mereka di ICJ ialah apa yang dilakukan tidak salah kerana ia hanyalah lanjutan tindakan yang mereka telah lakukan sebelum pertikaian itu timbul.

``Kegiatan Singapura di Pedra Branca (Pulau Batu Putih) adalah tidak berbeza dari segi undang-undang dengan tindakan Malaysia di Sipadan,'' katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Jurucakap berkenaan mengulas mengenai tuntutan bertindih Pulau Batu Putih yang mendapat liputan meluas sejak minggu lalu.

Jurucakap itu berkata, Singapura telah melaksanakan hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih yang dinamakannya Pedra Branca itu sejak 1840-an lagi.

Mereka juga terus mengendalikan rumah api serta kemudahan lain termasuk radar dan pelantar helikopter yang terdapat di pulau itu.

``Tidak ada sebarang kerja pembinaan baru di Pedra Branca, walaupun kerja-kerja membaik pulih kemudahan-kemudahan yang ada telah dijalankan,'' ujarnya.

Jurucakap itu turut mendakwa bahawa Singapura merupakan pihak yang pertama mencadangkan kepada Malaysia untuk merujuk tuntutan bertindih terhadap pulau itu ke ICJ pada tahun 1989
- Utusan Malaysia

Syor Malaysia, S'pura tandatangani persetujuan kes ke ICJ 1 Januari

JOHOR BAHRU 26 Dis. - Pemuda Barisan Nasional (BN) Bahagian Johor Bahru menyarankan Singapura dan Malaysia menandatangani persetujuan untuk membawa isu tuntutan bertindih Pulau Batu Putih ke Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa (ICJ) pada 1 Januari ini.

Ketuanya, Abu Talib Alias berkata, tindakan itu perlu bagi mengelakkan isu tersebut terus berpanjangan dan demi hubungan dua hala antara republik itu dengan negara ini.

``Satu memorandum mengenainya akan dihantar oleh Pemuda BN bahagian ini kepada sayap Pemuda PAP atau Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia dan Wisma Putra dalam masa terdekat,'' katanya di sini hari ini.

Beliau menegaskan, selain itu, Pemuda BN Bahagian Johor Bahru juga mendesak republik itu menghentikan serta-merta semua kegiatan di pulau tersebut.

``Kedua-dua negara perlu menempatkan pegawai-pegawai keselamatan secara sama rata di pulau itu sehingga ICJ membuat keputusan terhadap status hak miliknya,'' katanya.

Menurut Abu Talib, pihaknya turut mendesak agar kegiatan menangkap ikan oleh nelayan kedua-dua negara dibenarkan di kawasan tersebut - Utusan Malaysia

S'pura digesa hentikan rondaan di Pulau Batu Putih

JOHOR BAHRU 26 Dis. - Perhimpunan Hak Asasi Melayu Singapura menggesa pihak berkuasa Singapura menghentikan rondaan di kawasan berhampiran Pulau Batu Putih untuk sementara waktu bagi mengelakkan wujudnya ketegangan antara kedua-dua negara.

Presidennya, Ibrahim Ariff ketika dihubungi di Singapura hari ini berkata, sekiranya mereka terpaksa juga melakukan rondaan itu maka pihak berkuasa Singapura perlu menetapkan kawasan rondaan hanya dilakukan dari jarak beberapa batu nautika dari sempadan.

Menurutnya, dengan adanya peraturan berkenaan maka ia akan mengelakkan kedua-dua pihak berkuasa daripada bertembung sekali gus mengelakkan kejadian polis marin Malaysia dihalau.

``Sebagai sebuah negara berjiran, rakyat Singapura berharap agar kes ini yang akan dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), akan diselesaikan dengan segera dan dalam suasana terbuka.

``Kami berharap agar semua pihak bersabar dan bertindak dengan relevan serta tidak mengancam mana-mana pihak,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan pasukan Pengawal Pantai Singapura mengusir bot polis marin Malaysia yang membawa sekumpulan wartawan meninjau perairan Pulau Batu Putih, kelmarin.

Ibrahim menjelaskan, pihaknya berharap agar isu itu diselesaikan dengan bijaksana kerana segala tindakan yang diambil tidak akan menguntungkan sesiapa.

Tambahnya, pertubuhan itu juga amat berharap agar rakyat kedua-dua negara tidak terlalu emosi kerana semua perkara pastinya mempunyai penyelesaian.

Mengenai isu air di antara kedua-dua negara, pihaknya bersetuju sekiranya Malaysia hanya membekalkan air untuk keperluan minum dan mandi sahaja kerana untuk kegunaan lain, Singapura boleh menggunakan air Newater.

Jelasnya, Newater akan dibekalkan ke seluruh negara berkenaan mulai Februari ini dan ia boleh digunakan untuk kegunaan industri atau perkapalan - Utusan Malaysia

Soal siasat kes bom Bali melalui sidang video

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Malaysia bersedia membenarkan mahkamah Indonesia menyoal siasat rakyat negara ini yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam pengeboman di Bali menerusi sidang video khas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai berkata, langkah itu diambil untuk membantu mahkamah negara itu mendapatkan keterangan semasa perbicaraan kes pengeboman Bali awal Februari depan.

``Semasa perbicaraan kes pengeboman Bali itu, kita akan adakan sidang video khas bagi membolehkan mahkamah Indonesia mendapatkan keterangan daripada mereka yang ditahan di sini,'' katanya semasa sidang akhbar selepas majlis rumah terbuka Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Norian menambah langkah itu juga diambil kerana Malaysia mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi kerana akta yang digunakan di negara jiran itu berbeza dengan negara ini.

Beliau memberitahu polis akan terus bekerjasama dengan pihak Indonesia bagi memburu pengganas-pengganas yang dikehendaki.

``Kita akan meminta bantuan dari Indonesia untuk memburu mereka ini seperti Dr. Azahari Nordin dan Noordin Mat Top,'' katanya.

Norian baru pulang dari Indonesia bagi menyoal siasat sendiri beberapa orang suspek dalam kes pengeboman Bali untuk mengetahui kaitan antara mereka dengan kumpulan militan yang ditangkap di Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia bersedia untuk menimbangkan sekiranya negara tersebut ingin menyiasat Yazid Sufaat yang dikatakan terlibat dengan kes pengeboman sebuah gereja di Jakarta pada Krismas tahun lepas.

``Pihak kita akan mempertimbangkan permohonan mereka untuk menyoal siasat mana-mana tahanan kita untuk mendapatkan maklumat,'' ujarnya.

Setakat ini 15 orang suspek yang ditahan berhubung kes pengeboman Bali adalah rakyat Indonesia tetapi berdasarkan kepada penemuan terbaru menunjukkan mereka mempunyai kaitan dengan kumpulan militan di Malaysia,

Salah seorang daripada mereka ialah Imam Samudera @ Abdul Aziz yang disyaki mendalangi serangan 12 Oktober itu.

Selain itu, Norian menyatakan tujuannya ke sana adalah untuk menilai bahan letupan yang digunakan oleh pengganas semasa tragedi pengeboman di Bali sama ada mempunyai persamaan dengan bahan letupan yang di temui di sini pada tahun lepas.

``Ini memberikan kesempatan kepada saya dan beberapa pegawai-pegawai kanan polis untuk mengetahui dan mengambil tindakan yang sewajarnya,'' tambahnya.

Sementara itu, beliau menegaskan polis akan meneruskan rondaan di Pulau Batu Putih selagi ia tidak melanggar garis sempadan.

``Rondaan akan diadakan di dalam kawasan perairan Malaysia dan kita tidak akan melanggar sempadan negara,'' katanya
- Utusan Malaysia

S'pura dakwa Malaysia tidak berhak pertikai kegiatan di Batu Putih

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Singapura mendakwa Malaysia tidak berhak mempertikaikan kegiatan yang dijalankannya di Pulau Batu Putih kerana negara ini pernah melakukan perkara yang sama semasa tuntutan bertindih Pulau Sipadan dan Ligitan dengan Indonesia.

Jurucakap Kementerian Luar Singapura menyatakan, Malaysia tidak bercakap benar dengan menyatakan mereka menghentikan segala projek di Sipadan dan Ligitan sehingga pertikaian diselesaikan kerana Indonesia pernah membuat bantahan mengenainya di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

``Malaysia menolak bantahan itu dan hujah peguam mereka di ICJ ialah apa yang dilakukan tidak salah kerana ia hanyalah lanjutan tindakan yang mereka telah lakukan sebelum pertikaian itu timbul.

``Kegiatan Singapura di Pedra Branca (Pulau Batu Putih) adalah tidak berbeza dari segi undang-undang dengan tindakan Malaysia di Sipadan,'' katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Jurucakap berkenaan mengulas mengenai tuntutan bertindih Pulau Batu Putih yang mendapat liputan meluas sejak minggu lalu.

Jurucakap itu berkata, Singapura telah melaksanakan hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih yang dinamakannya Pedra Branca itu sejak 1840-an lagi.

Mereka juga terus mengendalikan rumah api serta kemudahan lain termasuk radar dan pelantar helikopter yang terdapat di pulau itu.

``Tidak ada sebarang kerja pembinaan baru di Pedra Branca, walaupun kerja-kerja membaik pulih kemudahan-kemudahan yang ada telah dijalankan,'' ujarnya.

Jurucakap itu turut mendakwa bahawa Singapura merupakan pihak yang pertama mencadangkan kepada Malaysia untuk merujuk tuntutan bertindih terhadap pulau itu ke ICJ pada tahun 1989
- Utusan Malaysia

Thursday, December 26, 2002

Kita tidak boleh biarkan sesiapa ambil apa-apa bahagian pun - PM

Batu Putih tetap dipertahan

``Tentunya ia (Pulau Batu Putih) penting kerana ia wilayah kita dan kita tidak kira sama ada ia mempunyai sumber minyak atau tidak.

``Negara kita adalah negara kita dan kita tidak boleh membenarkan sesiapa mengambil apa-apa bahagian pun,'' tegas Perdana Menteri.

Menurut Dr. Mahathir, kerajaan akan menyerahkan kepada Wisma Putra untuk menghantar bantahan rasmi kepada Singapura berhubung tindakan republik itu mengusir sebuah kapal peronda polis Marin Malaysia dari pulau yang menghadapi tuntutan bertindih itu semalam.


``Saya fikir terpulang kepada Wisma Putra mengkaji kemungkinan untuk membantah tetapi jika Singapura anggap pulau itu miliknya, alasannya tentu ia bertindak atas anggapan ia adalah milik mereka.''

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis keraian Hari Natal anjuran Persekutuan Kristian Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri menekankan mengenai kepentingan tuntutan terhadap Pulau Batu Putih ketika mengulas tindakan Pasukan Pengawal Pantai Singapura mengusir bot polis Marin Malaysia yang membawa sekumpulan wartawan meninjau perairan pulau berkenaan semalam.

Salah seorang anggota Pasukan Pengawal Pantai Singapura dengan menggunakan pembesar suara berkata: ``Anda telah memasuki perairan Singapura. Sila keluar sekarang.''

Pulau di Laut China Selatan yang terletak kira-kira 64 kilometer (km) dari Singapura itu berada sejauh 12.8 km sahaja dari Teluk Ramunia di Johor.

Ahad lalu, Mingguan Malaysia mendedahkan Singapura sedang rancak meneruskan kerja-kerja pembinaan di pulau berkenaan walaupun tuntutan terhadapnya belum diputuskan lagi.

Mengenai usaha untuk mendapatkan pengadilan tuntutan bertindih terhadap Pulau Batu Putih di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Dr. Mahathir berkata:

``Singapura belum mengemukakan sebarang dokumen bagi menyokong dakwaannya walaupun republik itu telah menyatakan persetujuan untuk berbuat demikian sejak empat tahun dulu.''

Katanya, sikap Singapura itu telah melambatkan usaha Malaysia untuk mendapatkan pengadilan segera dari ICJ atau mengekalkan status quo ke atas pulau berkenaan.

``Walaupun mereka setuju sejak tahun 1998 lagi untuk membawanya kepada ICJ, mereka belum sediakan segala dokumentasi untuk tuntutan yang mereka buat.

``Memanglah (Singapura mendakwa sedang memeriksa bukti) tetapi sejak tahun 1998 hingga sekarang, tiada apa-apa pun, itu adalah masa yang lama (sedangkan) kita sudah bersedia,'' tegas Perdana Menteri.

Menurut Dr. Mahathir, Singapura juga tidak seharusnya membuat pelbagai dakwaan melalui medianya sebaliknya memberikan bukti-bukti kepada ICJ untuk diadili.

``Yang itu kita serahkan kepada ICJ, sama ada ia iktiraf atau tidak (bukti yang didakwa dimiliki ICJ),'' ujarnya.

Baru-baru ini, sebuah akhbar republik berkenaan mengeluarkan artikel yang mendakwa Pulau Batu Putih telah berada di bawah seliaan Singapura sejak 1840 lagi dan Malaysia hanya berminat untuk menuntut hak ke atasnya pada tahun 1979.

Mengenai tindakan Singapura menjalankan kegiatan pembinaan di pulau tersebut, Perdana Menteri mengulangi pendiriannya bahawa ia tidak sesuai dari segi perundangan antarabangsa.


``Kalau ada pertikaian, patutnya hentikanlah, tunggu keputusan ICJ dulu,'' jelas beliau - Utusan Malaysia

BISIK-BISIK -- AWANG SULUNG

TINDAKAN Polis Pengawal Pantai Singapura mengusir bot peronda Polis Marin Malaysia yang meronda berhampiran Pulau Batu Putih adalah perbuatan melampau.

Ia menjadi melampau kerana pulau itu terlibat dalam tuntutan bertindih kedua negara dan Singapura tiada hak menguasai perairan pulau itu.


Selagi tuntutan tidak diselesaikan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), apa hak `negara pulau' itu untuk mengusir bot Polis Marin Malaysia? Dan apa hak menambah pembinaan bangunan di pulau `sekangkang kera' itu?

Bagi Awang, Malaysia wajib berkeras. Wisma Putra mesti membuat bantahan keras, bagi menzahirkan rasa tidak senang dan marah dengan perangai tidak menghormati jiran ini.

Kejadian usir ini bukan kali pertama. Mungkin kerana kita pernah mengambil sikap `mengalah' untuk tidak mencetuskan ketegangan, Singapura `membacanya' sebagai satu kelemahan.

Bagi Awang berlembut ada had dan bersabar ada batas. Kalau kapal perangnya boleh meronda, kita juga perlu menghantar kapal perang. Kenapa tidak? Pulau itu belum termaktub menjadi milik siapa.

- Awang - Panas.

Selesaikan pertikaian di ICJ

Apa yang sebenarnya lebih utama dilihat dan diawasi sekarang ialah sikap dan cara tindakan Singapura dalam menghadapi krisis serantau dengan negara asal-usulnya sendiri - Malaysia. Soal hak milik Pulau Batu Putih, harga jualan air mentah ataupun soal tambak laut termasuk juga soal pelancongan serta import bahan makanan, ikan dan sayur-sayuran, semuanya ini paling elok diuruskan melalui pendekatan berteraskan semangat kejiranan dan cara hidup bersama.

Pasti hanya pemimpin Singapura sendiri sahaja yang mengetahui alasan kenapa mereka pilih untuk bersikap angkuh, sombong serta tidak beretika dan `cakap tak serupa bikin'.

Yang jelas Singapura tidak kisah walaupun mengeruhkan perhubungan dua hala dengan Malaysia.

Kenapakah situasi ini sering dan terus berlaku, bukan sahaja dalam isu-isu semasa ini tetapi sejak sekian lama termasuk soal Tanjong Pagar, hartanah Malaysia, stesen kereta api, kawalan imigrasi dan pelbagai isu melibatkan pekerjaan, wang simpanan pekerja hingga kepada isu pelajar memakai tudung?

Sungguhpun Malaysia menghormati hak Singapura dalam hal dalaman negaranya tetapi kenapakah Singapura tidak memilih pendekatan hormat-menghormati demi memelihara kepentingan bersama?

Kenapakah Singapura berlagak mengancam sedangkan ia sebuah negara kecil dan amat bergantung kepada kerjasama serantau?

Memandangkan hak ke atas Pulau Batu Putih yang menjadi petanda penting perkapalan di Laut China Selatan dan di mana terletaknya sebuah rumah api di bawah `jagaan' Singapura sejak zaman penjajahan dulu, sudah pun dipersetujui dibawa untuk pertimbangan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice atau ICJ) maka cara yang terbaik dan terhormat adalah menyerahkan pertimbangan dan keputusan sepenuhnya kepada mahkamah tersebut.

Sebarang pertelingkahan, perbahasan dan perebutan hendaklah berlaku di dalam mahkamah, di hadapan hakim-hakim dan melalui hujah-hujah menyokong yang mampu diketengahkan oleh semua pihak yang terlibat.

Fakta bahawa Perdana Menteri Singapura, Goh Chok Tong dan Perdana Menteri kita Dr. Mahathir Mohamad telah bersetuju untuk membawa kes tuntutan bersama ini ke ICJ dalam pertemuan mereka September tahun lalu di Langkawi membawa erti seolah-olah Chok Tong lebih memilih jalan penuh muslihat untuk memperkukuhkan hak mereka.

Beliau sendiri tahu bahawa bukti sejarah lebih relevan dalam kes ini dan tidak boleh disamakan sepenuhnya dengan asas pertimbangan Sipadan dan Ligitan, tetapi mereka telah memilih untuk memesatkan aktiviti dengan harapan memperkukuhkan tuntutan haknya itu.

Mereka sebenarnya tahu bahawa jika terbukti kelak bahawa mereka hanya penjaga rumah api di sebuah pulau hak Malaysia, sepertimana pulau Singapura juga sebelum 1963, maka mereka boleh melupakan hak kedaulatan ke atas pulau itu.


Singapura sebenarnya boleh ambil balik rumah api itu sebagai hak warisannya daripada penjajah, dan tidak ada masalah bagi Malaysia selepas itu untuk bertindak lanjut membantu pelayaran antarabangsa di Laut China Selatan demi kepentingan bersama pelabuhan Singapura, Tanjung Pelepas dan Pasir Gudang di Johor serta lain-lain lagi.

Ketenangan Malaysia dan sikap pasifnya diharap tidak disalah tafsir oleh Chok Tong dan lain-lain pemimpin Singapura.

Mentang-mentang mereka berjaya memproses semula air kumbahan untuk diminum, itu tidak bererti mereka perlu bersikap angkuh dalam penyelesaian krisis air.

Mereka juga harus ingat bahawa kerja tambak laut mereka mengunakan bahan tambunan dari negara jiran, termasuk Malaysia pada satu masa dahulu. Segala-galanya ini lebih menekankan terhadap betapa pentingnya perhubungan baik dengan negara-negara jiran.

Singapura patut belajar budi pekerti antarabangsa dari Indonesia yang bukan sahaja menghormati keputusan ICJ malah menganggapnya sebagai satu pelajaran kepada dunia.

Tidak siapa harus mencurigai sikap Malaysia yang sentiasa pilih meja rundingan untuk mencari penyelesaian.

Biar kita bertikam lidah dan bertegang urat asalkan pendekatan kita tidak menggusarkan dan menyusahkan rakyat. Faktor logik harus dilihat secara adil dan kejayaan tidak seharusnya dari sudut teknikal dan putar muslihat semata-mata.

Sebagai contoh, Singapura enggan melihat kepada faktor munasabah, wajar dan adil dalam soal harga air dan lebih berpegang kepada soal teknikal yang ketinggalan zaman.

Memang sukar untuk kita menerima Singapura sebagai jiran yang baik buat masa ini kerana banyak faktor menunjukkan mereka mempunyai sandaran dan mungkin `kiblat' yang berbeza!

Sayangnya segala isu yang berbangkit berpunca daripada penyingkiran Singapura dari Malaysia empat dekad yang lalu!
Mulanya pemimpin Singapura ketika itu sedih kerana bercerai, selepas itu gembira dengan pencapaian dan kini dalam situasi dunia penuh cabaran di semua sektor, mereka pilih menjadi angkuh dengan jiran tetangga dan rakan serantau.

Tanda tanya terus wujud, dari mana punca sikap sedemikian rupa?

Ñ BASRI AKIL, Alor Star, Kedah - Utusan Malaysia

Singapura wajar hentikan provokasi

Malaysia bukan negara yang ghairah untuk menuntut mana-mana pulau yang menjadi tuntutan bertindih selepas berjaya mendapat hak ke atas Pulau Sipadan dan Ligitan dari Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) baru-baru ini. Itu bukan dalam agenda kita.

Dalam isu Pulau Batu Putih, Malaysia dan Singapura sama-sama membuat tuntutan terhadap pulau yang berada di lokasi yang strategik untuk maritim antarabangsa itu. Malah Singapura pada dasarnya telah bersetuju untuk membawa kes ini ke ICJ. Tetapi tindakan Singapura meneruskan kerja-kerja pembinaan di Pulau Batu Putih termasuk membina sebuah bangunan dua tingkat dan tempat pendaratan helikopter mengundang perasaan kurang senang kepada Malaysia.

Singapura mungkin sedar dan faham bahawa ia adalah sebuah negara yang kecil. Jika Malaysia mengambil tindakan yang agak keras, ia akan memperlihatkan negara kita sebagai `pembuli'. Sebab itu ketika isu tuntutan ini akan dibawa ke ICJ, Singapura sengaja bertindak seolah-olah pulau itu telah menjadi miliknya termasuk menempatkan unit peronda marinnya secara tetap.


Sebenarnya sebagaimana dinyatakan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Malaysia pernah mengemukakan bantahan kepada kerajaan Singapura pada tahun ini tetapi negara jiran itu masih meneruskan kerja-kerja pembinaan yang tidak sepatutnya dilakukan. Jika kita terus bertindak agresif seperti misi ketenteraan ke atas pulau itu, keadaan itu akan menunjukkan negara kita seolah-olah mahu membuli negara kecil itu.

Namun, kita tertanya-tanya apakah permainan yang hendak dimainkan oleh Singapura dalam menyelesaikan beberapa masalah bersama. Isu-isu tertangguh antara kedua-dua negara yang mengganggu hubungan dua hala sebelum ini masih belum ada tanda penyelesaiannya dan kini ditambah dengan tindak-tanduknya di Pulau Batu Putih.

Persetujuan supaya tuntutan bertindih Pulau Batu Putih dikemukakan kepada ICJ secepat mungkin kini hanya menunggu tarikh menandatangani persetujuan bersama daripada kerajaan Singapura sahaja. Tetapi sehingga kini jelas Singapura masih belum dapat memberi sebarang tarikh. Meminjam kata Syed Hamid, ia bukanlah satu proses yang sukar.

Singapura sepatutnya bertolak ansur dengan Malaysia atas semangat kejiranan dan permuafakatan dalam ASEAN. Caranya mudah iaitu menghentikan provokasi dan segera mengadakan rundingan bagi menyelesaikan semua masalah bersama.

Tidak rugi Singapura mendengar kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad bahawa republik itu sepatutnya menghentikan sebarang pembinaan di Pulau Batu Putih selagi negara itu masih terbabit dalam tuntutan bertindih terhadap kedaulatan pulau berkenaan dengan Malaysia.

Dalam tuntutan terhadap Pulau Sipadan dan Ligitan contohnya, Malaysia tidak melakukan sebarang kerja-kerja pembinaan di kedua-dua pulau itu selagi kes tersebut belum selesai.

Tetapi tindakan Singapura meneruskan kerja pembinaan di Pulau Batu Putih, membuktikan republik itu degil dan sengaja membuat provokasi terhadap kesabaran Malaysia selama ini.

Namun, kita akan terus memantau dan menghormati undang-undang antarabangsa yang menyarankan sesuatu pertikaian yang berlaku hendaklah diselesaikan secara aman - Utusan Malaysia

Kerajaan diminta timbang tempatkan tentera, kapal perang

KUALA LUMPUR 25 Dis. - Pemuda Barisan Nasional (BN) hari ini meminta kerajaan menimbang untuk menempatkan pasukan tentera dan kapal perang di perairan Pulau Batu Putih sebagaimana yang dilakukan oleh Singapura sekarang.

Pengerusinya, Datuk Hishammuddin Tun Hussein Onn berkata, langkah itu wajar dipertimbangkan secara serius kerana setiap tindakan awal dari pihak Singapura memerlukan tindak balas setimpal dari Malaysia.

Menurut beliau, tindakan Singapura menempatkan kapal perang berhampiran Pulau Batu Putih itu menunjukkan sikap sebenar Singapura berbanding negara-negara ASEAN lain.

``Bagi menghadapi sikap republik itu, Malaysia harus menimbang untuk meletakkan tentera serta kapal perang di perairan pulau tersebut.

``Selain itu, Malaysia harus mengambil tindakan tegas supaya tidak ada lagi warga negara kita yang berdepan dengan keadaan yang sama lagi (diusir oleh tentera Singapura),'' katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bintang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Pasukan Pengawal Pantai dan kapal perang Tentera Laut Singapura yang mengusir sebuah kapal peronda Polis Marin Malaysia yang membawa sekumpulan wartawan yang melakukan tinjauan di perairan berhampiran pulau itu petang semalam.

Pada perkembangan yang sama, Hishammuddin yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata, Malaysia akan terus mendesak Singapura supaya menghentikan sebarang tindakan yang bercanggah dengan persetujuan mereka untuk menyerahkan isu tuntutan ke atas pulau itu kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Menurut beliau, Pemuda BN dan UMNO tidak akan berkompromi dengan tindakan Singapura yang disifatkan sebagai tidak menghormati keputusan kedua-dua buah negara untuk membawa perkara tersebut kepada ICJ.

Jelasnya, apabila Indonesia bersetuju untuk menyerahkan isu tuntutan bertindih ke atas Pulau Sipadan dan Ligitan ke ICJ, mereka tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan perhubungan dua hala dengan Malaysia.

Kata beliau, tetapi dalam hal tuntutan bertindih mengenai Pulau Batu Putih, Singapura nampaknya melakukan provokasi atau cuba mengeruhkan keadaan.

Hishammuddin menyifatkan tindakan yang diambil oleh Singapura sebagai cuba mengambil kesempatan untuk menggambarkan bahawa Pulau Batu Putih adalah hak mereka.

Ditanya mengenai tindakan susulan Pemuda BN selepas menghantar memorandum bantahan semalam, beliau berkata, penghantaran memorandum hanyalah satu prosedur tetapi apa yang penting ialah menyuarakan perasaan tidak puas hati.

Tambahnya, jika keadaan demikian berterusan, kemungkinan besar Pemuda UMNO dan Pemuda BN terpaksa bersemuka dengan pihak Singapura - Utusan Malaysia

Singapura diberi amaran keras tarik keluar pasukan keselamatan

KUALA LUMPUR 25 Dis. - Pergerakan Pemuda UMNO hari ini memberi amaran keras kepada Kerajaan Singapura supaya mengeluarkan pasukan keselamatannya daripada Pulau Batu Putih dan perairannya serta-merta atau menghadapi tindakan balas Malaysia.

Naib Ketuanya, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan menyifatkan perbuatan republik itu yang menempatkan pasukan keselamatan sekitar pulau berkenaan amat angkuh dan biadap.


Malah, katanya, tindakan tersebut juga telah menunjukkan seolah-oleh mereka mempunyai ketuanan ke atas pulau itu walaupun ia belum diputuskan milik mana-mana pihak.

``Apa hak mereka untuk menghalau rakyat negara ini sedangkan ia (Pulau Batu Putih) belum tentu milik mereka,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, pihaknya juga mendesak Kerajaan Malaysia supaya jangan memberi muka kepada republik itu selagi mereka gagal mengembalikan semangat muhibah jiran tetangga yang dianggap sudah hilang ketika ini.

Tegasnya, kerajaan juga diminta supaya tidak tunduk kepada tindakan negara itu yang gagal menetap tarikh serta cuba berdolak-dalik untuk membawa isu tuntutan Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).


``Seboleh-bolehnya kerajaan jangan bagi peluang langsung kepada Singapura. Apa yang perlu dilakukan ialah desak mereka supaya menyegerakan proses bawa isu ini ke majlis timbang tara.

``Jika terus dibiarkan berdolak-dalik, mereka akan anggap kita takut dan menjadikan republik itu makin hari makin angkuh,'' katanya.

Isu tuntutan Pulau Batu Putih semakin hangat diperkatakan pelbagai pihak berikutan pendedahan eksklusif Mingguan Malaysia baru-baru ini mengenai tindakan republik itu meneruskan kerja-kerja pembinaan di pulau tersebut walaupun hak terhadap pulau berkenaan yang masih menjadi tuntutan bersama dengan Malaysia masih dipertikaikan.

Ketika isu tuntutan itu dibawa ke ICJ, Singapura telah bertindak seolah-olah pulau itu telah menjadi miliknya termasuk menempatkan pasukan keselamatan secara tetap.

Selain rumah api, terdapat kuarters dua tingkat yang asalnya hanya setingkat beberapa tahun lalu untuk pekerja dari republik itu dan menara radar yang dipercayai untuk mengawal laluan kapal - Utusan Malaysia

S'pura didakwa sengaja lewatkan bawa pertikaian Batu Putih ke ICJ

KUALA LUMPUR 25 Dis. - Bekas Setiausaha Politik Ketua Menteri Kedua Singapura Lim Yew Hock, Profesor Mohammed Yacob mendakwa, kerajaan republik itu mempunyai muslihat tersendiri apabila sengaja melewat-lewatkan proses membawa isu pertikaian Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Menurutnya, agenda tersebut jelas kelihatan berdasarkan sikap negara itu yang mengambil masa yang lama untuk memberi persetujuan rasmi membawa kes tersebut ke mahkamah antarabangsa tersebut.


Sedangkan, kata beliau, persetujuan awal telah dicapai antara Singapura dan Malaysia pada April 1988 untuk merujuk pertelingkahan itu ke ICJ.

Beliau berkata, ada kemungkinan juga Singapura bersikap sedemikian kerana masih ragu-ragu dengan kemampuannya memenangi pertikaian itu nanti.

``Bila ia (Singapura) lengah-lengahkan sampai sekarang belum mahu tandatangan, ada yang ia belum terang lagi.

``Ada perkara yang ia masih musykil lagi,'' katanya yang menetap di Johor Bahru sewaktu dipetik dari siaran Buletin Utama TV3 malam ini.

Mohamed berkata demikian sebagai mengulas tindakan Singapura yang masih belum mahu menandatangani perjanjian bagi membolehkan pertikaian ke atas kedaulatan Pulau Batu Putih diselesaikan di ICJ.

Pada masa yang sama, negara jiran itu tetap meneruskan pembinaan bangunan tambahan di pulau berkenaan sehingga menimbulkan rasa tidak senang pelbagai pihak di negara ini seolah-olah pulau berkenaan telah sah menjadi milik Singapura.

Mohamed yang sering mengulas mengenai isu-isu melibatkan Malaysia-Singapura menambah, Malaysia pada hakikatnya mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi kes itu nanti.

Bagaimanapun, untuk memastikan hasrat itu tercapai beliau berharap kerajaan akan bekerja keras membuat segala kajian terhadap segala undang-undang berkaitan yang ada.

Dalam pada itu, Mohamed turut menyifatkan tindakan pihak berkuasa Singapura menghalau kapal peronda Polis Marin Malaysia yang berada berhampiran Pulau Batu Putih semalam sebagai perbuatan biadap.

``Bila satu tempat itu masih menjadi pertikaian, kedua-duanya masih mempunyai hak undang-undang (di situ) kecuali keputusan sudah dibuat.

``Ini keputusan belum dibuat ia sudah halau orang. Itu adalah perbuatan biadap dan kurang ajar,''
katanya.

Mohamed, 84, menjawat jawatan setiausaha politik kepada Ketua Menteri Kedua Singapura Lim Yew Hock pada 1958. Beliau adalah bekas Setiausaha Agung Parti Perikatan Singapura 1958-59 - Utusan Malaysia